Pilihan Raya Kecil DUN Tenang telah tamat dan menampilkan wakil rakyat anak tempatan Mohd Azahar Ibrahim. Kemenangan Mohd Azahar telah menutup keangkuhan calon PAS, Normala Sudirman yang sebelum ini menjadi calon favourite untuk memenangi DUN Tenang menurut akhbar Harakah dan pemimpin PAS semasa dalam kempennya.
Dalam kempen PAS, ternyata serangan peribadi yang ditujukan kepada calon BN, Mohd Azahar Ibrahim telah berjaya ditangkis dengan rasa hormat walaupun hakikatnya PAS mahukan kreadibiliti dan personaliti Mohd Azahar dimalukan dan terus dibunuh.
Kebijaksanaan dan kewibawaan Mohd Azahar Ibrahim menangkis serangan PAS sebenarnya menjadi ancaman kepada PAS kerana usaha PAS untuk memusnahkan personaliti Mohd Azahar tidak kesampaian.
Tidak seperti PRK DUN Galas, ternyata badi PRK Parlimen Sibu dan PRK Parlimen Batu Sapi masih menjadi mimpi ngeri BN apabila kaum Cina masih lagi belum memihak BN atau dalam erti kata lain masih menyokong Pakatan Pembangkang. Apakah trend sokongan masyarakat Cina masih lagi belum berubah atau tidak akan berubah selepas PRU 2008?
Terdahulu PRK Parlimen Hulu Selangor telah menampakkan kecenderungan pengundi Cina untuk tidak menyokong BN. Walaupun BN menang dengan majoriti seribu lebih, tetapi hakikatnya sokongan masyarakat Cina masih tidak memihak BN. Trend sokongan Cina ke atas Pakatan Pembangkang semakin meningkat apabila berjaya mengalahkan BN di PRK Parlimen Sibu.
Apakah sebenarnya yang pengundi Cina mahukan? Melihat kepada pembangunan Malaysia, ternyata Malaysia tiada cacat celanya bahkan semua kaum di Malaysia hidup dalam bersatu padu. Penerimaan masyarakat Melayu terhadap masyarakat Cina untuk tinggal dalam satu negara juga tidak harus dipersoalkan memandangkan masyarakat Melayu berpegang teguh kepada ajaran datuk nenek mereka untuk sentiasa menghormati antara satu sama lain.
Kerajaan yang ditadbir BN sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan dan pembangunan rakyatnya. Tiada kerajaan yang mahukan rakyatnya hidup dalam serba kekurangan dan menderita. Lihat sahaja negara-negara lain di Afrika dan Asia Tengah yang kini bergelut dalam persengketaan dan krisis politik akibat tiadanya perpaduan dan saling hormat menghormati.
Atas dasar perpaduan dan toleransi antara kaum, kerajaan di bawah pentadbiran BN atau dahulunya dikenali Perikatan tidak pernah mendiskriminasikan mana-mana kaum. Bahkan ketika ini di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak juga sangat menitikberatkan perpaduan dan keseimbangan ekonomi. Atas dasar itu, Gagasan 1Malaysia menjadi tunjang kepada pentadbiran Dato Sri Mohd Najib Tun Razak.
PRK DUN Tenang sekali lagi menyaksikan trend pengundi Cina menyokong Pakatan Pembangkang khususnya di kawasan bandar. Berdasarkan analisis PRK DUN Tenang, menyaksikan pengundi-pengundi di Daerah Mengundi (DM) Labis, DM Labis Tengah dan Labis Timur undi kaum Cina lebih memihak kepada Pakatan Pembangkang.
Secara keseluruhannya, undi BN di ketiga-tiga DM Labis, DM Labis Tengah dan DM Labis Timur hanya mencatat sebanyak 1,414 undi berbanding PAS yang mencatat 1,836 undi. Totalnya, BN kalah 422 undi.
Sepanjang hari pembuangan undi, DUN Tenang digenangi air hujan sehingga menyebabkan banjir. Akibatnya, banjir di beberapa kawasan menyebabkan ramai pengundi tidak keluar mengundi ekoran banjir. Sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menyasarkan sebanyak 80 peratus pengundi akan menunaikan tanggungjawab ternyata tidak kesampaian. Walau bagaimanapun, angka 67 peratus yang keluar mengundi dianggap sebagai angka yang tinggi memandangkan faktor hujan dan banjir menjadi penyebabnya.
Hujan rahmat. Itulah yang boleh disimpulkan semalam yang menyaksikan calon BN, Mohd Azahar Ibrahim menang mengatasi calon PAS, Normala Sudirman.
Dalam pada itu, kecenderungan BN yang melihat PRK Galas dan PRK Batu Sapi sebagai petanda pengundi Cina akan memihak BN pada PRK DUN Tenang ini ternyata meleset. Sebenarnya pengundi Cina masih melihat faktor-faktor luaran menjadi penentu kepada sokongan mereka ke atas BN.
Dalam mengatasi masalah ini, MCA yang merupakan kompenan BN perlu segera mencari formula penyelesaian. Transformasi BN dan transformasi MCA telah berlaku dan pastinya transformasi ini menjadi perhatian rakyat khususnya pengundi kaum Cina. Sekiranya dilihat dari segi ekonomi, sememangnya masyarakat Cina masih lagi menguasai ekonomi dan penyumbang kepada pembangunan negara. Pun begitu, sebagai penduduk majoriti, masyarakat Melayu melihatnya sebagai toleransi dan tanpa sebarang prasangka.
Di Sarawak, SUPP yang merupakan kompenan BN yang berpaksikan dan bertunjangkan kaum Cina perlu melihat analisis PRK DUN Tenang sebagai gambaran jelas sokongan pengundi Cina terhadap BN masih lagi belum stabil. Jika trend ini berterusan dan berjangkit di Sarawak, SUPP perlu bekerja keras dalam memenangi hati pengundi Cina.
Keangguhan pengundi Cina di Sarawak tidak seperti yang disangkakan. Walaupun BN telah mengotakan dan menunaikan janjinya, ternyata ia tidak memberi kesan kepada mereka. Bahkan kelantangan mereka ‘memeras’ kerajaan dengan meminta sesuatu di luar jangkaan adalah sesuatu yang tidak dapat diterima.
Janji kerajaan untuk mengambil berat terhadap pendidikan sekolah aliran Cina telah disalahertikan. Apabila kerajaan telah mengotakan janjinya untuk membantu sekolah Cina, mereka sebaliknya telah melanjutkan lagi permintaan mereka yang dikategorikan sebagai keterlaluan. Walau bagaimanapun, kesanggupan kerajaan menilai dan meneliti permintaan mereka perlu dilihat dalam konteks demokrasi kerana Malaysia sebuah negara berdaulat dan mempunyai undang-undang. Untuk itu, setiap permintaan perlu dinilai bagi memberikan input dan outpunya sebelum sesuat keputusan dibuat.
Apakah masalahnya dengan pendidikan aliran sekolah Cina? Itulah persoalan yang selalu dimainkan Pakatan Pembangkang sehingga sanggup mempolitikan pendidikan dalam meraih simpati. Persoalannya, kenapakah ibu bapa kaum Cina tidak mahu menghantar anak-anak mereka bersekolah di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan? Bagaimana masyarakat Melayu yang suatu ketika dahulu gemar menghantar anak-anak mereka ke sekolah pondok dan sekarang ini dapat menerima sekolah kerajaan.
Sebenarnya, banyak lagi ranjau yang terpaksa dihadapi SUPP terutama dalam meyakinkan masyarakat Cina bahawa SUPP masih relevan dalam membela nasib kaum Cina di Sarawak. Demikian juga SUPP yang perlu menerima pandangan dan cadangan daripada kompenan BN yang lain dalam mempertingkatkan sokongan masyarakat Cina ke atas SUPP.
Keghairahan SUPP meraih sokongan masyarakat Cina dalam menghadapi Pilihan Raya DUN Sarawak telah menidakkan kompenan BN lain dalam membantu meraih sokongan ke atas BN secara keseluruhannya. Seperti mana tersematnya kerjasama antara parti kompenan BN, SUPP perlu menerima teguran dan pendapat bagi meyakinkan lagi sokongan pengundi Cina kepada BN.
Selamat Tahun Baru Cina kepada rakyat Malaysia berketurunan Tiong Hua...






















