EKSKLUSIF: MUKA BARU HIASI ROMBAKAN KABINET SARAWAK



Minggu ini merupakan minggu yang penting bagi beberapa wakil rakyat BN Sarawak yang menunggu dengan penuh sabar, siapakah di kalangan mereka yang akan diangkat sebagai Menteri Muda (seumpama Timbalan Menteri) dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak 1 yang akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tan Sri Dr George Chan Hong Nam setelah kalah dalam PRN Sarawak Ke-10 April lepas.

Desas-desus calon-calon yang layak mengisi kekosongan jawatan Menteri Muda dan Timbalan Ketua Menteri 1 kian kencang dalam tempoh 4 bulan kebelakangan ini selepas Pehin Sri Taib Mahmud mengumumkan barisan kabinetnya setelah memenangi PRN Sarawak Ke-10. Dalam barisan kabinet itu, tiada sebarang perubahan sebaliknya Taib mengekalkan barisan kabinet yang sedia ada dahulu melainkan kekosongan jawatan Menteri Muda yang telah ditinggalkan wakil rakyat yang terdahulu setelah mengundur diri bertanding dalam PRN Sarawak Ke-10 yang lalu.

Polemik yang paling sensasi pastinya pemilihan wakil rakyat dalam memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri Sarawak 1. Banyak spekulasi berhubung mereka yang berhak ke atas jawatan itu yang sememangnya hak SUPP. Bagaimanapun, prestasi SUPP dalam PRN Sarawak Ke-10 lepas amat mengecewakan sehingga menyebabkan Presiden SUPP, Tan Sri George Chan Hong Nam meletak jawatan serta-merta tetapi ditentang ahli-ahli SUPP supaya menangguhkan perletakkan jawatan itu sehingga Mesyuarat Agung SUPP yang dijadualkan hujung tahun ini.

Berikutan kekalahan Presiden SUPP, pilihan wakil rakyat dari SUPP hanya bersandarkan kepada 2 orang wakil rakyat berketurunan Cina yang menang dalam PRN Sarawak Ke-10, YB Dato’ Sri Wong Soon Koh dan YB Datuk Dr Lee Kim Shin. Bagaimanapun, tidak semua ahli-ahli SUPP menyokong mereka berdua disebabkan SUPP dikatakan gagal mencapai kata sepakat dalam memilih antara salah seorang. Ini disebabkan mereka berdua mempunyai kem yang berlainan, seorang kem Utara dan seorang lahi kem Tengah.

Terdapat juga suara-suara yang mahukan jawatan Timbalan Ketua Menteri Sarawak 1 itu diberikan kepada wakil rakyat SUPP yang berketurunan Bumiputera. Ini memandangkan kesemua wakil SUPP berketurunan Bumiputera menang bergaya dalam PRN Sarawak Ke-10. Ramai berpendapat peluang ini seharusnya diberikan kepada wakil rakyat SUPP berketurunan Bumiputera di atas prestasi cemerlang dan memberikan kemenangan kepada SUPP. Sekiranya tidak, SUPP pastinya akan kalah di kesemua kerusi yang ditandingi mereka. Antara wakil rakyat SUPP Bumiputera yang disebut-sebut menjawat jawatan tersebut ialah YB Ranum Mina, YB Jerip Susil, YB Datuk Dr Francis Harden Hollis dan dari YB Dr Johnical Rayong.

Jawatan Timbalan Ketua Menteri Sarawak 1 itu adalah hak mutlak Ketua Menteri Sarawak. Berkemungkinan jawatan Ketua Menteri Sarawak 1 itu akan dimansuhkan dan hanya membiarkan satu sahaja jawatan Timbalan Ketua Menteri Sarawak juga mungkin ada. Ini tertakluk kepada prestasi semasa parti yang diberikan kuota itu. Berdasarkan prestasi terkini, ternyata jawatan itu seharusnya dimansuhkan berikutan prestasi buruk yang dipamerkan SUPP dalam PRN Sarawak Ke-10 lepas.

Tidak ketinggalan juga ada di kalangan penganalisis politik akan memilih Presiden PRS, Tan Sri James Jemut Masing sebagai calon Timbalan Ketua Menteri Sarawak 2 di atas kejayaannya memimpin PRS dalam memenangi PRN Sarawak Ke-10 selepas kejayaan PBB yang menang di kesemua DUN Sarawak.

Persaingan sengit pastinya kepada jawatan Menteri Muda yang dikatakan sangat diidam-idamkan beberapa wakil rakyat yang senior dalam politik Sarawak. Selayaknya masing-masing berpendapat mereka layak menjawat jawatan itu disebabkan telah menjadi wakil rakyat lebih dari 3 penggal. Bagaimanapun, jawatan Menteri Muda yang menjadi rebutan tidak banyak melainkan Taib mewujudkan lagi portpolio menteri muda yang baru.

Dalam merealisasikan hasrat untuk memegang jawatan tersebut, ada di kalangan wakil rakyat terpaksa melobi kepada Menteri-Menteri Penuh yang sedia ada supaya boleh diketengahkan menjawat jawatan Menteri Muda. Mereka percaya wujud persaingan sengit sehingga menyebabkan mereka terpaksa kreatif bagi menarik perhatian Menteri Penuh dan Ketua Menteri Sarawak. Bagi menarik perhatian kepimpinan tertinggi, ada wakil rakyat yang sanggup menolak dan menidakkan undangan daripada rakyat di kawasan DUN hanya semata-mata mahu mengiringi Menteri Penuh ke majlis yang langsung tiada kaitan dengannya.

Antara nama-nama yang menjadi sebutan ramai dalam memegang jawatan Menteri Muda ialah YB Dr Abdul Rahman Junaidi, YB Sharifah Hasidah Aman Ghazali, YB Abdul Karim Hamzah, YB Julaihi Narawi, YB Datuk Len Talif, YB Rosey Yunus, YB Dr Abdul Rahman Ismail, YB Ripin Lamat, YB Harisson Ngau Laing, YB Radzi Stam dan YB Abdullah Saidol.

Dalam pada itu, terdapat juga desas-desus yang menyatakan ada di kalangan Menteri Muda yang sedia ada dipilih menjawat jawatan Menteri Penuh. Namun, itu juga bergantung kepada Taib.

Rombakan Kabinet Sarawak yang dijadualkan minggu ini dilihat sebagai proses pembaharuan kepimpinan. Rombakan pada peringkat kementerian membabitkan menteri kanan dijangka akan turut berlaku berdasarkan permintaan Abdul Taib yang mahu hanya individu layak mengetuai agensi kerajaan negeri pada masa akan datang.

Apapun, minggu ini merupakan minggu yang sangat penting bagi wakil-wakil rakyat BN Sarawak dalam usaha menjawat jawatan Menteri Muda. Pastinya, pemilihan barisan kabinet Sarawak yang baru ini akan membuat kejutan. 
Share this article :
 

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger