Wednesday, February 8, 2012


Pengumuman SPR yang telah menggugurkan nama 42,025 pengundi dengan status mereka diragui dalam daftar pemilih selepas tempoh semakan tamat ternyata masih tidak memuaskan hati Pakatan Pembangkang. Meskipun tindakan SPR ini adalah bertepatan dengan transformasi yang dibawa Perdana Menteri dalam membersihkan nama SPR yang selama ini menjadi bahan tohmahan Pakatan Pembangkang, namun sikap tidak puas hati Pakatan Pembangkang masih kelihatan.

Keputusan SPR itu sepatutnya dapat menjawab segala tuduhan pembangkang dan NGO propembangkang yang selama ini mendakwa SPR tidak telus dan bersih ketika mengendalikan sesuatu pilihan raya. Ini kerana selama ini Pakatan Pembangkang seringkali memainkan isu pengundi hantu yang dikatakan menjadi punca kekalahan mereka dalam pilihan raya.

SPR tidak berpejam mata dalam menangani isu status pengundi yang meragukan, sebaliknya mahu bertindak tegas dengan membuang nama pengundi yang tidak kehendaki kerana ia mungkin menimbulkan pelbagai masalah pada masa akan datang.

Keputusan SPR itu bukan dibuat sewenang-wenangnya bahkan mengikut prosedur dan peraturan serta mendapat kerjasama dari Jawatankuasa Khas Parlimen Berkaitan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) yang juga dianggotai pemimpin Pakatan Pembangkang.

Justeru, jika benar mahu mencetuskan rasa tidak puas hati seharusnya dikemukakan kepada pemimpin Pakatan Pembangkang yang terlibat dalam PSC itu.

Mengimbas kembali tuntutan Pakatan Pembangkang atau lebih tepat lagi, BERSIH 2.0 sebanyak tiga tuntutan telah dilaksanakan bagi mewujudkan sistem pilihan raya yang adil dan bebas sudah dituruti SPR, iaitu membersihkan senarai pengundi melaksanakan reformasi terhadap undi pos dan yang terbaru bersetuju menggunakan dakwat kekal pada pilihan raya umum akan datang.

Persoalan yang berlegar kini ialah adakah pembangkang dan S Ambiga dapat menerima kenyataan atau masih tidak berpuas hati dengan tindakan terbaru SPR ini?

Berdasarkan pemantauan di internet, khasnya di laman blog dan portal berita propembangkang, ternyata mereka tetap tidak berpuas hati dengan tindakan SPR itu.

Segala proses pembaharuan dan penambahbaikan dilakukan SPR rupa-rupanya masih tidak cukup untuk memuaskan hati pembangkang dengan tetap mencari salah serta kelemahan bagi memburuk-burukkan imej organisasi itu.

Benarlah seperti kata pepatah Melayu, ‘sepuluh jong berlalu, anjing tetap bercawat ekor’. Begitu juga pembangkang, biar apa pun perubahan dan penambahbaikan dilakukan kerajaan, mereka tetap akan membangkang, membantah serta menolaknya mentah-mentah.

Seandainya SPR tidak adil dan telus mengendalikan pilihan raya, sudah pasti pembangkang tidak berpeluang langsung untuk memenangi kerusi pilihan raya. Kita tidak tahu apa lagi yang dimahukan pembangkang daripada SPR. Kita mengharapkan pembangkang dapat menerima hakikat ini dan sedia menelan kebenaran walaupun kalah dalam pilihan raya.
Categories:

0 comments:

Post a Comment

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!