Friday, November 30, 2012



Di sebalik kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang mendakwa terdapat campur tangan orang luar dalam pentadbiran PDRM, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim segera mengarahkan Setiausaha PKR, Saifuddin Nasution bertindak cepat dengan mendapatkan keahlian Musa Hassan.

Anwar Ibrahim tidak mahu Musa Hassan masuk PAS sebalikny mahu Musa Hassan masuk PKR. Pesanan Anwar Ibrahim kepada Saifuddin Nasution – Musa Hassan should be joining PKR and not PAS. Period.

Itu arahan terbaru yang dikeluarkan Anwar petang semalam. Jangan bertangguh lagi. Mendengar apa yang diperkatakan perwakilan UMNO pada ketika ini, Anwar merasakan wujud keperluan Musa Hassan dibawa ke dalam mainstream politik.

PKR perlu segera berebut Musa Hassan daripada PAS. Jika tidak, imej PKR tidak akan pulih kerana ramai di kalangan bekas-bekas pegawai kerajaan menyertai PAS tetapi tidak PKR. PKR kini memerlukan seorang ‘public figure’ bagi menyelamatkan imejnya yang kian tercemar dengan pelbagai isu yang boleh menjatuhkan maruah parti.

Anwar Ibrahim mungkin tidak sedar bahawa imejnya sangat kotor dan tidak elok. Inilah sebabnya kebanyakan bekas penjawat awam tidak selesa bersama PKR. Kelemahan ini memang Anwar Ibrahim perlu perbaiki.

Soalnya, berjayakah Saifuddin membawa masuk Musa Hassan ke dalam PKR? Yang pastinya, Musa Hassan kenal Anwar Ibrahim dari luar dan dalam. 


Kehadiran dua orang penyanyi antarabangsa yang sangat popular dengan kontroversi dan keseksian, Elton John dan Jennifer Lopez telah mendapat kecaman hebat daripada beberapa NGO’s termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sesuai dengan namanya.


Kecaman penganjuran Konsert Elton John (Elton John & Band: 40th Anniversary of the Rocket Man pada 29 November 2012), serta Konsert Jennifer Lopez (Jennifer Lopez live in Malaysia pada 2 Disember ini) sangat dialu-alukan. Mungkin sebilangan rakyat Malaysia sensitif dengan kehadiran penyanyi Elton John yang semua ketahui dia pengamal ‘gay’ manakala Jennifer Lopez terkenal dengan pakaian seksinya yang mengghairahkan.


Jika ABIM mengutuk sekeras-kerasnya konsert 2 penyanyi antarabangsa itu, kenapakah sehingga kini ABIM masih belum mengeluarkan kenyataan mengutuk Lesbian Gay Biseksual Transgender (LGBT) yang dipopulari Pakatan Pembangkang?

Apakah disebabkan pengaruh Anwar Ibrahim dalam ABIM walaupun tidak lagi menjawat jawatan pengerusi menyebabkan ABIM terpaksa tutup mulut? Juga, apakah ABIM kini dipegang orang-orang kuat Anwar Ibrahim membolehkan ABIM dipaksa senyap?

Pengaruh LGBT mula sinonim dengan Anwar Ibrahim sejak Majlis Peguam cuba menyebarluaskan fahaman itu selepas BERSIH 2.0. Sejak daripada itu, pengaruh LGBT semakin berkembang luas dan diberitakan kini semakin menular ke kawasan luar bandar.



ABIM KECAM KONSERT ELTON JOHN, JENNIFER LOPEZ

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (Abim) mengecam penganjuran Konsert Elton John (Elton John & Band: 40th Anniversary of the Rocket Man pada 29 November 2012), serta Konsert Jennifer Lopez (Jennifer Lopez live in Malaysia pada 2 Disember ini). 

Ini memandangkan konsert tersebut dianjurkan taktala kita masih bergelut untuk merungkaikan pelbagai kemelut sosial yang melanda negara ini.

Abim juga menilai penganjuran konsert seakan-akan menggambarkan sikap acuh tidak acuh pihak tertentu terhadap pelbagai bantahan yang dikemukakan terhadap penganjuran konsert-konsert serta program hiburan melampau membabitkan artis-artis dari luar negara.

Hiburan merupakan elemen berpengaruh terutama sekali di kalangan golongan remaja. Hiburan yang bersifat mendidik akan mendorong golongan remaja untuk mengembangkan sahsiah diri mereka secara positif.

Akan tetapi sekiranya mereka menerima pendedahan dari hiburan yang bersifat hendonistik semata-mata, ia akan mendorong golongan muda untuk bertindak menurut kepuasan hawa nafsu semata-mata.

Tambahan pula, salah seorang artis tersebut secara terbuka mengamalkan hubungan sejenis yang boleh memberikan ekspresi keteladanan yang salah di kalangan golongan muda.

Seharusnya ancaman LGBT serta beberapa gejala songsang yang lain membuatkan pihak-pihak yang berwajib lebih berwaspada serta berhati-hati dalam menyaring sebarang kemasukan serta penganjuran hiburan membabitkan artis-artis luar negara.

Penganjuran kedua-dua konsert tersebut merupakan titik hitam di sebalik kemilau kebangkitan hiburan Islamik serta selebriti dakwah di negara ini. Ketegasan serta keprihatinan dari pihak berwajib serta masyarakat adalah perlu untuk mengelakkan golongan muda dari terus dibanjiri “idola” tanpa sebarang rujukan keteladanan yang positif.

Mohamad Raimi Ab Rahim, Setiausaha Agung ABIM
30 November 2012

  
Info ABIM petikan daripada blog http://budakbenteng.blogspot.com

Angkatan Belia Islam Malaysia (Jawi: اڠكتن بليا اسلام مليسيا, Bahasa Inggeris: Muslim Youth Movement of Malaysia, disingkatkan sebagai ABIM) merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia. Presiden ABIM masakini adalah Amidi Abdul Manan.

Sejarah

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah ditubuhkan pada 6 Ogos 1971 di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hasil beberapa pertemuan generasi pengasas ketika itu. Pengerusi penaja rasmi ketika itu ialah Ustaz Abdul Wahab Zakaria dan Fauzi Abd. Rahman (sekarang Dato’) sebagai Setiausaha Agung. ABIM merupakan sebuah badan bukan kerajaan Islam yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan pada 17 Ogos 1972 di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Muktamar ABIM yang pertama telah diadakan pada tahun 1972 di mana Ustaz Razali Nawawi (sekarang Profesor Dr) telah dipilih sebagai Presiden ABIM yang pertama manakala Anwar Ibrahim (sekarang Dato’ Seri) dipilih sebagai Setiausaha Agung. Pada tahun 1974 Anwar Ibrahim telah dilantik sebagai Presiden ABIM yang kedua. Ustaz Siddiq Fadzil (sekarang Dato’ Dr) pula telah dilantik untuk memangku dan seterusnya menjadi Presiden ABIM selepas penyertaan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pada tahun 1982.

Ustaz Muhammad Nur Manuty (sekarang Dr) telah dilantik sebagai Presiden pada tahun 1991. Pada September 1997, Ahmad Azam Abdul Rahman telah dipilih sebagai Presiden ABIM yang kelima di Muktamar Sanawi ABIM ke-26 di Alor Setar, Kedah. Pada Ogos 2005 pula, saudara Yusri Mohamad dipilih sebagai Presiden ABIM yang keenam di Muktamar Sanawi ABIM ke-34. Dalam era 1970-an, semasa ABIM berada di bawah kepimpinan Ustaz Razali Nawawi dan Anwar Ibrahim, ABIM mengambil pendekatan konfrontasi dan dengan demikian, ABIM menjadi lantang terhadap beberapa dasar dan pendirian pihak pemerintah. Pendekatan ini dirasakan sesuai dengan tuntutan dan keperluan era itu.

Pada dekad kedua, di tahun-tahun 1980-an, ketika kepimpinan Ustaz Siddiq Fadzil, pendekatan ABIM ditandai oleh perubahan orientasi ke arah pendekatan menangani dan menyelesaikan masalah (problem-solving). Pendekatan ini melahirkan banyak institusi dan agensi ABIM seperti Islamic Outreach-ABIM dan seumpamanya. Ketika dekad ketiga 1990-an pula, ABIM yang berada di bawah kepimpinan Ustaz Muhammad Nur Manuty berperanan lebih proaktif sebagai rakan dalam pembinaan negara (partner in nation-building).

Di alaf baru, Ahmad Azam Abdul Rahman membawa tema pemugaran semula idealisme untuk menggilap semula dinamika perjuangan serta agenda pemersatu ummah, bertepatan dengan tuntutan semasa yang begitu mendesak. ABIM terus menjadi jurubicara umat dalam pelbagai dimensi agar umat seluruhnya terpelihara iman, nyawa, harta, maruah, kebebasan, hak dan keselamatan mereka. Kini ABIM di bawah pimpinan saudara Yusri Mohamad memberikan tumpuan kepada agenda dakwah serta memperkasa agama dan bangsa. Pada 1 Ogos 2009, Muhamad Razak Idris dipilih sebagai Presiden ABIM yang ketujuh di Muktamar Sanawi ke-38.

Identiti

Misi dan visi

ABIM adalah sebuah gerakan yang bertunjangkan ilmu (knowledge-based) dan memilih untuk mengambil sikap terbuka serta sederhana berasaskan realiti masyarakat setempat di samping memegang teguh prinsip-prinsip Islam serta kesepaduan ilmu, iman dan amal dalam rangka pembangunan manusia. Walaupun ABIM menangani isu-isu politik, namun ia sentiasa bersikap non-partisan; bebas dan tidak memihak atau tunduk kepada kepentingan mana-mana parti-parti politik.

Visi ABIM ialah "Membina Dan Memimpin Tamadun Khayra Ummah manakala misinya pula ialah "Gerakan Islam Yang Komprehensif untuk Merealisasikan Cita-cita Islamiyyah".

Budaya ABIM:

Menghayati Budaya Ilmu,
Menghayati Amalan Kerohanian,
Menghayati Amal Shura dan Amal Jama’iyy,
Memahami dan Melibatkan Diri Pada Isu Semasa, dan
Menghayati Ruh - Jihad fi Sabilillah.

Objektif

Menegak, mengembang dan memperjuangkan cita-cita Islamiah sesuai dengan ajaran asasi al-Qur’an al-Karim dan Sunnah Rasulullah s.a.w.
Menjalankan da’wah Islamiah dengan cara yang progresif kepada seluruh lapisan masyarakat;
Menggembleng tenaga belia seluruhnya dan mengarahkannya untuk kebaikan masyarakat;
Mewakili belia-belia Islam Malaysia di persidangan-persidangan luar negeri;
Menjalankan kegiatan-kegiatan lain yang tidak berlawanan dengan ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah.

Isu tahanan ISA

Ramai pemimpin ABIM dikenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terutama pada 3 Disember 1974 berikutan Demosntrasi di Universiti Malaya dan di padang Dataran Merdeka. Anwar Ibrahim selaku Presiden ABIM ditahan bersama pemimpin pelajar dan pensyarah universiti.
Antaranya ialah :

Kamarazaman Yacob,
Ibrahim Ali,
Syed Husin Ali,
Adi Satria,
Hamzah Kassim,
CCYong,
Yong Ah Chit,
Yeo Ben Foo.

Tempat Anwar dipangku oleh Fadhil Noor. Mereka ditahan di bawah seksyen 117, Akta Polis .Ketika itu Dr Mahathir Mohamad menjadi Menteri Pelajaran. Pada 5 Februari 1975, mereka dipindah ke Kem Tahanan Kamunting, di Taiping, Perak sehingga dibebaskan pada November 1976.

AJK ABIM ketika Anwar ditahan adalah :

Syed Ibrahim Naib Presiden (sekarang dalam PAS)
Kamaruddin Mohd Nor Setiausaha Agong (sekarang dalam UMNO),
Anwar Hashim, Setiausaha Kewangan,
Omar Jaafar, Ketua Perhubungan (sekarang dalam PKR),
Sidiq Fadhil, Ketua Penerangan (sekarang dalam PKR),
Nakhaei Ahmad, Ketua Dakwah (Bekas Pengerusi YADIM),
Ramli Ibrahim, Ketua Kebajikan (Sekarang dalam PKR),
Osman Bakar, Ketua Pelajaran (sekarang Pengerusi MUAFAKAT, pro Anwar).


Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak akan menyokong penuh calon-calon BN Sarawak pada PRU-13 akan datang tanpa sebarang prejudis. Menjadi harapan BNBBC sepertimana ahli-ahli parti komponen BN Sarawak memastikan calon BN Sarawak menang PRU-13 dengan mencapai kemenangan yang lebih baik daripada tahun 2008.

Perkara ini disahkan Pengerusi BNBBC Sarawak, Abdullah bin Haji Saidol semasa ucapan Malam BNBBC di Hotel Hilton sebagai meraikan ahli-ahli BN DUN Sarawak yang telah bersidang selama 8 hari yang bermula 19 November lalu.

Bagi memastikan kemenangan ini dapat direalisasikan, ahli-ahli BNBBC Sarawak akan bekerjasama dengan calon BN Sarawak yang terpilih nanti. Ini kerana semasa kempen PRU-13, ahli-ahli parti sama ada PBB, SUPP, PRS dan SPDP akan berada di depan untuk meraih undi dan seterusnya mengundi calon BN.

Demikian juga BNBBC Sarawak akan berusaha bekerjasama dengan Setiausaha Politik pada masa akan datang. Melalui kerjasama itu, ia menyediakan maklumat atau berita terkini yang mampu membantu BNBCC mempertingkatkan pengetahuan mereka.

Justeru, BNBBC Sarawak akan terus mengekalkan perpaduan dalam kalangan ahlinya selain memperkuatkan kelab semasa persidangan akan datang.

Thursday, November 29, 2012



PRU-13 yang akan datang ini bukan pilihan raya biasa kerana berhadapan dengan Pakatan Pembangkang yang kini sangat bernafsu ke Putrajaya walaupun terpaksa mencetuskan pelbagai isu untuk menarik perhatian rakyat Malaysia.

Tidak mengikut rentak Pakatan Pembangkang, BN yang berusaha mahu mengekalkan rentak kemenangan dengan lebih baik lagi pada PRU-13 akan datang ini mengaku apa yang pernah dilakukan BN pada PRU 2008 telah benar-benar mengajar erti perjuangan untuk rakyat.

"Di atas segalanya, sebagai kepimpinan parti dan kerajaan, kami menyusun jari nan sepuluh memohon maaf atas kekhilafan," kata Najib Razak.

Peralihan kuasa pentadbiran tertinggi Kabinet Malaysia pada tahun 2009 benar-benar telah mentransformasikan Malaysia ke arah yang lebih baik. Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang mengambilalih tampuk pemerintahan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi harus diberikan peluang dan ruang untk membuktikan kewibawaannya dalam membawa Malaysia sebagai Negara Maju pada tahun 2020.

PRU-13 adalah pilihan raya pertama Najib Razak sebagai BN dan sebelum ini telah membuktikan kewibawaannya di sepanjang Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Negeri Sarawak, April tahun lepas.

Dilihat cuba menjelaskan bahawa pengundi tidak sewajarnya menghukum atas kesilapan dan kelemahan yang wujud sebelum ini pada PRU-13, Presiden UMNO berkata, "bumi mana tak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelora, bahagian dunia manakah yang wujudnya orang, atau pimpinan, atau persyarikatan atau parti yang tidak pernah tersandung atau tersalah."

Ikuti Ucapan Dasar Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak selaku Presiden UMNO.

Dalam ucapan dasar yang disampaikan pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Dewan Merdeka, Najib berkata, UMNO tidak akan membiarkan negara ini hancur dan runtuh di sebabkan tindak tanduk pihak yang mentabur fitnah.

"Sudah barang pasti UMNO tidak akan membiarkan semua itu berlaku. Jika kita kehilangan harta, ia boleh dicari ganti. Jika kita hilang darjat kedudukan, ia dapat dipulih semula.

"Tetapi, jika kita kecundang dalam perjuangan ini, kita sudah tidak punya apa-apa lagi. Kita akan melukut di tepi gantang. Akhirnya, terbangsat dan merempat di tanah sendiri," kata beliau dalam ucapannya yang mengambil masa hampir 90 minit.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, PRU-13 ini bukanlah satu pilihan raya yang biasa. Ia merupakan titik penentu kepada destini rakyat dan negara.

"Pilihan raya inilah yang akan mencorakkan rupa wajah Malaysia hari esok untuk ditinggalkan pada anak-anak kita.

"Antara sebuah Malaysia yang maju  berteraskan nilai serta matlamat dikongsi bersama, atau, Malaysia yang mundur terpisah oleh tembok ghaib dipalit rasa prasangka dan prejudis," kata beliau.

Najib menambah, hasil kerja keras setiap generasi telah membentuk Malaysia, yang dikagumi rakan dan dihormati taulan.

"Siapa menjangka bumi yang sarat  dengan segala rencam ini, mampu melepasi, apatah lagi berjaya menangani cabaran bernegara.

"Pilihannya juga amat jelas, untuk kita melihat anak-anak tanpa mengira kaum mahupun agama berhilai ketawa, membesar dan berlibur bersama-sama, atau didewasakan dengan kebencian yang membara.

"Di satu sudut, jalan mulia yang telah terintis semenjak merdeka, bersiram darah, bermandi air mata dan dibasahi keringat para patriot sepanjang zaman," katanya lagi.

Najib berkata, beliau selaku Presiden Umno bersama-sama timbalanya serta seluruh saf kepimpinan parti, bersumpah dengan nama ALLAH dan Rasul-Nya, berikrar dan berjanji, terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, terus memartabat rumpun Melayu, terus membenteng akidah umat dan terus memelihara agama Islam.

"Walau apapun rintangan yang melanda, biar apapun cabaran menghalang, UMNO tidak akan berpulang walau setapak, Umno tidak mungkin berpatah jalan.

"Umno takkan berdalih dalam menjulang sebuah kebaktian. UMNO dan Barisan Nasional akan mara di barisan hadapan, menghadapi musuh dari luar mahupun dalam," katanya lagi.

Malah kata beliau, pihaknya akan menggunakan segala kudrat yang ada bagi memenangani hati dan fikiran rakyat di gelanggang demokratik.

"Kita akan bersaing untuk setiap undi,  kita akan berusaha untuk meyakinkan setiap rakyat Malaysia, kita juga akan mengetuk setiap pintu hati dan membuka setiap gerbang harapan.

"Kita percaya, rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang terbaik dan kita yakin bahawa, UMNO dan Barisan Nasionallah yang mampu untuk menawarkan yang terbaik untuk rakyat Malaysia," kata beliau.

UMNO TERUS MARA UNTUK RAKYAT MALAYSIA....


Sebelum balik ke kawasan masing-masing, YB BN Sarawak telah diraikan oleh BNBBC Sarawak sebaik sahaja selepas sidang DUN Sarawak yang berakhir petang semalam sebaik sahaja penggulungan Belanjawan 2013 Sarawak oleh Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud.

Pada malamnya, 3 Bloggers Anak Sarawak termasuk Wira Kenyalang dan UnReportedNews telah dijemput secara eksklusif oleh BNBBC atas liputan dan bantuan yang telah diberikan di sepanjang Persidangan DUN Sarawak Ke-17 bermula 19 hingga 28 November 2013.


Bertemakan Light & Easy, malam BNBBC Sarawak telah berjaya diraikan dengan santai dan penuh bermakna. Kehadiran Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud yang ditemani isterinya, Puan Sri Ragad Waleed Alkurdi yang kelihatan sangat jelita. Beberapa menteri kabinet Kerajaan Negeri Sarawak termasuk Menteri dan Menteri Muda, ahli-ahli BNBBC Sarawak dan mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung serta para wartawan.

Dalam ucapannya, Ketua Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Sarawak, YB Abdullah Haji Saidol yang juga Pengerusi BNBBC Sarawak mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap ahli-ahli BNBBC yang telah menjalankan tugasan yang baik dalam Persidangan DUN Sarawak ke-17 ini.


Kualiti perbahasan pada kali ini semakin meningkat dan dijangka akan terus meningkat dengan beberapa pendekatan terbaru. Ini bertujuan memastikan BNBBC sentiasa relevan dalam mempertahankan segala tohmahan yang dilemparkan ADUN Pakata Pembangkang yang sentiasa cuba mengambil kesempatan dan ruang dalam memperkecilkan usaha Kerajaan BN dalam membangunkan Sarawak.

Majlis pada malam itu telah diserikan dengan persembahan oleh Kumpulan Peminat P.Ramlee Sarawak yang telah mendendangkan beberapa buah lagu P.Ramlee. Ternyata persembahan pada malam itu telah berjaya menarik perhatian hadirin termasuk tetamu kehormat Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.


Disertakan juga penyampaian hadiah kepada mereka yang menyertai pertandingan menembak, boling dan futsal sebagai aktiviti sihat bagi mengisi ruang masa di sepanjang Persidangan DUN Sarawak Ke-17.


Ternyata pada itu, YB BN Sarawak secara santai menikmati hiburan dalam merehatkan minda selepas penat berbahas. Jumpa lagi di Persidangan DUN Sarawak akan datang.

Gambar-gambar daripada UnReportedNews


Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan Belanjawan Negeri 2013 yang bernilai RM4.9 bilion setelah dibaca buat kali ketiga oleh Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud merangkap Menteri Kewangan Negeri.

Ketika membentangkan cadangan Belanjawan Negeri 2013 pada 19 November lepas (hari pertama Persidangan DUN), Taib memberitahu daripada RM4.9 bilion sejumlah RM3.4 bilion atau 69 peratus untuk perbelanjaan pembangunan manakala RM1.5 bilion lagi (31 peratus) untuk perbelanjaan operasi.

Dalam usaha Sarawak mencapai lebih banyak pembangunan yang seimbang dan luas serta menyokong pertumbuhan ekonomi, Belanjawan 2013 juga memfokus kepada objektif-objektif juga strategi-strategi utama seperti menyediakan peruntukan mencukupi bagi pelaksanaan semua projek dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).


Celahan ADUN (DAP-Kota Sentosa), Chong Chieng Jen di Dewan Undangan Negeri Sarawak pada hari terakhir persidangan semasa penggulungan Bajet 2013 oleh Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Kewangan, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud telah mendapat layanan yang sewajarnya.

“Tidak menjadi masalah Tuan Speaker (untuk saya memberi penjelasan)… Ini adalah amalan dalam semua bajet (negeri) yang diluluskan sebelum ini, malah sebelum Yang Berhormat (Kota Sentosa) dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri lagi.

“Kerajaan menggunakan kaedah sama, semua ini ada berkaitan peruntukan kewangan, cara pengagihannya bergantung kepada program, kelulusan Jabatan Kewangan, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri,” jelasnya.

Taib menambah, agensi-agensi bakal menerima peruntukan itu belum ditentukan lagi kerana Dewan hanya meluluskan cadangan Belanjawan 2013 bukannya cadangan projek.

“Jangan bercakap secara umum tanpa melihat semua rekod kerajaan dan keperincian bagaimana sesuatu projek itu diperuntukkan. Jika tidak anda bercakap sembarangan.

“Anda harus tanya apa projek khusus dilakukan dan jika tidak, saya akan mengatakan anda bercakap secara umum kerana anda tidak tahu apa-apa… Maaf kerana saya perlu mengatakan begitu,” ujarnya.

Ini bagi menjawab soalan ADUN DAP itu mengenai senarai agensi kerajaan yang menerima agihan peruntukan tersebut ketika sesi penggulungan ucapan pada persidangan DUN semalam.

Manakala, selepas berakhirnya sidang DUN Sarawak semalam, wartawan terus mengerumi Chong Chieng Jen bagi mendapatkan penjelasan berhubung soalan yang diberikannya itu seolah-olah mahu membuat provokasi ke atas ucapan penggulungan Ketua Menteri Sarawak.

Reaksi Chong Chieng Jen hanya senyum dan ramai wartawan percaya soalan itu sengaja dilakukan bagi menganggu ucapan penggulungan berhubung Bajet 2013 Negeri Sarawak. 

Wednesday, November 28, 2012



Isu doa kehancuran terhadap UMNO dan BN yang diusahakan PAS dengan dipimpin adik Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Razi Nik Mat ketika Muktamar PAS Ke-58 yang berlangsung di Kota Bahru pertengahan bulan November lepas masih lagi panas dan menjadi buah mulut rakyat Malaysia.

Ramai yang menyifatkan doa kehancuran itu membuktikan PAS kini sudah jauh melencong daripada perjuangan asal. Harus diingat bahawa mendoakan perkara yang tidak baik ke atas sesama muslim adalah suatu yang hina dan tidak pernah berlaku dalam Islam.

Bagaimanapun, ini tidak berlaku kepada UMNO yang kini sedang mengadakan Perhimpunan Agung UMNO di PWTC. Pemuda UMNO "mendoakan" agar ahli-ahli parti pembangkang terutamanya Pas selamat buat selama-lamanya dan akan kembali ke pangkal jalan. Inilah yang sebaik-baiknya atas nama Islam dan sejagat.

Selain Pemuda, Puteri, Wanita mahupun UMNO sendiri akan mendoakan kebaikan kepada parti itu untuk kembali ke pangkal jalan dan tidak lagi sesat di bawah ketaksuban dengan pemimpinnya yang gemar menyemai kebencian.

“Kita bukan seperti mereka, kita sama-sama doakan agar ahli Pas selamat selamanya, dan suatu hari nanti mereka dapat kembali ke pangkal jalan dan tidak lagi sesat," kata Khairy Jamaludin ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO hari ini.

Bercakap mengenai doa kehancuran yang dilakukan PAS itu, ia menyalahi Enakmen Jenayah Syariah Kelantan yang membolehkan sesiapa yang ingkar tergolong dalam kelompok kafir, atau telah berhenti menganut agama Islam.

Inilah PAS yang hanya menjadikan agama sebagai pelindung untuk kepentingan politik dalam menakluk Putrajaya.


Jika PRU-13 berjalan lancar dan telus, tetapi Pakatan Pembangkang kalah, apakah Pakatan Pembangkang akan menerima kekalahan dengan perasaan terbuka? Inilah yang menjadi persoalan sekarang menjelang PRU-13. Ini memandangkan kini semakin hampir PRU-13 maka semakin banyak perhimpunan dan demontrasi haram seperti mana yang dianjurkan Pakatan Pembangkang ketika ini.

Adalah tidak mustahil perhimpunan mahupun demontrasi haram akan berterusan selepas pilihan raya lebih-lebih lagi kekalahan yang akan dihadapi PRU-13. Untuk itu, wajarlah mana-mana pihak harus menerima kesan pertandingan politik PRU-13 yang dijangka sengit dengan hati terbuka. Dinasihatkan menerima kenyataan dan dinasihatkan tidak membuat provokasi seperti demonstrasi yang akhirnya akan menyebabkan huru-hara berlaku dalam negara.

Dengan mewujudkan keadaan tidak selesa itu, katanya, dibimbangi penyokong-penyokong yang terlalu taksub akan bangkit menimbulkan kekacauan kerana menganggap keputusan pilihan raya tidak memihak kepada mereka.

“Mereka menghasut orang ramai sekiranya keputusan tidak memihak kepada mereka dan akan membuat demonstrasi. Ada pihak yang tidak boleh menerima kekalahan dan akan membuat demonstrasi.

Mereka akan mengata ketidakadilan dan penipuan telah berlaku. Inilah dia puak-puak yang tidak mahu menerima kenyataan.

Mengulas mengenai taktik penyokong pembangkang yang menggunakan demonstrasi untuk menyatakan bantahan, beliau berkata, perkara itu menjadi satu instrumen kepada Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim untuk mengatur langkah ke Putrajaya.

Dr Mahathir juga mendakwa, merancang demonstrasi merupakan kemahiran tinggi Anwar Ibrahim dan merealiasikan impian menjadi Perdana Menteri.


“Sebelum ini tidak pernah ada demonstrasi. Malah masa dia (Anwar) dalam kerajaan, dia sendiri menentang demonstrasi, tetapi sekarang sejak dia keluar penjara, sering kali berlaku demonstrasi termasuk Bersih dan Himpunan Hijau,” katanya.

Katanya, jika perkara ini berlarutan, maka konflik antara pemenang dan yang kalah akan berterusan, malah kemungkinan ada pihak mengambil peluang menggunakan ketidakpuasan ini untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat secara sah.

Sehingga kini, Pakatan Pembangkang masih tidak mahu mengiktiraf kemenangan BN dalam PRU 2008 walaupun kerusi Pakatan Pembangkang telah bertambah dengan mendadak. Akibatnya, rakyat Malaysia sebenarnya hidup dalam huru-hara akibat perbuatan Pakatan Pembangkang yang masih belum berpjak di bumi yang nyata. 


Isu Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) menjadi hangat diperbahaskan di Persidangan DUN Sarawak Ke-17 petang semalam semasa penggulungan daripada Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak, Dato Sri Wong Soon Koh.

Menurut Wong, jika UCTS dapat direalisasikan pada September 2013 seperti mana yang dijanjikan BN, Wong Ho Leng sebagai Ahli Parlimen dicabar meletak jawatan. UCTS bukan omong kosong BN Sarawak seperti mana yang didakwa Wong Ho Leng dalam usaha merampas kembali kerusi Parlimen Sibu pada PRU-13 akan datang.

Wong Ho Leng yang menjadi target mansemalam kelihatan tidak senang duduk apabila banyak soalan berkisar kepadanya sebagai Ahli Parlimen Sibu dan ADUN Bukit Assek.

Terdahulu, Wong Ho Leng pernah membuat kenyataan di media mengatakan UCTS hanya gimik BN  menjelang PRU-13 dan universiti itu tidak akan dibina.

“Kita telah bekerja keras dalam tempoh dua tahun dengan restu daripada Ketua Menteri Sarawak dan Menteri Pengajian Tinggi serta Perdana Menteri untuk mewujudkan universiti kolej itu di Sibu.

Bercakap mengenai Wong Ho Leng, ADUN Bawang Assan itu menganggap karektornya sama seperti ‘tokong’ Penang, Lim Guan Eng yang gemar memutarbelitkan isu.

Tegas Wong Soon Koh lagi, rakyat Sibu sering bertanya, kenapa ADUN Bukit Assek yang juga Ahli Parlimen Sibu itu selalu berbohong dan mengaku tidak pernah menggambarkan bahawa wakil rakyat itu tidak mengambil berat soal pendidikan?

Malah, Wong Soon Koh juga melahirkan rasa kecewanya kerana ada segelintir pihak pembangkang membuat kenyataan di surat khabar berbahasa Cina dengan harapan membinasakan kerajaan demi agenda politik mereka.

Buat Wong Ho Leng, terimalah cabaran Wong Soon Koh jika benar beliau anak jantan. Jangan main cakap dari belakang saja macam yang Anwar Ibrahim selalu ajar.

Tuesday, November 27, 2012



Apakah relevannya isu politik Pulau Pinang yang membabitkan Lim Guan Eng diperbahaskan di DUN Sarawak? Ramai tertanya dan pasti ramai yang pening dengan karektar terbaru politik Sarawak.

Jawapannya mudah saja, DAP Sarawak bertunjangkan DAP Pusat yag diterajui Lim Kit Siang dan dibantu Lim Guan Eng sebagai setiausahanya. Malah, DAP Sarawak banyak berkiblatkan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng. Atas sebab itulah, pemimpin dua beranak itu sering menjadi penasihat kepada DAP Sarawak yang dipengerusikan Wong Ho Leng.

Tidak semena-mena Wong Ho Leng, Ahli Parlimen Sibu menjadi sasaran Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak, Dato Sri Wong Soon Koh semasa penggulungan di DUN Sarawak petang tadi. Sepanjang penggulungan, Wong Ho Leng sebagai target man terkulai layu apabila Wong Soon Koh mengambil pendekatan ‘menyerang’ kreadibiliti Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan DAP sebagai parti pemerintah di Pulau Pinang.

Segala fakta yang diutarakan Wong Soon Koh sukar untuk dijawab Wong Ho Leng yang banyak bertindak membuat kacau semasa penggulungan perbahasan sedang berlangsung. Paling menyedihkan tiada seorangpun daripada rakan DAP mahupun PKR yang membantu Wong Ho Leng mempertahankan diri. Jika ada pun hanyalah Chong Chieng Jen yang bertindak sebagai Setiausaha DAP dan menjadi tanggungjawabnya untuk mempertahankan bosnya itu.

Isu perletakan jawatan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Fairus Khairuddin dan pemecatan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Aziz Ibrahim akibat tekanan daripada Lim Guan Eng.

Isu Taman Manggis di Pulau Pinang juga menjadi bahan bualan apabila tindakan Kerajan Pulau Pinang itu diibaratkan sebagai lakonan Robin Hood Malaysia. Jika Robin Hood di England merompak tanah untuk diberikan kepada orang miskin, tetapi di Pulau Pinang merompak tanah dan diberikan kepda mereka yang kaya. Lebih menyedihkan, Kerajaan Pulau Pinang gagal menyediakan rumah kos rendah kepada rakyatnya.

Bagi mengukuhkan kekuasannya dalam membuat keputusan dan pentadbiran Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah melantik diri sendiri dalam beberapa badan tadbiran yang sangat berkuasa seperti di Komiti Perancangan Negeri Pulau Pinang, Komiti Tanah Kerajaan dan Syarikat Pembangunan Pulau Pinang. Atas sebab itu, Lim Kit Siang berjaya mengawal sumber-sumber tanah di Pulau Pinang.

Lebih mengejutkan isu personaliti yang melibatkan skandal Lim Guan Eng dengan stafnya, Siau Hung juga menghiasi perbahasan DUN Sarawak. Isu ini telah dibangkitkan di DUN Melaka sebelum ini hingga membuatkan isteri Lim Guan Eng, Betty Chew mengamuk kepada Siau Hung. Hebat sungguh skandal Lim Guan Eng hingga setaraf dengan sifunya Anwar Ibrahim. 


Di Semenanjung, isu ‘tokong’ atau ketua yang sombong dan angkuh seperti Lim Guan Eng semakin dilupakan khususnya mereka yang duduk di Pulau Pinang. Hanya kerana keceluparan mulut Timbalan Perdana Menteri 1, Mansor Othman dalam Mesyuarat PKR Pulau Pinang yang membincangkan persiapan menghadapi PRU-13 dan kebocoran rakaman mesyuarat itu, membuatkan kedudukan Mansor Othman sebagai ADUN di Pulau Pinang terjejas.

Ini adalah sebahagian sedutan Mesyuarat PKR Pulau Pinang yang dipengerusikan Pengerusi PKR Pulau Pinang sehingga mencetuskan kekecohan dalaman PKR dan DAP.

“Guan Eng macam tokong you know to the Chinese, you cannot deny that, he is just like a tokong, itu yang buat dia orang sombong, very-very angkuh and arrogant. Tapi tidak apalah, whatever it is, we get ourselves stronger, young people you orang kena prepare, every seat kita nak bertanding, kena ada orang.”

Manakala, pada petang tadi isu Lim Guan Eng ‘tokong’ telah mengambil tempat dalam perbahasan di DUN Sarawak. Pertikaman lidah menyaksikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak, Dato Sri Wong Soon Koh tanpa memberi ruang telah menghentam Ahli Parlimen Sibu yang juga ADUN Bukit Assek, Wong Ho Leng berhubung isu ‘Tokong’.

Akibatnya dewan kecoh dengan teriakan dan pekikan Wong Ho Leng yang begang dengan kenyataan Wong Soon Koh. Harapan untuk mendapatkan bantuan daripada rakan-rakan DAP tidak kesampaian apabila tiada seorangpun ADUN DAP yang membantu Wong Ho Leng melainkan Chong Chieng Jen yang cuba mempertahankan ‘bos’nya itu tetapi tidak kesampaian.

Setelah diberi amaran sebanyak 3 kali oleh speaker, Chong Chieng Jen tidak lagi berani mencelah dan mula meninggalkan dewan akibat kenyataan tajam Wong Soon Koh ke atas Wong Ho Leng. Isu tokong ini benar-benar meninggalkan kesan mendalam kepada Wong Ho Leng kerana melibatkan ‘bos’nya di peringkat pusat. Lim Guan Eng merupakan Setiausaha DAP Pusat yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang. 


Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak telah mengotakan janjinya apabila menyampaikan bantuan segera kepada bekas-bekas pekerja Sanmina-CSI Corporation (M) Sendirian Berhad yang diberhentikan secara mengejut terbela apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS) hari ini mengambil inisiatif memberi bantuan segera seperti mana yang diumumkan Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Hajah Fatimah Abdullah dalam penggulungan semasa Persidangan DUN Sarawak Ke-17 pada Hari Ke Enam semalam.

Pada pagi tadi, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Hajah Fatimah Abdullah berkata, bantuan segera diberikan kepada bekas pekerja ini berikutan keadaan mereka yang putus punca pendapatan sebelum memperoleh pekerjaan baru.

“Bantuan persekolahan RM500 diberikan kepada ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah dan RM300 diberikan kepada bekas pekerja ini hanya pada kali ini sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi perjumpaan bekas pekerja Sanmina-CSI dengan pihaknya di Wisma Kebajikan dan turut menyampaikan bantuan segera kepada mereka.

Fatimah menambah, anak bekas pekerja itu akan didaftar dibawah skim Bantuan Kanak-kanak (BKK) dan sekiranya layak, mereka akan menerima RM100 hingga RM450 setiap bulan namun akan dinilai selepas setahun kemudian.

“Kita juga memberikan bantuan keperluan asas untuk setiap keluarga dan kaunter pendaftaran e-kasih dibuka untuk menyimpan data mereka,” ujarnya.

Selain itu, agensi lain turut terlibat sama dalam usaha membela nasib bekas pekerja Sanmina-CSI seperti Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang mengadakan program ‘job-matching’ sebagai usaha membantu pekerja berkenaan di Padawan baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak bekas pekerja ini, James Jalai merakamkan setinggi penghargaan kepada pihak JKMNS atas bantuan berkenaan.

Hadir sama, Setiausaha JKMNS, Rodziah Morshidi, Pengarah JKMNS, Noriah Haji Amat, Pegawai Daerah Kuching, Mahri Sarpawi dan Pegawai JTK, Barnabas Ahjan.
                                                 
Kerajaan Negeri Sarawak sememangnya prihatin dengan permasalahan yang dihadapi bekas-bekas pekerja Sanmina-SCI Corporation akibat daripada tindakan masalah kilang yang memberhentikan operasi mereka akibat kurangnya permintaan di peringkat global kesan daripada ekonomi dunia.

Atas sebab itu, untuk permulaan ini Kerajaan Negeri Sarawak menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak telah membantu meringankan bebanan yang dihadapi bekas-bekas pekerja khususnya dalam menghadapi pembukaan persekolahan anak-anak yang dijadualkan Januari 2013.

Biarpun Pakatan Pembangkang menerusi ADUN PKR Batu Lintang, See Chee How cuba membawa sekumpulan bekas pekerja Sanmina-SCI Corporation di DUN Sarawak bagi mengalih perhatian sidang DUN Sarawak, namun tiada sebarang usaha yang dilakukan mereka untuk membantu bekas-bekas pekerja ini.

Apa yang cuba dilakukan mereka hanyalah untuk meraih publisiti murahan bahawa kononnya mereka ini ‘juara’ dalam menyelesaikan masalah. Hakikatnya, tiada sebarang usaha yang dilakukan dalam membantu mahupun menyelesaikan masalah mereka ini.

Berbeza dengan Kerajaan Negeri Sarawak yang mengamalkan dasar perbincangan dalam menyelesaikan masalah dalam usaha mencari punca dan jalan penyelesaian yang terbaik. Berbanding Pakatan Pembangkang yang gemar memperbesarkan masalah, tetapi pengakhirannya tiada sebarang penyelesaian. Mereka hanya mahu mendapatkan publisiti dan promosi sahaja. 


Setelah bernekad melaksanakan hudud ke atas semua rakyat Kelantan termasuk kaum Cina walapun mendapat tentangan hebat daripada Pengerusi DAP, Karpal Singh, PAS sekali lagi mengejutkan DAP dan PKR apabila mahu calon kedua-dua komponen Pakatan Pembangkang itu melakukan ‘baiah’ seperti mana yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin PAS.

Baiah ini dilakukan PAS bagi mengelak pemimpin lompat parti bersandarkan sumpah setia mereka ke atas sebuah parti, PAS.

Ini diperjelaskan Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussain yang menggesa kepimpinan Pakatan Pembangkang seperti DAP dan PKR turut mewajibkan syarat ‘baiah’ terhadap calon-calon pilihan raya yang bakal diketengahkan parti-parti berkenaan di negeri ini bagi mengelakkan senario lompat parti yang berlaku sebelum ini berulang.

Ini bukan kali pertama PAS menyuarakan pandangan ini kepada rakan-rakan mereka dalam Pakatan Pembangkang. Bagaimanapun, pandangan ini dipandang sinis pemimpin DAP dan PKR atas pelbagai alasan.

PAS Perak belajar daripada kesilapan bekas-bekas ADUN DAP dan PKR yang telah melompat parti selepas menang PRU 2008. Biarpun DAP menang dengan majoriti, tetapi disebabkan Perlembagaan Negeri Perak yang mensyaratkan calon Menteri Besar mestilah daripada kalangan orang Melayu, maka calon PAS menjadi pilihan terbaik.

Namun, hanya 6 bulan menjadi Menteri Besar dan memerintah Perak akhirnya Pakatan Pembangkang terpaksa akur dengan keputusan mahkamah dan kelibat ADUN DAP dan PKR yang melompat parti. Akhirnya, bukan sahaja PAS kempunan tetapi juga DAP dan PKR juga terpaksa gigit jari.

Apakah DAP dan PKR mahu melakukan baiah seperti mana yang dimahukan PAS dalam usaha membasmi pemimpin lompat parti? 


Biarpun penat menghadiri Persidangan DUN Sarawak Ke-17 masih belum hilang, Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud meluangkan masa berjumpa dengan rombongan sukarelawan kempen "Selamatkan Gaza Selamatkan Palestine" di pejabatnya pada tingkat lima di bangunan DUN di Petra Jaya berhampiran bandaraya pada sesi petang DUN semalam.

Dalam perjumpaan singkat itu, Ketua Menteri telah menderma sejumlah wang kepada rombongan yang diketuai Dato’ Idris Buang dalam usaha mengumpul derma "Sayang Gaza Sayang Palestine".

Kumpulan sukarelawan terdiri daripada pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi dan beberapa kanak-kanak mewakili secara simbolik yang kanak-kanak dan remaja di Sarawak mahukan kedaulatan dan keamana dalam sesebuah Negara.

Menurut Ketua Penganjur kempen "Selamatkan Gaza Save Palestin" Dato’ Idris Buang Ketua, objektif kunjungan hormat adalah untuk mendapatkan persetujuan daripada Ketua Menteri pada pelancaran kutipan derma kempen "Selamatkan Gaza Selamatkan Palestine".

"Kami (penganjur kempen "Selamatkan Gaza Save Selamatkan Palestine”) bekerjasama dengan Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak, Sayap Pemuda dan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Aman Palestin, Lembaga Amanah Masjid Negeri Sarawak, PPWS, individu dan lain-lain.

Terdahulu, rombongan tersebut telah mengadakan perjumpaan dengan DUN Speaker Datuk Amar Haji Mohammad Asfia Awang Nasar untuk mendapatkan persetujuan bagi meletakkan beberapa kotak kutipan derma di bangunan DUN Sarawak.

Menurut Idris, kotak-kotak kutipan derma akan diletakkan di lobi DUN Sarawak sehingga akhir sesi DUN tahun ini.

"Kami juga dalam proses memohon permit yang diperlukan untuk meletakkan kotak derma di seluruh Sarawak lebih-lebih lagi di masjid, jabatan-jabatan kerajaan dan agensi-agensi, tempat-tempat awam untuk mendapatkan lebih ramai untuk terlibat dalam kempen."

Menjelaskan bahawa kempen akan dijalankan sehingga awal tahun depan untuk mengumpul seberapa banyak yang mungkin akan dihantar kepada Palestin, katanya sambil menambah bahawa di samping mengumpul derma, mereka juga menyebarkan kesedaran melalui facebook kami dan beberapa blog rakan-rakan mereka termasuk team Bloggers Anak Sarawak ™®.

Penganjuran aktiviti seperti ini menandakan bahawa rakyat Sarawak juga prihatin terhadap kesengsaraan rakyat Palestin akibat kekejaman Israel. 

Semalam, 26 November 2012, Isnin tercatat dalam sejarah sekumpulan remaja Penan dari Baram yang pertama kali datang menjejaki kaki ke Kuching. Di Kuching, sekumpulan remaja Penan ini dibawa melawat dan menyaksikan prosiding perbahasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang kini memasuki hari keenam.

Kumpulan remaja Penan atau lebih dikenali sebagai Generasi Y ini juga berpeluang melawat beberapa tempat di Kuching seperti di sekitar bandar Kuching, Universiti Teknologi MARA Kampus Samarahan dan beberapa kawasan menarik. Ini pastinya memberikan pengalaman menarik kepada mereka sekembalinya mereka ke kampung halaman masing-masing.

Paling mengembirakan setiap di kalangan remaja Penan itu apabila bukan saja dapat berjumpa secara face to face dan bersalaman, bahkan beramah mesra dengan Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. Ternyata, Pehin Sri Taib sangat teruja bertemu mereka biarpun seharian berada dalam DUN Sarawak.

Untuk ketahui lebih lanjut, baca artikel di bawah.


Sekumpulan remaja Penan dari Baram berpeluang untuk bertemu dengan Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud di DUN semalam.

Taib, selepas mempengerusikan mesyuarat dengan beberapa ketua-ketua jabatan kerajaan pejabatnya di tingkat lima turun ke lobi DUN untuk bertemu dan bersalam dengan setiap ahli kumpulan tersebut.

Menurut Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Abdullah Haji Saidol yang merupakan penyelaras kunjungan hormat tersebut, objektif lawatan itu adalah untuk memberi pengalaman secara langsung kepada masyarakat Penan mengenai prosiding DUN.

"Adalah diharapkan bahawa peserta kumpulan boleh menyampaikan pengalaman mereka kepada rakyat mereka di kampung masing-masing apabila kembali semula," kata Abdullah, yang juga merupakan ADUN Semop menerusi satu temubual eksklusif bersama UnReportedNews sejurus lawatan tersebut.

Sementara itu, ADUN Telang Usan yang juga pembantu penyelaras kunjungan hormat, Dennis Ngau memberitahu UnReportedNews bahawa kumpulan tersebut terdiri daripada seramai 40 remaja dari masyarakat Penan dari lima buah kampung di kawasan Baram.

"Kebanyakan mereka menjejakkan kaki ke ibu kota (Kuching) Sarawak buat kali yang pertama dan bagi pihak kaum Penan, saya benar-benar ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud telah bersetuju untuk memenuhi kumpulan ini iaitu bertemu secara terus dengan mereka."

Ketua Menteri turut meluangkan masa kira-kira sepuluh minit berbual dengan semua ahli kumpulan yang juga kemudiannya menyerahkan buah tangan kepadanya.


Kegembiraan jelas terpancar di wajah remaja Penan apabila berjumpa Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan akan menyampaikan pengalaman manis mereka ini kepada rakan-rakan mereka di kampung halaman. Dakwaan negatif terhadap Kerajaan Negeri Sarawak pastinya kini sudah terbuang jauh dan menyokong penuh ke atas pemerintahan BN Sarawak dalam memastikan generasi mereka akan dapat menikmati pembangunan di masa hadapan. 
Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!