Friday, September 30, 2011



Kehadiran Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz ke Sarawak petang tadi disifatkan sebagai lawatan kontroversi.

Bersempena dengan lawatannya ke Sarawak, Datuk Maglin Dennis D’Cruz dijadualkan akan melakukan lawatan ke Hospital Bau, Kampung Buan dan mengadakan lawatan ke tapak Pameran dan Pasar Sayur di Bau.

Ketika menunggu kehadiran Timbalan Menteri itu, kelihatan ramai ahli Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) berlegar-legar bagi menanti kehadirannya. Sebaik saja sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, suatu sidang akhbar telah diadakan bagi mewar-warkan tentang kehadiran beliau dan aktiviti yang akan dihadirinya. Bagaimanapun, sedikit kontroversi menyelebungi apabila difahamkan kehadiran Senator Maglin itu sebenarnya telah diatur oleh ahli-ahli PPP di Sarawak.

Melihat kepada aktiviti-aktiviti yang akan dihadirinya, timbul persoalan kerana kesemua tempat yang akan dilawatinya adalah berkisar dalam Parlimen P.192 Mas Gading.

Mengapa lawatan Timbalan Menteri itu hanya dikhususkan di dalam kawasan Parlimen P.192 Mas Gading? Ketika ini Parlimen Mas Gading diwakili Datuk Dr Tiki anak Lafe dari BN-SPDP.


Keputusan Presiden PPP, Datuk M.Kayveas melebarkan sayapnya ke Sarawak dan menyatakan akan meletakkan beberapa calon dalam PRU-13 di Sarawak telah menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan BN Sarawak. Malah tegasnya, sama ada mendapat ‘lampu hijau’ atau tidak dari BN Sarawak, parti itu tetap akan membariskan calon-calon di kawasan Parlimen terutamanya yang dimenangi pembangkang.

Salah satu kawasan Parlimen yang menjadi idaman dan yang akan ditandinginya dalam PRU-13 akan datang ialah Parlimen P.192 Mas Gading.

Justeru, tindakan PPP yang menjadi master mind dalam lawatan Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz ini adalah bertujuan untuk mendapatkan sokongan. PPP Sarawak kini hanya akan menggunakan kabel Menteri-Menteri Persekutuan dalam mendapatkan sokongan berbanding BN Sarawak yang sememangnya tidak merestui kehadiran PPP yang dianggap sebagai pengacau.

Melihat kepada latar belakang Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz, beliau kini adalah Naib Presiden Kanan PPP Malaysia.

YB Senator Datuk Maglin D’Cruz memulakan karier politiknya sebagai Pengerusi Cawangan PPP Taman Gembira, Klang pada tahun 1996.  Beliau pernah menyandang jawatan Pengerusi PPP Wilayah Persekutuan, dan pada tahun 2008 telah dilantik oleh Parti sebagai Naib Pengerusi PPP Negeri Selangor.

Pada pemilihan parti tahun 2000, 2004 dan 2009 beliau telah meraih jumlah undi tertinggi bagi jawatan Naib Presiden dan seterusnya beliau telah diamanahkan untuk menyandang tanggungjawab sebagai Naib Presiden Kanan Parti PPP Malaysia sehinggalah kini.

Yang pasti kehadiran Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz ke Sarawak kali ini atas tiket Naib Presiden Kanan PPP Malaysia. Lawatan yang dilakukannya kali ini telah menguatkan lagi desas-desus keinginan PPP untuk meletakkan calonnya dalam PRU-13 di kawasan P.192 Mas Gading.  

Ini pastinya amat tidak disenangi pemimpin BN Sarawak terutama kompenan SPDP. Nampaknya kehadiran Naib Presiden Kanan PPP itu telah menganggu gugat BN Sarawak yang ketika ini sedang berusaha memulihkan keyakinan rakyat terhadap BN kesan daripada kemerosotan sokongan dalam PRN Sarawak Ke-10 lepas.

Keterlibatan secara langsung PPP dalam lawatan ini dikhuatiri akan mewujudkan pelbagai polemik politik terbaru Sarawak yang sememangnya kehadiran parti itu ke Sarawak sangat tidak dialu-alukan.  


Kejayaan penyerang kebangsaan, Safee Sali dalam latihan selama 2 minggu Cardiff City sehingga menawan hati pengurus Cardiff City. Bagaimanapun, hasrat untuk kita rakyat Malaysia menyaksikan rakyat pertama Malaysia bermain di England tidak kesampaian berikutan masalah visa dan permit kerja.

Sepanjang tempoh 2 minggu, Safee Sali telah berjaya memperagakan kehebatannya sehingga memaksa FAM campurtangan bagi menguruskan visa dan permit kerjanya di England. Begitupun, Safee Sali tidak akan mempertaruhkan kepercayaan itu memandangkan masih panjang perjalanan dalam menguruskannya.

Namun, bukan itu tujuan sebenar tulisan ini sebaliknya yang ingin diceritakan adalah mengenai pengurus Safee Sali, Zakaria Abdul Rahim.


Mungkin ada yang di luar tidak dan belum mengetahui siapa Zakaria Abdul Rahim? Bagi yang belum mengetahuinya, beliau merupakan orang PKR dan menjadi sebahagian daripada orang kepentingan Anwar Ibrahim.

Pernah dilantik sebagai pengurus pasukan Selangor tahun lepas dan digugurkan daripada jawatan itu pada tahun ini.

Beliau juga pernah menimbulkan kekecohan dengan wartawan semasa kongres PKR yang lepas di Petaling Jaya. Anda boleh lihat gelagatnya dalam video di bawah pada minit 6.02. Lelaki yang berbaju Melayu merah.

Oleh yang demikian, janganlah mencampuradukkan sukan dan politik serta sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan sukan terus berkembang.  


Ketahui lebih lanjut di http://ruangbicarafaisal.blogspot.com 


Terkini, Nik Aziz bertegas tetap mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan berdasarkan jawatannya sebagai Menteri Besar Kelantan. Demikian juga penjelasannya terhadap hasrat melaksanakan hukum hudud di peringkat kebangsaan sekiranya Pakatan Pembangkang. Keputusan nekad Nik Aziz itu sangat memberikan tamparan kepada Anwar Ibrahim.

Keputusan Mesyuarat Majlis Pakatan Pembangkang Rabu lepas yang menyaksikan ahli-ahli mesyuarat berpakat menolak cadangan Nik Aziz untuk melaksanakan hukum hudud. Bagaimanapun, ramai berpendapat keputusan itu telah menyebabkan kedudukan Anwar Ibrahim semakin goyah apabila gagal dan tidak berani menyatakan pendirian sebenar mengenai hukum hudud.

Pendirian pakatan pembangkang yang menghormati pendirian PAS tetapi pada masa sama menerima perbezaan pendirian DAP yang menentang pelaksanaannya menampakkan kegusaran pembangkang untuk menyebelahi satu-satu pihak.

Keputusan tersebut menampakkan sikap sebenar pembangkang yang suka berdolak-dalik dalam sesuatu isu sehingga mengelirukan rakyat.

Dalam pada itu, larangan pakatan pembangkang kepada semua pemimpinnya daripada mengeluarkan kenyataan berhubung perbalahan mereka dalam isu pelaksanaan hukum hudud juga jelas bertentangan dengan kebebasan bersuara dan demokrasi yang dilaung-laungkan mereka selama ini.

Inilah dia sandiwara Pakatan Pembangkang yang gemar mengelirukan rakyat ......


Sebelum ini Pakatan Pembangkang kerap kali mempersoalkan tindakan BN terhadap wartawan. Walau bagaimanapun, kali ini Lim Guan Eng, Setiausaha DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang telah melakukan perkara yang lebih lagi tidak beradab dengan menghalang wartawan TV3 daripada melakukan tugasan.

Selepas akhbar Utusan Malaysia dan New Straits Times, stesen televisyen TV3 juga telah menerima nasib sama apabila dihalang daripada membuat liputan sidang akhbar Ketua Menteri, Lim Guan Eng di pejabatnya di Tingkat 28, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini.

Tindakan berkenaan dibuat sebaik sahaja Setiausaha Agung DAP itu ditanya seorang wartawan mengenai tindakannya memburuk-burukkan Johor semasa temu bual dengan media asing di Singapura.

Wartawan TV3, Selvam Arjunan, 27, menyatakan Lim Guan Eng secara tiba-tiba 'menghalaunya' keluar dari bilik sidang akhbar itu dengan alasan dia tidak sesuai berada di situ. Difahamkan kerajaan DAP Pulau Pinang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap stesen tersebut berhubung beberapa isu.

Sidang akhbar yang bermula kira-kira pukul 12.00 tengah hari pada mulanya berjalan seperti biasa apabila Lim Guan Eng mengulas mengenai isu bantuan untuk mangsa kebakaran dan persoalan yang diutarakan pemimpin MCA mengenai tender terbuka.

Sebaik sahaja soalan mengenai isu memburukkan Johor ditimbulkan, Lim Guan Eng terus menghalau wartawan terlibat dari sidang akhbar itu pada kira-kira pukul 1.15 petang.

Kenyataan berbaur ugutan dan dendam terhadap negeri Johor yang dikeluarkan Lim Guan Eng telah menyebabkan Sultan Johor berasa tersinggung.

“Memang beta tersinggung apabila beta tahu tentang kenyataan itu. Tetapi sebagai Sultan, beta tidak mahu diseret ke dalam arena politik,”

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar

Susulan itu, ramai rakyat Johor mendesak Lim Guan Eng segera meminta maaf kepada Sultan Johor. Selain Sultan, rakyat Johor juga berasa terkilan dan marah ke atas Lim Guan Eng itu yang dianggap sangat melampau.

Berikutan keceluparan mulutnya, rakyat Johor mahukan Kerajaan Johor menyekat Lim Guan Eng masuk ke Johor. Ini bertujuan memberikan kesedaran kepada Lim Guan Eng bahawa bukan semudah untuknya memburukkan nama Johor yang pada hakikatnya lebih baik berbanding Pulau Pinang yang ditadbirnya.

Kenyataan pedas Lim Guan Eng di Singapura tempoh hari disifatkan sebagai seolah-olah dirinya (Lim Guan Eng) bukan warganegara Malaysia kerana sanggup memburukkan nama rakan senegeri. Sebaliknya, Lim Guan Eng digesa untuk menjelaskan kerakyatannya untuk kepastian rakyat Malaysia.

Keceluparan Lim Guan Eng juga dilihat mempunyai maksud tersirat dan dalam konteks yang luar secara langsung telah mencemarkan nama baik Malaysia. Kebiadapan Lim Guan Eng juga dipersoalkan berasaskan jawatannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.


Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tetap dengan pendirian dan undang-undang bahawa ahli politik tidak dibenarkan menyampaikan ceramah dan tazkirah di masjid dan surau di Selangor.

Keputusan ini berlandaskan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya masjid dan surau tidak dijadikan tempat berpolitik.

Terdahulu Persuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman dan Timbalannya Khalid Samad telah berjumpa dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Marzuki Hussin Selasa lepas bagi meminta pertimbangan semula dalam mengeluarkan tauliah ceramah dan takzirah kepada ahli politik di surau dan masjid di Selangor.

Sesiapa didapati melanggar titah Sultan Selangor yang dianggap sebagai undang-undang negeri, boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Walaupun sebelum ini terdapat beberapa pemimpin Pakatan Pembangkang di Selangor yang cuba meminta supaya perkara itu diteliti semula, namun atas prinsip undang-undang ia akan tetap dilaksanakan. Dalam hal ini, kerajaan Negeri Selangor tidak boleh berbuat apa-apa kerana JAIS terletak di bawah kekebalan Sultan.


Dalam kes sebelum ini. Khalid Samad akan dihadapkan di Mahkamah Syariah Klamng kerana didakwa menyampaikan tazkirah tanpa tauliah di sebuah surau di Taman Seri Sementa, Kapar, Klang, pada 16 Ogos lepas.

Hakikatnya, di Selangor pemimpin-pemimpin negeri daripada PKR, DAP dan PAS sudahpun memulakan ceramah atau kempen PRU-13 hampir setiap malam tanpa mendapat apa-apa permit daripada pihak polis.

Demi merealisasikan hasratnya untuk mempertahankan Selangor, pemimpin-pemimpin Pakatan Pembangkang telah mula berkempen tanpa perlu menunggu kempen pilihan raya yang pada tanggapan mereka hanya sekadar pelengkap pilihan raya.

Dengan andaian Perdana Menteri akan membubarkan Parlimen pada bulan November ini, Pakatan Pembangkang telah mula berkempen dan mengadakan ceramah hampir setiap hari dan di segenap tempat secara haram tanpa mendapat permit yang sah dari polis. 

Thursday, September 29, 2011



Lepas satu, satu lagi kontroversi yang melanda Mat Sabu. Jika sebelum ini, beliau memperjuangkan komunis dan menafikan hak kepolisan semasa tragedi Bukit Kepong, kali ini sanggup melanggar peraturan yang telah ditetapkan kerajaan Negeri 9.

Berikuta itu, PERKASA Negeri 9 bercadang untuk mengadakan protes sekiranya Mat Sabu kembali mengadakan ceramah di negeri itu. Sambil menyifatkan Mat Sabu berceramah hanya dengan menabur fitnah dan mengucar-kacirkan negara sekoran kenyataan biadapnya terhadap sensitiviti rakyat Malaysia.

Mat Sabu menyifatkan dakwaan itu sebagai kebudak-budakkan dan menganggap ianya sebagai suatu tindakan yang melanggar demokrasi. Harus diingat, Negeri 9 adalah di bawah kekuasaan BN dan pemimpin Pakatan Pembangkang sewajarnya menghormati undang-undang negeri.



Dengan nada angkuh, Mat Sabu memaklumkan akan tetap mengadakan ceramah di Negeri 9 sekiranya beliau mendapat jemputan. Dijadualkan Mat Sabu akan berceramah di DUN Paroi pada 6 Oktober akan datang.

Sebelum ini, ceramah Mat Sabu di Ampangan, Seremban telah mengalami kekecohan akibat daripada perbuatan Mat Sabu yang tetap meneruskan ceramahnya mengenai perjuangan komunis sehingga menyebabkan ahli-ahli PERKASA naik angin.

Bagi mengelak kejadian yang tidak diingini, Mat Sabu akan memohon bantuan polis dalam menjaga keselamatannya ketika berceramah nanti. Secara jelas, kini baharulah Mat Sabu mengiktiraf tugas polis dalam menjaga keselamatan kerana sebelum ini banyak menyelar dan mengkritik polis dengan sebab-sebab yang mempunyai kepentingan politik.

Ternyata situasi terbaru di Negeri 9 ini mencetus kembali polemik terbaru Mat Sabu yang sebelum tenggelam sekejap ekoran peningkatan populariti Nik Aziz yang terkenal dengan hukum hududnya.

Yang pasti, apa saja tindakan Mat Sabu sebenrnya telah mengundang kemarahan rakyat Malaysia. Seharusnya, orang seperti Mat Sabu ini tidak layak duduk di Malaysia sebaliknya dihantar ke negara China yang mengamalkan idealogi komunis. 


Mesyuarat Pimpinan Pakatan Pembangkang telah menyaksikan bagaimana DAP menguasai keadaan sehingga membuatkan Anwar Ibrahim dalam keadaan terpaksa menyatakan keputusan mesyuarat berlandaskan 6 perenggan yang dibacanya kepada wartawan yang mengambil masa selama tidak sampai 10 minit.

Mesyuarat Pakatan Rakyat malam ini memperakui dan mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini, sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Dasar Bersama dan Buku Jingga.

Pakatan Rakyat terus memperteguhkan iltizam politik bagi mempertingkatkan daya-saing ekonomi, pendapatan rakyat, mutu pendidikan, kesihatan dan menangani kos kehidupan yang semakin menekan.

Mesyuarat juga memperakui dan menghormati perbedaan ideologi setiap parti dalam Pakatan Rakyat sebagai sebuah permuafakatan demokratik, termasuk pendirian PAS berkenaan hukum syariah.

Mesyuarat juga memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yakni sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat di samping menghormati perbezaan pendirian oleh DAP dalam perkara ini.

Mesyuarat Pakatan Rakyat juga mempertegaskan bahawa kami tidak akan terheret dengan mainan politik terdesak UMNO-Barisan Nasional untuk memecahbelahkan kesatuan Pakatan Rakyat. Kita percaya penuh di atas kematangan dan kebijaksanaan rakyat untuk menilai suasana ini.

Mesyuarat sekali lagi mempertegaskan bahawa muafakat dan objektif utama politik parti-parti komponen PR dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 ini adalah untuk membina kembali asas-asas kenegaraan yang telah dirosakkan oleh UMNO-BN, dengan berpandukan prinsip Keadilan Segajat (Universal Justice) Pentadbiran Yang Baik (Good Governance), Kebertanggungjawaban (Accountability), Ketelusan (Transparency), Kompetensi (Competency) bagi mencapai Kemaslahatan Umum (Public Good) untuk semua rakyat.

Hasil mesyuarat tersebut dapatlah dismpulkan bahawa PAS sebenarnya tidak mempunyai autoriti dalam mengemukakan apa-apa cadangan dan sekaligus memberikan autonomi kepada DAP untuk menampakkan kuasa. Manakala, tugas Anwar Ibrahim selaku pengerusi yang juga Ketua Pakatan Pembangkang hanyalah tunduk kepada kuasa yang ada pada DAP.

Jelas sekali keputusan mesyuarat malam semalam sebenarnya banyak menguntungkan DAP dan memperlihatkan bagaimana PAS terpaksa tunduk dengan desakan DAP yang dilihat banyak menggunakan kuasa vetonya. Harus diingat, DAP mempunyai kekuatan yang lebih dalam mesyuarat itu dengan kehadiran Lim Kit Siang dan Karpal Singh berbanding PAS yang hanya dihadiri Abdul Hadi Awang. Apa yang mendukacitakan malam semalam ialah kegagalan kehadiran Nik Aziz yang pencetus kepada cadangan perlaksanaan hukum hudud ini di Kelantan dan Malaysia sekiranya mereka menang PRU-13 nanti.

Malam semalam juga memperlihatkan bagaimana DAP memersendakan hukum hudud dengan menyatakan Nik Aziz tidak layak membangkitkan hukum hudud itu di di Malaysia walaupun majoriti penduduknya beragama Islam. Sambil menyatakan hukum hudud itu sebagai zalim kepada manusia.

Persoalannya, apakah Karpal Singh mahupun Lim Kit Siang tahu bahawa hukum hudud itu hanya dikenakan ke atas orang Islam sahaja? Jadi, kenapa kedua-dua pemimpin DAP perlu takut! Bukannya Karpal Singh kalau membuat kesalahan merogol akan dikenakan hukum sula atau sebat manakala Lim Kit Siang sekiranya berlaku bohong akan dikerat lidahnya dan dipancung tangan.

PAS yang ‘takut’ kepada gertakkan DAP dalam hal ini telah mempermainkan hukum Allah. Sanggup PAS membawa hukum Allah ke kancah politik bagi mendapatkan restu dan sokongan rakyat. Hakikatnya, PAS kini terbelenggu dengan pemikiran sempit mereka dalam mendapatkan sokongan akibat daripada kelebihan yang dihadapi BN ketika ini.

PAS juga dilihat tidak mempunyai prinsip dalam mengutarakan sesuatu perkara sehingga membuatkan DAP mudah memijak kepala PAS. Ramai berpendapat malam semalam DAP telah mula menunjukkan taringnya sehingga menyebabkan ahli-ahli PAS kebingungan. Ini disebabkan Presiden PAS hanya melihat bagaimana PAS boleh diperkotak-katikan oleh DAP. Manakala, Anwar Ibrahim pula yang sebelum ini menyokong cadangan hukum hudud itu terpaksa pula mengalah.

Dalam hal ini, PAS dilihat sebab hanya sebagai “jaguh kampung” dan takut di gelanggang sebenar. 


Itulah mainan politik Pakatan Pembangkang. Menjadikan isu itu sebagai suatu lakonan sandiwara Pakatan Pembangkang.

Seperti dijangka, Mesyuarat Pimpinan Pakatan Pembangkang sebulat suara membuat keputusan untuk menolak hasrat Nik Aziz dalam melaksanakan hukum hudud disebabkan ia tidak menepati dasar bersama Pakatan Pembangkang dan agenda Buku Jingga.

Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi Mesyuarat Pakatan Pembangkang yang sebelum ini berpendirian menyokong cadangan Nik Aziz dalam mengadakan hukum hudud, terpaksa mengambil keputusan untuk menyokong dan menyebelahi DAP yang menentang sekeras-kerasnya cadangan Nik Aziz itu.

“Kita tak boleh nafikan hak mana-mana pihak untuk mengemukakan pendirian tetapi kita terikat dengan dasar bersama Pakatan Pembangkang”.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim

Selain Anwar Ibrahim, turut hadir ke mesyuarat tergembar itu ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP, Karpal Singh, Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Bagaimanapun, mesyuarat itu tidak menjemput Nik Aziz bagi memberi ruang dan peluang kepada beliau untuk menerangkan kerelevanannya dalam mencadangkan hukum hudud itu.

Apakah keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Pembangkang itu akan membuatkan Nik Aziz melenting? Nescaya, Nik Aziz pastinya mengetahui keputusan itu terlebih dahulu memandangkan kompenan Pakatan Pembangkang seperti PAS dan PKR takut kepada DAP yang kini dilihat sebagai duri dalam daging kepada Pakatan Pembangkang. 

Wednesday, September 28, 2011



Tiada sebarang kejutan ke atas rombakan kabinet Sarawak yang diumumkan Ketua Menteri Sarawak petang tadi melainkan pemansuhan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 dan mengekalkan jawatan Timbalan Ketua Menteri 2 yang dikhususkan kepada calon berketurunan Cina dan pertukaran atau penubuhan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga serta menampilkan beberapa muka baru bagi menghiasi kabinet Sarawak bagi penggal ini.

Keputusan Taib memansuhkan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 sememangnya telah dijangka memandangkan parti yang mewakili kaum Cina, SUPP telah mengalami kekalahan teruk hingga menyebabkan jawatan itu yang dikhususkan kepada wakil rakyat Cina terpaksa dimansuhkan. Keputusan PRN Sarawak Ke-10 lepas yang menyaksikan hanya 2 orang calon Cina dari SUPP yang menang manakala selebihnya kalah di tangan DAP telah memberikan isyarat bahawa kaum Cina tidak mahu berada dalam kerajaan.

Pengumuman penubuhan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga yang diterajui Datuk Hajjah Fatimah Abdullah amatlah bertepatan. Prestasi yang ditunjukkan Datuk Hajjah Fatimah yang baru saja dianugerahkan gelaran “Datuk” sememangnya layak mengisi jawatan di kementerian baru itu. Ternyata kerajaan negeri sangat mementingkan sumbangan wanita dalam kemajuan Sarawak pada masa akan datang selaras dengan dasar transformasi yang diperkenalkan Perdana Menteri.


Perlantikan Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri yang juga ADUN Asajaya, YB Hj Abdul Karim bin Hamzah dan ADUN Sebuyau, YB Julaihi Narawi ke dalam kabinet telah dijangka awal-awal lagi berikutan perkhidmatan lama mereka sebagai ADUN di kawasan masing-masing dan mempunyai banyak pengalaman.

Walaupun masih baru sebagai ADUN, kemasukan Datuk Len Talip Salleh turut diketahui dari awal berdasarkan pengalamannya semasa mengetahui Perbadanan Perkayuan Sarawak. YB Dr Jerip Susil yang menang dengan majoriti yang banyak di DUN Bengoh layak menganggotai jawatan Menteri Muda beserta YB Liwan Lagang dan Robert Lawson Chuat di atas kejayaan cemerlang mereka dalam PRN Sarawak ke-10 April lepas.

Manakala, penyenaraian YB Rosey Yunus, satu-satunya calon tunggal wanita yang dibawa masuk Taib pastinya akan menyemarakkan lagi kaum-kaum wanita di Sarawak.

Sememangnya, penyenaraian muka-muka baru yang menghiasi Kabinet Sarawak kali ini adalah yang terbaik berdasarkan pengalaman, prestasi yang gemilang dan sokongan rakyat terhadap wakil rakyat masing-masing. Memansuhkan jawatan Timbalan Ketua Menteri Sarawak 1 itu dibuat berlandaskan pretasi semasa dan tiada sebarang prasangka buruk terhadap kaum Cina. Ini pastinya memberikan pengajaran yang berguna kepada kaum Cina dan SUPP terutamanya agar sokongan berterusan kepada kerajaan dan BN demi menjaga kepentingan kaum Cina di masa hadapan.


Kejayaan Pakatan Pembangkang menguasai 4 negeri dan melakukan tsunami politik pada PRU-12 2008 disebabkan kebijaksanaan bloggers Pakatan Pembangkang mengaplikasikan media baru/ media sosial sebagai wadah politik. Namun, kini BN telahpun menggerakkan pasukan UMB yang ditubuhkan bagi menggerakkan politik dalam media baru khususnya dalam menangkis dakwaan bloggers Pakatan Pembangkang.

Sepanjang PRK pada tahun 2008 hingga 2011, UMB BN telah berjaya mengekang dakwaan bloggers Pakatan Pembangkang dalam pelbagai isu. UMB BN juga dibantu beberapa ribuan bloggers pro-kerajaan dalam membangkitkan kesedaran terhadap pentingnya penyaluran maklumat dengan tepat dan berfakta.

Sayugia, penubuhan UMB ini dilihat tidak mempunyai kepentingan politik mana-mana individu sebaliknya lebih terarah kepada perjuangan BN dan parti. Justeru, bloggers hanya bertanggungjawab ke arah melaksanakan perjuangan parti dalam merealisasikan kemenangan BN bagi mentadbir Malaysia secara berterusan.

Dalam PRK Sibu pertengahan tahun 2010, bloggers UMB BN dan bloggers pro-kerajaan telah memainkan peranan penting dalam menangkis dakwaan Pakatan Pembangkang secara sederhana. Ini disebabkan kawasan Sibu tidaklah sehebat situasinya di Semenanjung Malaysia dari segi kepentingan media baru, namun sedikit sebanyak berjaya mengubah persepsi rakyat Sarawak.

Menjelang PRN Sarawak Ke-10, BN Sarawak telah mengambil inisiatif dalam menubuhkan UMB BN Sarawak bagi memerangi dakwaan bloggers Pakatan Pembangkang. Difahamkan kebanyakan bloggers Pakatan Pembangkang dalam PRN Sarawak lalu diimport khas dari Semenanjung Malaysia. 

Di pihak BN Sarawak pula, selain anak tempatan, bloggers UMB UMNO juga banyak membantu memerangi kejayaan BN Sarawak dalam PRN Sarawak Ke-10. Bantuan ini perlu memandangkan UMB BN Sarawak masih ditahap belajar. Begitupun, diakui faktor geografi dan liputan telekomunikasi yang terhad di Sarawak menyebabkan penyaluran maklumat hanya dapat diikuti di sesetengah kawasan sahaja.

Selain bloggers UMB BN Sarawak dan UMB UMNO, bloggers prokerajaan dan bloggers jalanan yang mempunyai haluan yang sama juga sedikit sebanyak membantu BN Sarawak dalam mengecapi kejayaan dalam PRN Sarawak ke-10. Malah mereka ini dikatakan lebih berani dan bermaklumat serta tidak gentar dengan ancaman bloggers Pakatan Pembangkang. Malah dikatakan strategi dan pendekatan mereka lebih bernafsu dan bijak menangkis dakwaan Pakatan Pembangkang yang banyak menyerang peribadi calon BN.

Apakah UMB BN Sarawak telah bersedia dalam menghadapi PRU-13 selepas PRN Sarawak Ke-10? PRN Sarawak Ke-10 telah banyak mengajar UMB BN Sarawak bahawa perkongsian dan ketelusan dalam mengadakan perhubungan amat penting bagi mencapai matlamat. Justeru, UMB BN Sarawak perlu mengukuhkan lagi kesepakatan supaya cita-cita dan harapan penubuhan UMB BN Sarawak ini akan terlaksana. 

Tuesday, September 27, 2011



Disebabkan keceluparan Nik Aziz, Anwar Ibrahim terpaksa mengadakan mesyuarat tergembar Pakatan Pembangkang akan diadakan pada Rabu ini.

Anwar Ibrahim menjadi orang yang sangat pening kepala memandangkan hasratnya untuk menjadi Perdana Menteri akan terbantut hanya disebabkan isu-isu kecil ini. Isu hukum Hudud yang dibawa Nik Aziz kini menjadi hangat ekoran kedua-dua pemimpin Pakatan Pembangkang itu tidak mahu bertolak ansur sehingga menyebabkan Anwar Ibrahim terpaksa mengadakan mesyuarat tergembar.

Agaknya, siapakah yang akan mengalah dalam kes ini? Apakah Nik Aziz sekali lagi akan mengalah kepada DAP dalam melaksanakan hukum hudud seperti mana yang berlaku ke atas PAS sebelum ini hingga menyebabkan PAS terpaksa tunduk dengan desakan DAP.

Melihat kepada sejarah lalu, adalah tidak mustahil PAS akan sekali lagi terpaksa tunduk dan mencium lutut DAP bagi melaksanakan kompromi mengikut cadangan Anwar Ibrahim. Umum mengetahui, kebanyakan pemimpin tertinggi PAS merupakan rakan-rakan Anwar Ibrahim dan pastinya mereka akan mendengar cadangan pemimpin sanjungan mereka.

Andai ini mainan politik PAS, siapa sangka selepas mesyuarat itu, PAS akan kembali bertaut kepada DAP siap dengan adegan peluk Arab. Tetapi, jika ini tidak berlaku bermakna isu ini akan berpanjangan hingga kepada PRU-13 akan datang.

Karpal Singh sebelum ini pernah menyatakan langkah mayatnya dahulu sebelum menubuhkan negara Islam. Bagi mengelak mayat Karpal Singh dilangkah terlalu awal, Nik Aziz terpaksa menidakkan hasratnya itu dan mengalah dengan hasrat Karpal Singh.

Apapun kita marilah kita sama-sama tunggu, apakah kesudahan lakonan Nik Aziz dan Karpal Singh dalam drama terbaru Pakatan Pembangkang berjudul Hukum Hudud arahan pengarah terkenal Anwar Ibrahim. 

Akibat pelbagai isu yang menghantui Pakatan Pembangkang sejak akhir-akhir ini, rakyat Malaysia mula sedar siapa sebenarnya yang baik memerintah Malaysia. Kurang kontroversi dan kecekapan dalam memerintah membolehkan BN memberi fokus untuk membawa Malaysia sebagai negara maju.

Semasa Rumah Terbuka Malaysia Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu, Kubang Semang 1 September lalu telah dihadiri lebih 25,000 orang. Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri-Merdeka yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Melihat sokongan rakyat kepada BN, saya yakin peluang untuk kita merampas kembali negeri ini adalah cerah dan ia tidak mustahil untuk dicapai”.

"Program-program yang dianjurkan oleh parti komponen BN iaitu MIC, MCA dan Gerakan juga sering mendapat sambutan hangat daripada rakyat".

Kejayaan program-program anjuran BN di Pulau Pinang telah menyebabkan kehadiran rakyat pada majlis anjuran pembangkang dilihat semakin merosot, malah sambutan hari raya mereka juga tidak mendapat sambutan daripada orang ramai.

Di samping itu, isu-isu yang dibawa oleh Pakatan Pembangkang juga semakin tidak dihiraukan oleh rakyat kerana kebanyakan isu yang dimainkan sudah lapuk dan berbaur perkauman.


Di antara Pulau Pinang dan Johor, manakah negeri yang selamat bagi pelaburan jangka panjang? Persoalan ini telah bermain di minda rakyat Malaysia susulan daripada perbuatan Lim Guan Eng yang telah memburukkan Johor bagi mendapatkan kembali pelabur asing ke Pulau Pinang.

Johor telah dilihat sebagai pesaing terdekat Pulau Pinang dalam menarik pelabu luar ke Malaysia. Jika dahulu, semasa pemerintahan BN, pelaburan di Pulau Pinang telah mencatat pertumbuhan yang tinggi, tetapi kini telah menjunam ekoran ketidakcekapan pemerintahan negeri dalam menangani isu keselamatan.

Justeru, berbanding Pulau Pinang, Johor dilihat lebih selamat dan stabil dari segi kekacauan politik yang sering berlaku demonstrasi dan bantahan berikutan ketidakpuasan hati rakyat terhadap pemerintahan kerajaan negeri.


Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah mengecam dan mendakwa Johor sebagai sebuah negeri yang tidak selamat berbanding Pulau Pinang.

Lim Guan Eng dikatakan mengeluarkan kenyataan sedemikian disebabkan kekurangan pelabur antarabangsa yang melabur di Pulau Pinang. Bagi mendapatkan kembali pelabur-pelabur, Lim Guan Eng sanggup memutarbelitkan fakta dengan menyatakan Johor sebagai pelaburan yang tidak selamat.

Berbeza dengan keadaannya di Pulau Pinang, semenjak pemerintahan Pakatan Pembangkang kemasukan pelaburan asing ke Pulau Pinang telah merosot hingga menyebabkan ramai rakyat Pulau Pinang terpaksa berhenti kerja dan kilang-kilang ditutup. Ini disebabkan dasar kerajaan negeri yang dikatakan tidak bersikap adil terhadap pelabur dan keadaan Pulau Pinang yang tidak tenteram dan kucar-kacir.

Perbuatan Lim Guan Eng yang memburukkan Johor dan beberapa negeri lain bagi meningkatkan pelaburannya di Pulau Pinang dilihat sebagai tindakan yang telah menjejaskan imej negara secara keseluruhannya.

Guan Eng telah memburuk-burukkan Johor ketika ditemuramah oleh sebuah stesen radio di luar negara baru-baru ini dengan menganggap negeri berkenaan tidak selamat berbanding Pulau Pinang.


Minggu ini merupakan minggu yang penting bagi beberapa wakil rakyat BN Sarawak yang menunggu dengan penuh sabar, siapakah di kalangan mereka yang akan diangkat sebagai Menteri Muda (seumpama Timbalan Menteri) dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak 1 yang akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tan Sri Dr George Chan Hong Nam setelah kalah dalam PRN Sarawak Ke-10 April lepas.

Desas-desus calon-calon yang layak mengisi kekosongan jawatan Menteri Muda dan Timbalan Ketua Menteri 1 kian kencang dalam tempoh 4 bulan kebelakangan ini selepas Pehin Sri Taib Mahmud mengumumkan barisan kabinetnya setelah memenangi PRN Sarawak Ke-10. Dalam barisan kabinet itu, tiada sebarang perubahan sebaliknya Taib mengekalkan barisan kabinet yang sedia ada dahulu melainkan kekosongan jawatan Menteri Muda yang telah ditinggalkan wakil rakyat yang terdahulu setelah mengundur diri bertanding dalam PRN Sarawak Ke-10 yang lalu.

Polemik yang paling sensasi pastinya pemilihan wakil rakyat dalam memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri Sarawak 1. Banyak spekulasi berhubung mereka yang berhak ke atas jawatan itu yang sememangnya hak SUPP. Bagaimanapun, prestasi SUPP dalam PRN Sarawak Ke-10 lepas amat mengecewakan sehingga menyebabkan Presiden SUPP, Tan Sri George Chan Hong Nam meletak jawatan serta-merta tetapi ditentang ahli-ahli SUPP supaya menangguhkan perletakkan jawatan itu sehingga Mesyuarat Agung SUPP yang dijadualkan hujung tahun ini.

Berikutan kekalahan Presiden SUPP, pilihan wakil rakyat dari SUPP hanya bersandarkan kepada 2 orang wakil rakyat berketurunan Cina yang menang dalam PRN Sarawak Ke-10, YB Dato’ Sri Wong Soon Koh dan YB Datuk Dr Lee Kim Shin. Bagaimanapun, tidak semua ahli-ahli SUPP menyokong mereka berdua disebabkan SUPP dikatakan gagal mencapai kata sepakat dalam memilih antara salah seorang. Ini disebabkan mereka berdua mempunyai kem yang berlainan, seorang kem Utara dan seorang lahi kem Tengah.

Terdapat juga suara-suara yang mahukan jawatan Timbalan Ketua Menteri Sarawak 1 itu diberikan kepada wakil rakyat SUPP yang berketurunan Bumiputera. Ini memandangkan kesemua wakil SUPP berketurunan Bumiputera menang bergaya dalam PRN Sarawak Ke-10. Ramai berpendapat peluang ini seharusnya diberikan kepada wakil rakyat SUPP berketurunan Bumiputera di atas prestasi cemerlang dan memberikan kemenangan kepada SUPP. Sekiranya tidak, SUPP pastinya akan kalah di kesemua kerusi yang ditandingi mereka. Antara wakil rakyat SUPP Bumiputera yang disebut-sebut menjawat jawatan tersebut ialah YB Ranum Mina, YB Jerip Susil, YB Datuk Dr Francis Harden Hollis dan dari YB Dr Johnical Rayong.

Jawatan Timbalan Ketua Menteri Sarawak 1 itu adalah hak mutlak Ketua Menteri Sarawak. Berkemungkinan jawatan Ketua Menteri Sarawak 1 itu akan dimansuhkan dan hanya membiarkan satu sahaja jawatan Timbalan Ketua Menteri Sarawak juga mungkin ada. Ini tertakluk kepada prestasi semasa parti yang diberikan kuota itu. Berdasarkan prestasi terkini, ternyata jawatan itu seharusnya dimansuhkan berikutan prestasi buruk yang dipamerkan SUPP dalam PRN Sarawak Ke-10 lepas.

Tidak ketinggalan juga ada di kalangan penganalisis politik akan memilih Presiden PRS, Tan Sri James Jemut Masing sebagai calon Timbalan Ketua Menteri Sarawak 2 di atas kejayaannya memimpin PRS dalam memenangi PRN Sarawak Ke-10 selepas kejayaan PBB yang menang di kesemua DUN Sarawak.

Persaingan sengit pastinya kepada jawatan Menteri Muda yang dikatakan sangat diidam-idamkan beberapa wakil rakyat yang senior dalam politik Sarawak. Selayaknya masing-masing berpendapat mereka layak menjawat jawatan itu disebabkan telah menjadi wakil rakyat lebih dari 3 penggal. Bagaimanapun, jawatan Menteri Muda yang menjadi rebutan tidak banyak melainkan Taib mewujudkan lagi portpolio menteri muda yang baru.

Dalam merealisasikan hasrat untuk memegang jawatan tersebut, ada di kalangan wakil rakyat terpaksa melobi kepada Menteri-Menteri Penuh yang sedia ada supaya boleh diketengahkan menjawat jawatan Menteri Muda. Mereka percaya wujud persaingan sengit sehingga menyebabkan mereka terpaksa kreatif bagi menarik perhatian Menteri Penuh dan Ketua Menteri Sarawak. Bagi menarik perhatian kepimpinan tertinggi, ada wakil rakyat yang sanggup menolak dan menidakkan undangan daripada rakyat di kawasan DUN hanya semata-mata mahu mengiringi Menteri Penuh ke majlis yang langsung tiada kaitan dengannya.

Antara nama-nama yang menjadi sebutan ramai dalam memegang jawatan Menteri Muda ialah YB Dr Abdul Rahman Junaidi, YB Sharifah Hasidah Aman Ghazali, YB Abdul Karim Hamzah, YB Julaihi Narawi, YB Datuk Len Talif, YB Rosey Yunus, YB Dr Abdul Rahman Ismail, YB Ripin Lamat, YB Harisson Ngau Laing, YB Radzi Stam dan YB Abdullah Saidol.

Dalam pada itu, terdapat juga desas-desus yang menyatakan ada di kalangan Menteri Muda yang sedia ada dipilih menjawat jawatan Menteri Penuh. Namun, itu juga bergantung kepada Taib.

Rombakan Kabinet Sarawak yang dijadualkan minggu ini dilihat sebagai proses pembaharuan kepimpinan. Rombakan pada peringkat kementerian membabitkan menteri kanan dijangka akan turut berlaku berdasarkan permintaan Abdul Taib yang mahu hanya individu layak mengetuai agensi kerajaan negeri pada masa akan datang.

Apapun, minggu ini merupakan minggu yang sangat penting bagi wakil-wakil rakyat BN Sarawak dalam usaha menjawat jawatan Menteri Muda. Pastinya, pemilihan barisan kabinet Sarawak yang baru ini akan membuat kejutan. 

Monday, September 26, 2011



Ketika ini ramai ahli politik bercakap mengenai hukum hudud setelah kenyataan Nik Aziz bercadang mahu mengembalikan hukum hudud sekiranya Pakatan Pembangkang berjaya menakluk kerajaan.

Apakah dibolehkan hukum hudud itu dilaksanakan di Malaysia sekiranya Pakatan Pembangkang memerintah? Namun, pemerhati politik mengandaikan cadangan Nik Aziz itu hanya bersandarkan retorik politik semata-mata. Ini kerana untuk melaksanakan hukum hudud itu bukanlah suatu perkara yang mudah memandangkan Malaysia kini mempunyai Mahkamah Syariah. Justeru, untuk melaksanakan hukum hudud ini, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) perlu dipinda.

Atas sebab itu, percakapan ahli-ahli politik seperti Nik Aziz, Karpal Singh mahupun Lim Guan Eng yang bercakaran dalam membincangkan hukum hudud hanyalah sia-sia dan lebih kepada kepentingan politik. Ini kerana selagi Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) tidak dipinda maka selagi itu hukum hudud tidak dilaksanakan di Malaysia.

"Akta ini membataskan kuasa kerajaan negeri untuk meluluskan sebarang undang-undang berkaitan jenayah syariah dengan hanya boleh mengenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau sebatan tidak lebih enam kali sebatan, atau mana-mana kombinasi hukuman-hukuman tersebut sahaja”.

"Ia adalah satu undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen dan ia berkuatkuasa di seluruh Persekutuan atau seluruh negara, termasuk di negeri-negeri”.

"Jadi, sebarang pindaan kepada akta tersebut juga perlu dibuat di Parlimen dan mendapat persetujuan majoriti ahli Parlimen”.

Dalam situasi adalah mustahil hukum hudud itu dilaksanakan , kecuali akta tersebut dipinda dengan memasukkan peruntukan membenarkan kerajaan negeri melaksanakan hukuman hudud.

Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa sebarang undang-undang negeri yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlawanan dengan sesuatu undang-undang Persekutuan, maka undang-undang negeri itu adalah terbatal setakat mana ia berlawanan dengan undang-undang persekutuan itu.

Justeru, adalah lebih baik memperkasakan undang-undang syariah yang kini lebih banyak diperdebatkan khususnya dalam membicarakan dakwaan dalam kes liwat dan rogol yang dihadapi Anwar Ibrahim. 


Tahniah Nik Aziz kerana berjaya mencetuskan polemik politik terbaru dalam Pakatan Pembangkang sehingga menyebabkan arahan TUTUP MULUT terpaksa dikeluarkan oleh ketiga-tiga Setiausaha komponen Pakatan Pembangkang. Ini bertujuan supaya tidak keluarnya kenyataan yang bermacam-macam sehingga menyebabkan hubungan mereka tergugat.

Akibat daripada penangan Nik Aziz juga menyebabkan Pakatan Pembangkang akan mengadakan Mesyuarat Tergembar pada Rabu ini bagi membincangkan isu hudud yang kini menghantui hubungan mereka. Sama ada PAS akan kekal dalam Pakatan Pembangkang atau tidak bergantung kepada pembelaan Nik Aziz, orang yang bertanggungjawab mencetuskan masalah ini. Mesyuarat Rabu ini akan dipengerusikan oleh Anwar Ibrahim.

Menjadi kebiasaan Pakatan Pembangkang, tidur sebantal dan sekatil tetapi mimpi lain-lain. Inilah yang membuatkan ketiga-tiga Setiausaha Agung, PAS, PKR dan DAP mengeluarkan arahan supaya semua pemimpin Pakatan Pembangkang diminta Tutup Mulut bagi mengelak ia merebak di luar kawalan dalam perjumpaan singkat di Kuala Lumpur tengahari tadi.

Pengumuman mengenai arahan berkenaan dibuat oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Mustapha Ali.Hadir sama Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution dan Ketua Pemuda DAP Anthony Loke yang mewakili Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Keadaan menjadi kecoh dan menjadi lebih parah apabila Karpal Singh mengamuk agar mayatnya dilangkah terlebih dahulu sekiranya PAS mahu melaksanakan hukum hudud dan Lim Guan Eng menyatakan semua barisan pimpinan DAP Pusat akan meletak jawatan sekiranya hudud itu menjadi sebahagian dalam agenda Pakatan Pembangkang.

Biarpun Nik Aziz tetap dengan pendiriannya sambil berkata “bye-bye jika DAP tidak setuju perlaksanaan hukum hudud”, Setiausaha Agung PAS, Mustapha telah mengeluarkan arahan bahawa kenyataan Nik Aziz itu hanya termaktub pada peringkat negeri sahaja. Ini bertujuan menjaga hubungan PAS dengan DAP yang kini kelihatan seperti retak menanti belah.

Menjadi kebiasaan bagi Pakatan Pembangkang yang cuba menutup salah di kalangan ahli parti walaupun ianya telah ternyata benar melalui beberapa kenyataan pedas. Seperti biasa, mereka akan menyalahkan media dan wartawan yang sengaja memperbesarkan isu ini sambil menegaskan Pakatan Pembangkang mengamalkan demokrasi.

Sekiranya mengamalkan demokrasi, mengapa pula semua pemimpin Pakatan Pembangkang diarahkan tutup mulut dalam isu hudud ini? Bagi menceritakan lakonan mereka bahawa isu ini sengaja ditimbulkan media, maka mereka bertiga ini telah beraksi juga secara lakonan sambil menggenggam tangan sebagai tanda perpaduan. 


Karpal Singh menegaskan jika Nik Aziz (PAS) mahu laksana hukum Hudud, langkahlah mayat aku (Karpal Singh) terlebih dahulu.

Nik Aziz sering terlupa dengan kenyataan pedas Karpal Singh bahawa DAP tidak akan berkrompomi dengan PAS dalam melaksanakan hukum hudud.

Karpal sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa pihak yang mahu menjadikan Malaysia sebagai negara Islam perlu terlebih dahulu melangkah mayatnya. Selain itu, ucapan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dalam Muktamar PAS terdahulu yang mengambil ketetapan menggugurkan negara Islam dan mewujudkan Negara Berkebajikan.

Kenyataan Nik Aziz berhubung hukum Hudud adalah di luar kehendak PAS memandangkan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang sehingga kini masih belum membuat sebarang ulasan tentang kenyataan Mursidul Am PAS itu.

Bagaimana pula rekreasi Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS dalam menjawab hal ini? Ini kerana gesaan dan ugutan Nik Aziz itu seolah-olah membelakangkan Abdul Hadi Awang yang secara rasminya memegang jawatan Presiden PAS.
Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!