PIALA LIGA SUPER DAN LIGA PREMIER MENYEBERANGI SELAT TEBRAU DAN LAUT CHINA SELATAN


Musim Liga Malaysia 2013 mungkin sukar untuk dilupakan oleh mana-mana pasukan negeri di Semenanjung sama ada yang bermain dalam Liga Super mahupun Liga Premier kerana kedua-dua piala berprestij itu telah menyeberangi Selat Tebrau dan Laut China Selatan.

Musim Liga Malaysia yang bermula pada awal tahun 2013 ini menyaksikan beberapa pasukan handalan negeri yang menjadi pilihan untuk menjuarai Liga Super seperti Kelantan (penyandang Liga Super), Johor Darul Takzim (JDT), Selangor, Pahang, Terengganu mahupun Perak. Manakala, pasukan pilihan Liga Premier ialah Sime Darby dan Johor yang membarisi pemain-pemain kebangsaan juga bekas-bekas pemain kebangsaan.

Hakikatnya bola itu bulat dan setiap pasukan mempunyai peluang seimbang untuk menonjolkan diri bagi menjadi juara. Keadaan ini benar-benar berlaku apabila pada 24 Jun 2013, Sarawak (Bujang Senang @ Ngap Sayot) yang berjaya menumpaskan pasukan Kuala Lumpur dengan jaringan 4-0 telah diisytiharkan secara mutlak sebagai Juara Liga Premier 2013 dan sekaligus beraksi dalam Liga Super pada musim yang akan datang. Kesannya, Piala Liga Premier telah berjaya menyeberangi Laut China Selatan. Juara menerima piala dan wang tunai berjumlah RM300,000.00.

Malam tadi, pasukan jiran dari Singapura, Lion XII yang bertanding dalam Liga Super atas dasar jemputan berjaya menghapuskan keegoaan pasukan pilihan lain apabila menjuarai Liga Super 2013 dengan mengembalikan kegemilangan pasukan Singapura suatu ketika dahulu.

Dalam perlawanan terakhir malam tadi menyaksikan Lion XII berjaya menundukkan pasukan Felda United juga dengan jaringan 4-0 dan sekaligus dinobatkan sebagai Juara Liga Super 2013. Akhirnya, Piala Liga Super itu diterbangkan merentasi Selat Tebrau.

Yang pasti, kedua-dua pasukan ini bukan merupakan pasukan pilihan untuk menjadi juara dalam liga masing-masing. Namun, berkat keazaman dan kesungguhan pemain dan pengurusan pasukan maka hasilnya mereka dinobatkan sebagai juara.


Dan, misi kedua-dua pasukan yang berstatus juara itu akan diteruskan dalam Liga Piala Malaysia yang dijadualkan akan berlangsung selepas Hari Raya Aidilfitri nanti. Yang pasti Lion XII dan Sarawak akan menjadi tumpuan selepas ini sebagai pasukan pilihan untuk menjuari Piala Malaysia.
Share this article :
 

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger