KERANA POLITIK, PEMIMPIN DAP M.MANOHARAN PERLEKEH DATUK LEE CHONG WEI



Semangat dan kesungguhan pemain nombor 2 dunia, Datuk Lee Chong Wei bermain bermati-matian menentang Lin Dan telah memukau rakyat Malaysia walau bagaimanapun nasib belum menyebelahi Malaysia untuk memperoleh pingat emas pertama Olimpik.

Di sebalik Datuk Lee Chong Wei dianggap wira oleh kebanyakan rakyat Malaysia, pemimpin DAP M. Manoharan sebaliknya memperlekehkan wira negara itu.

Kebiadapan M. Manoharan dapat dilihat menerusi tweet di twitternya yang mengulas kekalahan tipis Chong Wei itu bersifat menghina antaranya menukar nama jaguh badminton tersebut kepada 'Lee Chong AWAY.'

Ternyata kenyataan M. Manoharan di dalam twitternya itu bukan sahaja telah memperkecilkan semangat juang Datuk Lee Chong Wei bahkan keseluruhan rakyat Malaysia. Tidak cukup dengan itu, pemimpin DAP itu meminta Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menyerahkan segala habuan yang dijanjikan untuk Chong Wei kepada Lin Dan yang dikatakannya sebagai miskin walaupun pendapatan jaguh badminton China itu adalah RM15 juta setahun.


Kenyataan biadab ADUN Kota Alam Shah itu segera mengundang kemarahan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama apabila mereka sepakat mendesak Manoharan meminta maaf. Menjadi kelaziman pemimpin Pakatan Pembangkang bahawa meminta maaf itu boleh menjatuhkan maruah biarpun secara terang telah melakukan kesalahan.

Kemarahan rakyat Malaysia memuncak apabila seorang rakyat Malaysia, Dominic Steeven tampil memberitahu menerusi laman Twitter milik Manoharan bahawa seluruh rakyat negara ini malu kerana mempunyai seorang wakil rakyat seperti beliau yang langsung tidak menghargai semangat perjuangan ahli sukan itu sebaliknya hanya mementingkan kemenangan.
  
"Apa yang kamu cuba katakan? Saya rakyat Malaysia, saya sokong negara saya. Kamu adalah seorang wakil rakyat tetapi beginikah caranya kamu menunjukkan rasa berterima kasih kepada negara? Kalah atau menang bukan persoalan kerana ia adat pertandingan, tetapi kita mesti memberi sokongan sebagai rakyat Malaysia.

"Saya langsung tidak dapat berfikir apa sebenarnya motif kamu mengeluarkan kenyataan sedemikian, kalau benar kamu yang memuat naik kenyataan tersebut, sila mohon maaf kepada Chong Wei. Seluruh rakyat Malaysia malu dengan kamu Yang Berhormat,"

Begitu juga dengan Ashwenee Appadurai yang menganggap Manoharan sebagai pengkhianat kerana selepas menghina Jalur Gemilang, kini pemimpin DAP itu menjadikan Chong Wei pula sebagai sasaran dan nada sama turut disuarakan Hariharan Manoharan yang menuntut bekas tahanan Akta Dalam Negeri (ISA) itu supaya menutup mulut.

"Berapa banyak pingat yang kamu menang (untuk negara)? Tiada satu pun, jadi lebih baik kamu diam," kata Hariharan.

Klalilul Khalil pula menyifatkan kenyataan Manoharan sebagai tidak berakal dan sesuai untuk pemimpin politik sepertinya.

"Kalau dalam pilihan raya umum akan datang, pelawak (Manoharan) ini masih dicalonkan tentu ada yang tidak kena dengan partinya. Kalau dia menang sudah tentu pengundi bermasalah. Langsung tidak berbangga dengan apa yang dibuktikan wira negara, lupakan kebodohan ini, cuma satu dalam 28 juta.

Bagaimanapun, kemarahan terbuka rakyat Malaysia itu langsung tidak menyedarkan Manoharan, sebaliknya pemimpin DAP itu cuba mengheret kegagalan Chong Wei meraih emas kepada isu politik dengan berkata: "Malaysia akan memang emas pertama di Olimpik selepas pakatan pembangkang ambil alih Putrajaya."

Serentak dengan itu, beliau berjanji Malaysia akan membawa pulang pingat emas pertama pada kejohanan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil pada 2016 kerana dakwanya pakatan pembangkang mempunyai ramai calon yang lebih berwibawa untuk mengisi jawatan Menteri Belia dan Sukan berbanding Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di laman sosial Facebook mendapati satu laman khas 'Kami Tuntut Manoharan Mohon Maaf Kepada Lee Chong Wei' sudah diwujudkan, dalam masa beberapa jam sahaja seramai 2,287 rakyat Malaysia menyatakan sokongan kepada usaha tersebut.

Pada masa sama, hampir kesemua laman blog termasuk propembangkang mengutuk keras kenyataan biadab Manoharan itu.  
Share this article :
 

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger