Setelah sekian lama bersabar dan menyepi akhirnya bekas Pesuruhjaya PAS
Selangor yang juga Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hassan Ali memfailkan saman
terhadap Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Timbalan Pesuruhjaya PAS
Selangor, Khalid Samad kerana memfitnahnya.
Kedua-dua saman itu difailkan masing-masing di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
dan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 12 April lepas menerusi firma guaman Kamarul
Hisham & Hasnal Rezua.
Tindakan Dr Hassan Ali itu dibuat berikutan terdapat bukti-bukti kukuh yang
boleh mensabitkan mereka dalam pertuduhan memfitnah. Sebelum ini kedua-dua
pemimpin PAS itu telah melemparkan fitnah kononnya segala aktiviti dan roadshow
JATI mendapat dana daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berjumlah RM30
juta serta tajaan syarikat-syarikat tertentu.
Dakwaan itu telah merosakkan imej Datuk Dr Hassan Ali selaku Presiden Jati.
Dakwaan yang dilemparkan oleh kedua-dua ahli Parlimen Pokok Sena (Mahfuz) dan
Shah Alam (Khalid) adalah berniat jahat, tidak berasas dan ditimbulkan sebagai
sesuatu yang dirancang.
Setelah berbincang dengan peguamnya, didapati terdapat bukti kes yang cukup
kuat untuk membawa kedua-dua ahli Parlimen tersebut ke mahkamah. Dengan keputusan
mahkamah itu nanti akan dapat membersihkan nama baiknya dan pertubuhan yang
dipimpinnya.
Selain membersihkan namanya, keputusan kes itu nanti akan memberikan
pengajaran kepada kedua-dua pemimpin politik itu yang disifatkannya sebagai
celupar dan sering mengeluarkan kenyataan tanpa usul periksa.
Mahfuz sebelum ini dalam laman portal pembangkang mendakwa terdapat unit di
bawah KBS telah menyumbang sebanyak RM30 juta bagi menaja siri ceramah Hasan di
seluruh negara bagi menarik golongan muda memihak kepada kerajaan.
Khalid pula mendakwa Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Puncak
Niaga Bhd sebagai penaja kepada Hasan dan juga Jati.
Sementara itu, peguam Dr Hassan Ali yang turut hadir dalam sidang media
itu, Hasnal Rezua Merican berkata dalam saman itu, pihaknya memohon ganti rugi
am, teruk, teladan serta injunksi bagi menghalang kedua-dua Ahli Parlimen itu
mengulangi dakwaan yang dibuat sebelum ini. Tiada jumlah saman dinyatakan.
Katanya writ saman telahpun diserahkan kepada Khalid manakala writ saman
kepada Mahfuz masih belum dapat diserahkan kepadanya secara peribadi dan
dihantar menerusi mahkamah ke alamat kediamannya.








