PKR SABAH LUMPUH, PKR SARAWAK TUNGGU MASA ANGKAT KAKI




PKR Sabah semakin hari semakin lumpuh ekoran beberapa pemimpin negeri mengambil keputusan keluar parti. Terbaru, Ketua Penerangan PKR Cabang Beaufort, Abdul Sani Insin telah bertindak keluar parti dan menyertai UMNO.

Keputusan itu dibuat bagi mengelak lebih banyak lagi rakan-rakannya terjebak dengan dakyah dan penipuan PKR dan Pakatan Pembangkang yang selama ini hanya memperjuangkan kepentingan politik Anwar Ibrahim dan bukannya rakyat selain telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan cabang dan negeri. Abdul Sani Insin telah berjuang bersama PKR sejak tahun 1998 hingga kini sebelum membuat keputusan keluar PKR dan menyertai UMNO pada Isnin, 15 Ogos 2011.

Menurut Abdul Sani Insin lagi, “tiada apa-apa lagi untuk dipertahankan di Beaufort. Semua perjuangan kami dalam PKR sia-sia saja. Kami juga sudah bosan dengan masalah yang berlaku di kalangan pemimpin PKR sendiri”.

Difahamkan selepas ini akan lebih ramai lagi ahli PKR Cabang Beaufort akan mengikut jejak langkahnya dan hanya menunggu masa yang sesuai. Sebelum ini Camarlin Loksin yang juga bekas Ketua Penerangan PKR Cabang Beaufort bersama hampir 100 orang ahli mengemukakan keluar parti dan menyertai UMNO pada awal tahun ini.

Selain hilang kepercayaan terhadap kepimpinan cabang dan negeri, keputusan menyertai UMNO adalah atas kesedaran terhadap kesungguhan parti itu menerusi BN dalam membangunkan rakyat dan menyediakan kemudahan asas di semua daerah.

Sementara itu, PKR Sarawak yang selesai mengadakan perlantikan baru Majlis Pimpinan negeri (MPN) Sarawak 2011 bagi tujuan persiapan menghadapi PRU-13 akan terus dilenyek DAP dan PAS khususnya dalam pembahagian kerusi Parlimen.

Sarawak yang mempunyai 31 kerusi Parlimen dijangka akan memperlihatkan pertandingan lebih daripada 2 penjuru memandangkan ramai dijangka akan bertanding atas tiket Bebas bagi menghalang dominasi PKR, DAP dan PAS. SNAP dalam pada itu belum memutuskan untuk bertanding, tetapi menegaskan inilah satu-satunya peluang mereka untuk menebus kembali kekecewaan mereka dalam PRN DUN Sarawak Ke-10 lepas dan menyaingi PKR.

Sebelum ini dalam PRN DUN Sarawak Ke-10, PKR dan SNAP tidak sehaluan dengan PKR dalam pembahagian kerusi sehingga menyebabkan pertembungan sesama mereka dalam beberapa kawasan DUN Sarawak yang menyaksikan SNAP kalah kesemua kerusi yang ditandinginya.

Manakala, pertembungan PKR dan DAP semasa PRN DUN Sarawak Ke-10 lalu telah mengakibatkan ada pemimpin PKR yang terpaksa dikorbankan bagi memberi peluang kepada DAP untuk bertanding di kawasan yang pernah dimenangi PKR. Dominique Ng Kim Ho yang terlalu sayangkan PKR sebelum PRN DUN Sarawak sehingga menyebabkan dirinya disabitkan kesalahan dan disaman pemimpin Chong Chieng Jen.

Bagaimanapun pengorbanan Dominique Ng nampaknya tidak berbaloi apabila namanya tidak tersenarai dalam pencalonan PKR kerana persetujuan mereka untuk menukar kerusi DUN Padungan dan DUN Batu Lintang. Akhirnya, Dominique Ng Kim Ho terpaksa mengambil keputusan keluar parti dan bertanding atas tiket Bebas.

Isu pembahagian kerusi DUN Sarawak pastinya akan kembali menghangatkan hubungan PKR, DAP dan PAS kerana masing-masing mahu mendapatkan kerusi lebih. PKR telah mensasarkan akan bertanding di 20 kerusi Parlimen manakala DAP pula mahu bertanding di 15 kerusi Parlimen. PAS pula masih belum mengemukakan pendirian namun berhasrat untuk bertanding di sekurang-kurangnya 5 kerusi Parlimen. SNAP sehingga kini masih belum mengemukakan jumlah kerusi Parlimen yang akan ditandinginya.

Berasaskan situasi tersebut, dijangka masalah yang sama akan membelenggu Pakatan Pembangkang di Sarawak dalam PRU-13 akan datang. Menjadi tradisi, persefahaman mereka hanya terjalin di atas kertas, tetapi hakikatnya lebih terarah kepada kepentingan masing-masing. 
Share this article :
 

+ comments + 1 comments

Anonymous
August 17, 2011 at 12:35 PM

PKR di sabah? pru 12 dulu kami undi pkr sebab kami protes tun abdullah badawi yg lembik. tapi lepas ni mintak maaf la. ndak mau suda undi pembangkang. tobat suda kami di kampung ini.

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger