HUKUM HUDUD HANYA SANDIWARA PAKATAN PEMBANGKANG RAIH SOKONGAN PENGUNDI



Disebabkan isu dan perbalahan dalaman hubungan Pakatan Pembangkang tiada kesudahan, ramai pihak berpendapat sejak akhir-akhir ini Pakatan Pembangkang gemar memainkan persepsi bagi menarik semula sokongan ke atas mereka. Pakatan Pembangkang terpaksa menggunakan kaedah persepsi ini memandangkan mereka tiada pilihan lain. Ini kerana kebanyakan isu yang berbangkit tidak menyebelahi mereka.

Kemunculan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menjawat Perdana Menteri menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi telah memberikan Pakatan Pembangkang sesak nafas disebabkan kreadibiliti Najib boleh memerosotkan sokongan terhadap Pakatan Pembangkang selepas tsunami politik.

Kini, selepas isu komunis yang telah dibawa Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu, Nik Aziz pula meneruskan kekecohan Pakatan Pembangkang dengan mengemukakan cadangan mengembalikan hukum hudud. Namun, semua ini merupakan sandiwara terbaru Pakatan Pembangkang.

Hanya mereka yang buta politik percaya kekecohan ekoran kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa parti itu tetap akan menubuhkan sebuah negara Islam serta melaksanakan hukum hudud bakal meretakkan pakatan pembangkang, khususnya antara PAS dan DAP menjelang pilihan raya umum akan datang.

Apakah dengan pertelingkahan terbaru akan memutuskan perhubungan Pakatan Pembangkang yang ketika ini beriya-iya mahu menduduki Putrajaya selepas pilihan raya umum akan datang, pemimpin PAS, DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mungkin begitu bodoh untuk berbalah mengenai perkara yang mereka sendiri sedar sukar dilaksanakan di negara ini.

Persoalan kini, kenapa Nik Aziz, yang sebelum ini dilihat lebih selesa dengan DAP dan PKR berbanding Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menyatakan beliau tidak kisah sekiranya DAP keluar pakatan pembangkang jika tidak setuju dengan pendirian kerajaan Kelantan untuk membentuk negara Islam dan melaksanakan hukum hudud di negeri itu?

Akibatnya, pemimpin DAP seperti Karpal Singh dan Lim Kit Siang dilaporkan terus melenting, manakala sesetengah pemimpin daripada komponen BN turut menumpang publisiti daripada polemik mengenai hudud ini.

Namun, ramai pemerhati politik dan ulasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa langkah Nik Aziz memutarkan kembali cerita lama mengenai hudud sebagai taktik parti itu bertujuan menagih perhatian rakyat, memang tepat. 

Taktik dan gimik terbaru ini bukan ciptaan Nik Aziz seorang, tetapi dirancang secara teliti oleh pembangkang untuk mengabui mata penyokong setiap parti dalam Pakatan Rakyat ketika pilihan raya umum semakin hampir sekarang.

Jika diimbas kembali, hampir setiap kali menjelang pilihan raya umum dan pilihan raya kecil yang mana kemesraan PAS-DAP tidak disenangi penyokong masing-masing, Karpal Singh dan Nik Aziz akan bertikam lidah mengenai hudud. Perbalahan mereka kemudian senyap sebaik saja pilihan raya berakhir.

Oleh itu, tidak hairanlah jika perbalahan mengenai hudud kali ini akan berlarutan, malah mungkin menyebabkan PAS dan DAP dilihat tidak lagi bekerjasama pada pilihan raya umum akan datang. Dengan berbalah mengenai hudud, PAS akan dilihat oleh penyokong tradisional mereka sebagai kembali ke pangkal jalan selepas cuba menukar matlamat menubuhkan negara Islam kepada negara kebajikan. DAP pula berharap dapat menarik lebih banyak sokongan pengundi Cina yang tidak mengundi mereka sebelum ini kerana takut parti itu akur dengan hukum hudud PAS.

Dengan menimbulkan semula isu hudud, pakatan pembangkang bukan saja berharap dapat mengalihkan perhatian rakyat daripada pelbagai kelemahan dan masalah dalaman yang mereka hadapi, tetapi turut memperbaiki imej pemimpin tertentu yang tercalar.

PAS misalnya belum lagi kebah dengan keputusan pemilihan parti yang menyaksikan golongan liberal menguasai barisan kepemimpinan kanan. Walaupun perubahan itu mendapat reaksi positif di kalangan PKR dan DAP, ia tidak diterima baik oleh penyokong akar umbi PAS di luar bandar. 

Bagi Nik Aziz pula, beliau tidak mempunyai banyak pilihan dalam memastikan terus mendapat sokongan rakyat Kelantan dan dihormati ahli PAS sendiri kecuali memainkan watak Tok Guru yang tidak bertolak ansur mengenai hukum Islam. 

Setakat ini, hanya Hadi Awang belum mengeluarkan kenyataan mengenai perkara ini. Ramai menunggu dengan penuh minat bagaimana versi terbaru sandiwara hudud ini berakhir dan siapa sebenarnya yang bakal terperangkap. 
Share this article :
 

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger