Bekas Ketua Pengarang Suara Keadilan, DZULKARNAIN TAIB yang kini bergerak
atas kapasiti Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM) kini menjadi duri
dalam daging kepada PKR dan Pakatan Pembangkang dalam pembongkaran isu kapal
selam Scorpene. Jelas Dzulkarnain lagi, tindakan SUARAM terus-terusan memfitnah
kerajaan dalam isu itu adalah jelas bermotifkan politik.
Berpengalaman dalam Suara Keadilan milik PKR yang akhirnya meletak jawatan
atas kerelaan sendiri telah menyedarkan anak muda itu betapa etika kewartawanan
tidak diberi perhatian oleh organ parti pembangkang itu sebaliknya hanya
menjadi saluran propaganda dan fitnah yang efektif.
“Yang jelas peranan mereka lebih kepada menyebar
propaganda dan fitnah terhadap kerajaan walaupun hakikatnya ia langsung tidak
benar dan hanya mahu memburukkan imej kerajaan di mata rakyat.
Bekas Ketua Pengarang Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib
Untuk lebih detail lagi, wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan
jurugambar IZHAM JAAFAR telah menemubual bekas Ketua Pengarang Suara Keadilan Dzulkarnain Taib dalam memberikan
gambaran sebenar berhubung niat dan tujuan sebenar Suara Keadilan yang menjadi
tunjang dalam menyebarkan fitnah ke atas kerajaan BN.
MINGGUAN: Bagaimana sebenarnya
pembangkang menggerakkan medium media mereka?
DZULKARNAIN: Sebenarnya
sebelum Pilihan Raya Umum 2008, pihak pembangkang telah aktif berkempen melalui
medium Internet terutamanya melalui blog dan sebagainya. Mereka seolah-olah
mendapat suatu tenaga baru melalui penggunaan media sosial baru ini. Saya boleh
katakan nisbah antara blogger pembangkang dan BN adalah antara 15 ke 20 blogger
propembangkang berbanding hanya satu di pihak blogger pro-UMNO atau BN. Itu
menjadi faktor bagaimana pihak pembangkang begitu menguasai dunia maya.
Terdapat pelbagai isu yang ditimbulkan terutama yang menghentam kerajaan. Sama
ada isu ditimbulkan itu benar atau tidak, ia bukan menjadi ukuran dan keutamaan
pembangkang.
MINGGUAN: Apa yang menjadi
keutamaan dalam pemberitaan mereka?
DZULKARNAIN: Keutamaan mereka
adalah mendedahkan sebanyak mungkin isu yang boleh dipolitikkan untuk
menghentam kerajaan. Melalui cara ini mereka akan cuba mewujudkan satu persepsi
negatif kepada rakyat yang selama ini menyokong kuat BN. Mereka telah
melancarkan propaganda dan fitnah melalui laman-laman sosial dan media baru.
Saya mahu menjelaskan di sini bahawa taktik ini masih diteruskan sehingga kini
malah dengan lebih kerap. Sebenarnya kebenaran bukanlah matlamat mereka kerana
ia lebih sebagai propaganda. Taktik ini jika kita lihat lebih kurang sama
dengan apa yang dilakukan oleh Menteri Propaganda Nazi, Joseph Groebbels, iaitu
apabila berkali-kali kita menyatakan sesuatu itu sebagai benar walaupun
hakikatnya ia satu penipuan, kerana minda dari sudut psikologi, apabila diulang
banyak kali akhirnya orang akan mempercayainya. Jadi itulah strategi lama namun
masih berkesan yang diamalkan oleh pihak pembangkang sehingga kini.
MINGGUAN: Jika begitu, apakah
strategi yang digunakan dalam memanipulasi berita dan fakta?
DZULKARNAIN: Saya lihat
pembohongan, fitnah dan character assasination adalah sebahagian daripada
strategi utama mereka. Kita boleh lihat sekarang ini dalam isu Scorpene. Ia
telah dijadikan satu isu yang besar dan membawanya ke peringkat antarabangsa
dan Mahkamah Perancis. Tidak cukup bagi mereka melempar fitnah melalui ceramah
dan medium media baru. Apa sebenarnya agenda mereka kerana semua pertanyaan
yang diluahkan mereka sudah terjawab? Malah Ketua Audit Negara telah pun
menjawab bahawa segala urusan melibatkan Scorpene adalah mengikut prosedur dan
perundangan. Namun pihak pembangkang masih berterusan memfitnah kerajaan
walaupun jelas Mahkamah Perancis sudah menetapkan pendiriannya. Malah saya ada
terbaca baru-baru ini pihak pembangkang cuba menganjurkan satu jelajah ke
seluruh negara untuk mendedahkan isu Scorpene walaupun tidak ada isu sebenarnya
dalam hal ini.
MINGGUAN: Kenapa pihak ini begitu
bersungguh-sungguh mahu menjadi plaintif dalam perbicaraan ini?
DZULKARNAIN: Sebab itu KWMM
membuat sidang akhbar membongkar status Suaram sebagai plaintif. Sejak Mac
lalu, pihak mahkamah Perancis telah menolak permohonan Suaram untuk menjadi
plaintif. Untuk menjadi plaintif mereka perlu mempunyai kepentingan dalam
urusan pembelian Scorpene. Oleh itu jelas ini adalah usaha Suaram untuk menipu
Mahkamah Perancis dan apabila pihak mahkamah menyedarinya maka mereka menolak
usaha ini. Sekarang ini mereka tidak ada kena-mengena malah tidak boleh
bersuara dalam isu Scorpene.
Mereka cuba pula untuk menjadi plaintif bersama namun mereka mahu bersekutu
dengan siapa? Kenapa Suaram begitu bersungguh-sungguh mahu menjadi plaintif?
Ini adalah sebab undang-undang Perancis berbeza yang mana apabila mereka
diterima menjadi plaintif, mereka akan diberi kebenaran ke atas kesemua dokumen
yang terlibat dalam urusan pembelian Scorpene. Maka apabila mereka boleh mendapat
kesemua maklumat itu maka mereka akan berterusan memfitnah dan memutarbelitkan
isu dan fakta mengenai perkara ini kepada umum. Ini yang mereka mahukan
sebenarnya dan kami mendedahkan bahawa mereka bukan lagi plaintif dalam
perbicaraan malah mereka hanyalah satu pertubuhan haram yang tidak berdaftar.
MINGGUAN: Boleh ceritakan latar
belakang saudara semasa berada di akhbar Suara Keadilan?
DZULKARNAIN: Apabila saya
ditawarkan menjadi Pengarang Bersekutu akhbar itu pada 2008 dan kartunis Zunar
ialah Ketua Pengarangnya, satu perkara yang saya sangat terkejut adalah, saya
diberitahu jika mahu bekerja di akhbar ini paling penting adalah wajib percaya
bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak terlibat dalam perlakuan liwat. Saya
terdiam dan agak terkejut. Sebagai orang media, saya ada perkiraan sendiri
iaitu masuk ke akhbar ini kerana ingin tahu bagaimana media pembangkang
beroperasi dan apakah prinsip kewartawanan yang mereka pegang. Kemudiannya
Suara Keadilan telah diambil alih oleh pengurusan baru dan saya dilantik sebagai
Ketua Pengarang. Saya cuba membawa prinsip-prinsip arus perdana dalam akhbar
itu supaya ia boleh menjadi satu wadah profesional dalam membuat laporan
berita. Jika pemberitaan kami lebih bertanggungjawab walaupun bersuara
pembangkang, mungkin kami akan lebih dihormati.
Saya memegang jawatan itu selama setahun namun sepanjang saya memegang
jawatan itu, akhbar itu masih sah dari sudut perundangan kerana permitnya sah.
Yang pasti walaupun saya cuba membawa pembaharuan namun mereka sebenarnya tidak
memberi tumpuan kerana yang penting bagi mereka, ia perlu menjadi satu saluran
propaganda dan fitnah yang efektif untuk mereka. Akibatnya akhbar itu banyak
disaman. Jawapan kenapa saya berhenti dan kemudian bertindak keluar PKR adalah
kerana saman RM200 juta terhadap saya dan beberapa yang lain berhubung isu
Felda bankrap. Apabila saya melihat kembali peristiwa itu saya berpandangan
adalah tidak adil untuk memfitnah Felda yang telah begitu berjasa kepada orang
Melayu dalam usaha meningkatkan taraf hidup mereka.
MINGGUAN: Bagaimana boleh timbul
masalah sehingga disaman?
DZULKARNAIN: Apabila kita
mahu mengatakan sesuatu perkara, kita juga perlu melihat kemungkinan apakah
kita juga ada kemungkinan bertindak salah dalam hal itu. Saya berpandangan
ketika itu adalah tidak betul untuk meletakkan tajuk utama sebagai 'Felda
bankrap' dan ia sebenarnya perlu diletakkan tanda tanya di pengakhiran tajuk
itu. Jadi mungkin ia sekadar kami menimbulkan persoalan namun pihak atasan
langsung tidak bersetuju dan tetap dengan tajuk berkenaan. Saya sudah melihat kami
akan disaman dan ia benar-benar berlaku. Kita sedia maklum bahawa mereka mahu
mempopularkan akhbar mereka namun bukanlah senantiasa semua berita yang
dikeluarkan perlu disensasikan. Kita faham jika terdapat sesuatu berita yang
mahu disensasikan namun bukan semua apatah lagi berita dan artikel yang
dikeluarkan itu lebih kepada fitnah dan pembohongan.
MINGGUAN: Bagaimana hubungan
Suara Keadilan dengan akhbar-akhbar parti lain seperti Harakah dan Roket?
DZULKARNAIN: Sepanjang saya
berada di Suara Keadilan, saya tidak nampak sebarang kerjasama antara kesemua
akhbar ini. Masing-masing hanya buat hal masing-masing yang bertumpu kepada
aliran pemikiran mereka sendiri. Oleh itu saya berani menyatakan bahawa pakatan
pembangkang ini tidak sekuat mana kerana sesama media mereka pun tidak wujud
persefahaman yang jelas. Bagaimana mereka mahu menguruskan peranan media jika
tiada persefahaman sesama mereka. Yang jelas peranan mereka lebih kepada
menyebar propaganda dan fitnah terhadap kerajaan walaupun hakikatnya ia
langsung tidak benar dan hanya mahu memburukkan imej kerajaan di mata rakyat.
MINGGUAN: Bagaimana saudara
melihat kritikan yang dilemparkan NUJ terhadap KWMM baru-baru ini?
DZULKARNAIN: Memang mereka
menyatakan bahawa kami ini dilihat seolah-olah menyebelahi kerajaan. Namun bagi
saya, apa salahnya. Apakah timbul masalah jika kami menyokong kerajaan? Ada
juga pihak NGO media yang tidak menyokong kerajaan namun kami tidak merungut
atau membuat sebarang aduan mengenai mereka. Ini kerana kita perlu faham bahawa
kita adalah pengamal media maka kita perlu berlapang dada dan berfikiran
terbuka untuk menerima semua hujah dan fakta yang dikemukakan. Jika pihak NUJ
mengatakan kami berat sebelah maka saya cabar mereka supaya mengeluarkan hujah
dan komentar mengenai isu Scorpene. Ini mungkin boleh mengimbangi pandangan
saya mengenai isu ini dan saya mahu mereka berani ke depan. Mungkin mereka
melihat kami lebih kepada prokerajaan namun sebenarnya kami lebih kepada
pro-Malaysia. Kami tidak menyokong secara membabi buta namun yang penting adalah
keselamatan negara, bebas daripada campur tangan asing dan pada masa, perpaduan
dan keharmonian rakyat perlu menjadi keutamaan.
Sumber: Utusan Malaysia
Kepada mereka yang selama ini berpegang kepercayaan terhadap Suara Keadilan
renung-renungkanlah. Masih ada masa untuk anda beralih dan menginsafi diri
seperti mana yang ditunjukkan bekas Ketua Pengarang Suara Keadilan.