Artikel di bawah telah dikeluarkan Malaysia Insider bagi menggambarkan
pegangan dan pandangan PAS secara keseluruhan berhubung pendirian PAS terhadap
penggunaan kalimah Allah dalam Bible Bahasa Melayu.
Mat Sabu: PAS kekal dengan pendirian bukan Islam boleh guna kalimah Allah
KUALA LUMPUR, 4 Jan — PAS kekal dengan pendirian yang dikeluarkan oleh
presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang membenarkan penggunaan kalimah
Allah oleh bukan Islam sebagai rujukan kepada tuhan, kata Mohamad Sabu.
Timbalan Presiden PAS itu berkata, polemik penggunaan kalimah Allah hanya
timbul di Semenanjung Malaysia akan tetapi tidak pernah menjadi masalah
dikalangan penganut Islam dan Kristian di Timur Tengah dan Malaysia Timur.
“Presiden PAS (Abdul Hadi Awang) pernah keluarkan kenyataan pada tahun 2010
untuk tidak melarang penganut agama selain Islam untuk menggunakan kalimah
Allah.
“PAS masih kekal dengan pendirian itu,” kata beliau yang dikenali sebagai
Mat Sabu (gambar) apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider.
Pada tahun 2010 ketika polemik penggunaan kalimah Allah timbul, presiden
PAS menggeluarkan kenyataan mengenai pendirian parti tersebut.
“Kesimpulannya, kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan
Allah di kalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau
pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita,” kata Abdul Hadi
dalam kenyataan bertarikh 7 Januari 2010.
Polemik penggunaan kalimah Allah timbul kembali apabila Setiausaha Agung
DAP Lim Guan Eng pada 24 Disember lalu menggesa kerajaan Barisan Nasional (BN)
untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Injil bahasa Melayu
memandangkan ia telah dibenarkan di Sabah dan Sarawak sejak 50 tahun lalu dan
digunapakai di Timur Tengah hampir seribu tahun lalu dalam perutusan
Krismasnya.
Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kemudian memberi
respon bercanggah dengan pendirian Abdul Hadi pada tahun 2010 apabila berkata kalimah “Allah” dalam Alkitab,
terjemahan Injil bahasa Melayu tidak akan mencerminkan maksud asal ayat
tersebut.
“PAS berpendirian bahawa Bible Bahasa Melayu harus menggantikan istilah
‘God’ dengan Tuhan dan bukannya Allah untuk mencerminkan maksud sebenar
daripada teks asal.”
Kerajaan pusat mengulangi pendirian mereka bulan lalu hanya umat Islam
dibenarkan untuk menggunakan perkataan Allah, di tengah-tengah ketegangan yang
diperbaharui berikutan tuntutan oleh orang Kristian dan agama lain untuk
menggunakan istilah tersebut bagi merujuk kepada Tuhan.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman
Mustapha, mengeluarkan satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa penggunaan
kalimah Allah oleh agama lain akan membawa kemudaratan kepada agama Islam.
Beliau mengatakan pendiriannya itu berdasarkan keputusan Majlis Fatwa
Kebangsaan pada 2008.
Gereja Katolik Roman tempatan sedang menunggu Mahkamah Rayuan untuk membuat
keputusan mengenai hak untuk menggunakan perkataan “Allah” sebagai rujukan
kepada tuhan Kristian dalam penerbitan mereka, selepas Putrajaya merayu
terhadap penghakiman 2009 yang mengatakan gereja mempunyai hak berperlembagaan
untuk berbuat demikian.
Bulan lalu, Majlis Gurdwara Malaysia (MGC) menegaskan fatwa Majlis Fatwa
Kebangsaan pada 2010 tidak terpakai kepada bukan Islam.
Dalam satu kenyataan, presiden MGC Jagir Singh menegaskan majlis tersebut
tidak mempunyai bidang kuasa langsung ke atas orang bukan Islam dan tidak boleh
mengeluarkan fatwa melarang masyarakat lain dari menggunakan perkataan
tertentu.
Sementara Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria mengatakan mana-mana pihak
selain orang Islam yang berkeras ingin menggunakan kalimah “Allah” perlu
memeluk agama Islam oleh kerana perkataan tersebut adalah hak eksklusif orang
Islam.
“Penggunaan kalimah Allah itu telah dienakmenkan setiap negeri ... mereka
sengaja mahu melakukan provokasi supaya orang Islam melatah,” tegas Harussani
ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Inilah PAS yang akan cuba sedaya upaya untuk meraih
seberapa banyak populariti demi mendapat undi untuk ke Putrajaya hingga sanggup
agama Islam dijual beli untuk orang kafir.







