#KL112 AKTA PERHIMPUNAN AMAN ‘HANCURKAN’ KEEGOAN PAKATAN PEMBANGKANG



Sambil mengucapkan "terima kasih kepada pembangkang", Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Himpunan Kebangkitan Rakyat yang berlangsung secara aman, anjuran Pakatan Rakyat (PR), di Stadium Merdeka Sabtu lalu, menjadi testimoni kepada keberkesanan penguatkuasaan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Najib berkata, ia membuktikan kemampuan semua pihak tidak kira pihak berkuasa mahu pun penganjur mematuhi peruntukan dan semangat akta itu.

"Pendek kata, apa yang berlaku menunjukkan bahawa islah dan reform kepada apa yang kita lakukan adalah tepat sekali.

"Terima kasih kepada pembangkang walaupun saya tak bersetuju dengan mereka, kerana telah menghormati semangat akta itu.

Buat pertama kali satu perhimpunan anjuran pihak pembangkang diadakan di Stadium Merdeka. Penganjur menyasarkan penyertaan kira-kira sejuta orang. Ia dipercayai dihadiri sekitar 100,000 orang atau kurang.

Himpunan Kebangkitan Rakyat yang turut dikenali dengan kod #KL112 dibenarkan oleh polis dengan 27 syarat manakala pengurusan Stadium Merdeka hanya membenarkan hadirin tidak melebihi 30,000 orang.

Ia yang berlangsung dari jam 2.00 hingga 5.00 petang berakhir dengan pengisytiharan deklarasi 10 perkara.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno berkata, kerajaan sentiasa komited untuk melahirkan persekitaran undang-undang yang lebih menyokong hak asasi manusia dengan memansuh undang-undang yang menimbulkan polemik seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Kediaman Terhad 1933 serta meminda Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan 1984 dan Seksyen 27 Akta Polis 1967.

Parlimen menggubal akta itu akhir 2011, beberapa bulan selepas Perhimpunan BERSIH 2.0, yang menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.

Najib berkata, usaha itu menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam mengambil berat tentang kepentingan dan hak rakyat, sentiasa terbuka menerima setiap cadangan dan saranan demi menjadikan sebuah masyarakat yang lebih progresif.

"Kerajaan juga sedar bahawa undang-undang tentang kebebasan awam dan keselamatan negara perlu disesuaikan dengan proses dan amalan demokrasi yang bukan sahaja selaras dengan norma antarabangsa tetapi juga bertunjangkan sistem budaya nilai dan norma kita.

"Pengenalan undang-undang baharu dan penambahbaikan undang-undang sedia ada lebih mencerminkan kehendak kita untuk mewujudkan sebuah masyarakat dan negara yang matang, lebih progresif dan lebih terbuka. Itulah objektif yang kita akan sama-sama usahakan untuk mencapainya," katanya.

Selain menggubal Akta Perhimpunan Aman 2012, kerajaan mengumumkan untuk mengkaji sepenuhnya Akta Hasutan 1948 bagi diganti dengan Akta Keharmonian Nasional bertujuan mewujudkan mekanisme untuk mempertahan kebebasan bersuara rakyat di samping terus memelihara ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Perdana Menteri menegaskan, tindakan kerajaan meminda, memansuh dan menukar undang-undang adalah tidak berdasarkan keuntungan politik sebaliknya kerajaan melakukannya setelah menyelami aspirasi rakyat.

Beliau berkata, dalam usaha memastikan negara bebas daripada huru-hara dan kekacauan, adalah menjadi tanggungjawab pemimpin, ahli perundangan dan masyarakat madani untuk sentiasa memastikan hak dan kebebasan rakyat dilindungi.

"Kami melakukan perkara ini kerana kami yakin dan percaya ini adalah perkara yang betul untuk dilakukan," katanya.

Sumber: Bernama
Share this article :
 

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger