HARAM 2.0: HURU HARA MATLAMAT UTAMA PERHIMPUNAN HARAM BERSIH




Beberapa tempat yang menjadi tumpuan rekreasi dan lawatan rakyat Malaysia dan pelancong luar negara akan menjadi korban disebabkan kerakusan NGO’s dan Pakatan Pembangkang yang mahu menjadikan Kuala Lumpur sebagai tempat seperti pelarian.

Ketika ini banyak pihak yang meramalkan apakah yang akan berlaku sekiranya Perhimpunan Haram itu tetap juga diadakan seperti yang dinyatakan S. Ambiga, Pengerusi BERSIH.

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih (Bersih), Datuk S.Ambiga dengan tegas menyatakan bahawa mereka akan meneruskan perhimpunan haram berkenaan biar pun apa juga yang terjadi.

Walaupun perhimpunan haram Bersih anjuran pembangkang itu sudah mendapat amaran keras daripada pihak polis, namun setakat ini tiada unsur-unsur bahawa ia akan dibatalkan.

Itulah persoalan yang bermain di fikiran banyak pihak apabila parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) yang sehaluan dengan mereka akan turun ke jalanan pada tarikh berkenaan kononnya untuk menuntut sebuah pilihan raya yang bersih dan adil.


Jelaslah beliau dan konco-konconya termasuklah parti pembangkang cuba mencabar undang-undang dan pihak berkuasa.

Apa yang lebih malang kononnya perhimpunan haram itu adalah manifestasi daripada tuntutan rakyat yang mahu sebuah pilihan raya yang bersih, telus dan adil.

Persoalan siapakah 'rakyat' yang dimaksudkan oleh Ambiga dan pembangkang? Apakah benar majoriti rakyat negara ini yang begitu asing dengan budaya demonstrasi dan rusuhan merestui apa yang bakal dilakukan oleh pembangkang itu.

Sememangnya sejak 2008 lagi, perkataan 'rakyat' sering sahaja disalah gunakan oleh pembangkang dalam mencapai cita-cita politik mereka.

Selain perhimpunan haram Bersih, PKR juga mengadakan konvensyen pilihan raya dengan bertemakan 'Demi Rakyat'.

Pembangkang cuba menghalalkan tindak-tanduk mereka dengan meletakkan istilah 'rakyat' sebagai perisai, tetapi mereka lupa rakyat tidaklah sebodoh yang mereka sangkakan.

Perhimpunan haram Bersih bermotif politik dan bagi mengalihkan isu terhadap kepincangan pembangkang serta masalah moral yang dihadapi oleh pemimpinnya - itu sahaja!

Justeru adalah tidak wajar jika pembangkang terus terpekik terlolong dengan menggunakan istilah 'rakyat' bagi menghuru-harakan ibu negara dan negeri-negeri lain.



Kalau benar mereka berjuang atas nama rakyat dan ingin membela nasib rakyat, mereka tidak akan bertindak mengadakan demonstrasi yang sudah tentulah akan mencetuskan huru-hara.

Apakah rakyat dimaksudkan oleh pembangkang ialah yang bersama-sama dengan mereka dalam demonstrasi itu sahaja? Bagaimana dengan jutaan lagi rakyat Malaysia sama ada di Kuala Lumpur atau di luar ibu negara yang membenci demonstrasi dan ingin hidup aman damai untuk menjalani kehidupan pada penghujung minggu.

Janganlah memberi alasan bahawa perhimpunan haram itu perlu dibenarkan berjalan secara aman, persoalannya siapakah yang boleh memberi jaminan keselamatan apabila ribuan orang turun ke jalanan?

Berdasarkan maklumat penulis difahamkan, perhimpunan haram Bersih bukan sekadar satu perhimpunan biasa tetapi ia mempunyai perancangan yang cukup rapi dan terancang bagi menghuru-harakan ibu negara dan negeri-negeri lain.

Ada hasrat untuk membawa gelombang rusuhan dan kekacauan yang tercetus di Asia Barat ke Malaysia, kononnya atas nama keadilan untuk rakyat.

Sekali lagi berjuang untuk rakyat hanyalah alasan pembangkang. Mereka sememangnya bertujuan untuk menganggu gugat keamanan dan keselamatan negara melalui perbuatan provokasi seperti mana perhimpunan haram yang hendak diadakan.

Justeru atas alasan berkenaan, pihak berkuasa perlu bertindak segera dan harus melakukan apa sahaja bagi memastikan keamanan ibu negara dan negeri-negeri lain yang tidak diganggu-gugat oleh pembangkang.

Dalam melakukan tindakan tersebut, pihak berkuasa tidak perlu khuatir akan dituduh melanggar hak asasi manusia atau seumpamanya yang sudah tentulah dakwaan itu akan datang daripada kelompok dalam dan luar negara yang propembangkang.


Kalau pembangkang bercakap soal hak asasi apakah ia eksklusif untuk mereka sahaja? Bagaimana dengan rakyat yang menentang perhimpunan haram tersebut?

Oleh itu, tanggungjawab pihak berkuasa ialah memastikan keselamatan dan keamanan tidak tergugat serta menentukan nasib jutaan lagi rakyat Malaysia tidak terjejas hanya disebabkan perbuatan beberapa ribu penunjuk perasaan yang sudah hilang pertimbangan waras mereka dalam berpolitik.

Hakikatnya, tindakan mereka mahu mengadakan perhimpunan haram tersebut, ibarat makhluk-makhluk perosak yang bagaikan cacing kepanasan apabila melihat rakyat kini semakin menyebelahi kerajaan BN. Imej pembangkang semakin merudum kerana masalah dalaman dan semakin bimbang akan kalah teruk dalam pilihan raya umum akan datang.

Oleh itu pembangkang tidak perlu berbohong atau memperdayakan rakyat dengan hujah-hujah politik songsang mereka kononnya pilihan raya di negara ini tidak bersih dan adil, maka perhimpunan haram tersebut perlu diadakan.

Kemenangan pembangkang di empat buah negeri dan menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dalam pilihan raya umum lalu sudah menjadi bukti ketelusan pilihan raya yang diadakan.

Ia belum lagi mengambil kira bagaimana PAS masih terus memerintah Kelantan sejak tahun 1990 sedangkan kalau benar pilihan raya tidak adil dan telus sudah lama kepimpinan Nik Aziz berakhir di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Begitulah juga apabila pembangkang merampas Pulau Pinang, Kedah dan Perak serta Selangor ia tidak akan terjadi kalau SPR menjadi kuda tunggangan kepada kerajaan BN seperti mana didakwa oleh pembangkang.

Berdasarkan perkara itu, adalah wajar rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan menghormati sistem demokrasi yang memberi kuasa kepada mereka memilih kerajaan melalui pilihan raya yang sah bangkit menentang penganjuran perhimpunan haram tersebut.

Pembangkang perlu diberi peringatan bahawa politik ada batasnya dan rakyat tidak akan bersekongkol dengan kelompok yang sanggup mempertaruh dan menggadaikan apa sahaja kerana gilakan kuasa.

Lebih penting daripada itu, rakyat juga perlu menyampaikan mesej kepada pembangkang bahawa demonstrasi dan rusuhan serta mencetuskan huru-hara bukan caranya rakyat negara ini menentukan kerajaan.
Share this article :
 

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger