ANGKARA TIDAK SUKA CALON, DAP BERGOLAK AHLI DIPECAT SEGERA



DAP Sarawak menerima tamparan hebat apabila Jawatan Kuasa DAP mengambil keputusan memecat enam (6) ahlinya dari Miri berkuatkuasa serta-merta kerana mengingkari pucuk kepimpinan parti negeri dan berulang kali mencemarkan imej parti dan calon parti.

Mereka yang dipecat terdiri daripada:

Wong Keng Tiong dari Cawangan Senadin,
Lim Lan Hua, Setiausaha Hal Ehwal Wanita Cawangan Piasau
Ting Mee Hiong Setiausaha Hal Ehwal Wanita Cawangan Miri
Violet Lee Pak Hap, Lee Yun Li dan Paul Wong Sie Yiing dari Cawangan Senadin

Mereka berenam telah diberikan notis pemecatan pada surat bertarikh 11 Mac 2013 yang telah ditandatangani oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Tan Kok Wai.

Menurut Tan Kok Wai, pihaknya menerima aduan daripada jawatankuasa parti negeri mengenai enam individu terbabit menerusi surat bertarikh 5 Mac mengenai tindakan mereka yang berulang kali memprotes secara terbuka keputusan jawatankuasa parti mencalonkan Lim Su Kien sebagai calon DAP untuk kerusi Parlimen Miri pada PRU-13 nanti.

“Ancaman anda menentang parti untuk terus menentang Lim Su Kien dan mendedahkan surat aduan mengenai Lim Su Kien jelas berhasrat mendesak parti membuat keputusan berdasarkan keinginan peribadi anda.

“Kami melihat ia sebagai ancaman serius yang tidak boleh diterima dan dibiarkan begitu sahaja,” demikian tertera dalam notis berkenaan.

Jawatankuasa Disiplin DAP juga berkata, tindakan individu-individu terbabit yang meminta pengundi di Parlimen Miri tidak mengundi calon pilihan parti itu dengan menganjurkan kempen mengumpul tandatangan dan memasang kain rentang menentang calon parti serta membuat kenyataan terbuka menyerang calon parti dan jawatankuasa negeri, jelas menunjukkan mereka berniat memusnahkan parti untuk kepentingan peribadi.

Mereka yang dipecat juga diarah memulangkan semua harta dan hak parti yang dimiliki kepada jawatankuasa negeri dengan segera, selain diberi masa selama 14 hari bermula tarikh notis pemecatan dikeluarkan untuk mengemukakan rayuan.

Nampaknya DAP hanya mencalonkan calon DAP yang dimahukan parti dan bukannya calon rakyat seperti mana yang digembar-gemburkan sebelum ini. Persoalan sekarang, PKR menerusi calonnya Dr Michael Teo juga mengharapkan akan bertanding di kerusi Parlimen P.219 Miri. Apakah akan menyaksikan pertanding tiga (3) penjuru antara BN-SUPP dengan PKR dan DAP di Parlimen P,219 Miri? Sama-sama kita tunggu. 
Share this article :
 

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger