Pergolakan dalaman Pakatan Pembangkang di Pulau Pinang kini kian parah
apabila PKR tidak berpuas hati dengan lagak Lim Guan Eng dan DAP yang mahu
menambah majoriti calon DAP Cina di DUN Pulau Pinang. Keputusan DAP itu telah
menaikkan darah PKR hingga menyebabkan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang,
Mansor Othman menggelarkan Lim Guan Eng sebagai ‘angkuh’.
Heboh 1Malaysia apabila minit mesyuarat PKR yang dipengerusikan Mansor
Othman bocor hingga tersebarnya PKR Pulau Pinang kini tidak sehaluan lagi
dengan DAP. Ini disebabkan DAP cuba untuk meramaikan calon DAP khususnya bagi
menakluk seluruh Pulau Pinang. Dengan ini, Melayu boleh dikeluarkan terus
daripada Pulau Pinang dan menjadikannya sebagai “Singapura Kedua’.
Minit mesyuarat itu dikatakan luahan hati Mansor Othman dan PKR Pulau
Pinang yang tidak berpuas hati dengan sikap Lim Guan Eng yang biadap dan tidak
boleh dipercayai.
Kebocoran minit mesyuarat itu telah mengundang DAP Pulau Pinang menuntut
PKR Pulau Pinang dan Mansor Othman membuat penjelasan rasmi dan menganggap kes
ini sangat serius kerana cubaan untuk memperkecilkan Setiausaha Agung DAP yang
juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengakui bahawa bahasa yang
digunakan dalam minit mesyuarat itu benar-benar telah mengundang perasaan marah
pemimpin DAP ke atas pemimpin PKR Pulau Pinang. Apakah motif PKR Pulau Pinang
menyifatkan Lim Guan Eng sebagai pemimpin ‘angkuh’?
Difahamkan DAP mahu bertanding di lebih banyak kerusi berbanding pada
PRU-13 akan datang ini berbanding PRU 2008 disebabkan DAP lebih kuat berbanding
PAS dan PKR. Malah, tidak keterlaluan dikatakan DAP kini parti yang banyak
menyumbang kepada kemenangan Pakatan Pembangkang berbanding PKR dan PAS yang
dikatakan parti melompat.
Dikatakan juga akan berlaku pertandingan 3 penjuru yang membabitkan sesama
parti komponen Pakatan Pembangkang dengan BN seperti mana yang selalu berlaku
sebelum ini.
Pendedahan ini kecoh apabila portal berita milik Pakatan Pembangkang,
Malaysiakini yang memetik Mansor sebagai berkata, minit mesyuarat yang bocor
itu sememangnya mencerminkan isu yang diambil berat oleh anggota parti itu.
Minit mesyuarat berkenaan, yang menyatakan dengan terperinci mesyuarat
strategik PKR bertarikh 19 Mac itu dimuatkan dalam satu blog
gelagatanwar.wordpress.com pada bulan Jun lalu.
Dalam perbincangan itu, beberapa pemimpin PKR menyatakan kebimbangan mereka
mengenai rundingan kerusi dengan DAP, parti yang paling dominan antara komponen
Pakatan di negeri tersebut, dan juga kemungkinan berlaku pertandingan tiga
penjuru.
Dalam dokumen itu juga, Mansor Othman meyakinkan pemimpin bawahannya bahawa
beliau tidak akan berganjak dan menggesa Timbalan Ketua PKR, Law Choo Kiang
untuk menyediakan senarai kedua – dengan sekurang-kurangnya 10 anggota
berbangsa Cina sebagai persediaan sekiranya mereka perlu berdepan DAP dalam
pertandingan tiga penjuru.
Ia turut menyatakan bahawa Mansor menyebut mengenai pengaruh calon Cina PKR
sebagai "ancaman" kepada DAP. Mansor dalam minit berkenaan juga
menyatakan bahawa sukar untuk bekerjasama dengan Lim Guan Eng kerana Ketua
Menteri itu semakin "angkuh", dan juga dianggap sebagai
"tokong" oleh golongan Cina tempatan.