WELCOME TO THE CLUB BRO!



Setelah krisis hubungan Pakatan Pembangkang dengan SNAP tidak dapat diselamatkan, muncul Parti Cinta Malaysia (PCM). PCM diketuai Presidennya, Gabriel Adit Demong.

Menceritakan pengalaman Gabriel Adit, Presiden PCM itu sebelum ini pernah menyertai PKR hanya untuk tempoh 2 tahun. Sepanjang tempoh itu, Gabriel dikatakan rapat dengan Anwar Ibrahim. Bagaimanapun, perlantikan Baru Bian sebagai Pengerusi PKR Sarawak telah mencetuskan konflik kepimpinan.

Gabriel Adit merupakan penyandang kerusi DUN Ngemah pada Pilihan Raya DUN Sarawak 2006. Ketika itu beliau bertanding atas tiket Bebas. Semasa proses kepimpinan Pengerusi PKR Sarawak yang sebelum itu disandang Mustapha Kamil Ayob, Gabriel Adit dikatakan sangat berminat untuk menjawat jawatan PKR Sarawak. Atas kesempatan itu, Gabriel Adit mengambil keputusan untuk melompat parti kepada PKR dengan harapan beliau dapat menjawat Pengerusi PKR Sarawak.

Jadi, tidak hairanlah semasa PRK Batang Ai tahun 2009, Gabriel Adit sangat rapat dengan Anwar Ibrahim. Anwar sebelum ini dalam setiap ceramahnya di kawasan majoriti Iban mengungkapkan akan melantik Pengerusi PKR Sarawak daripada rakyat Sarawak berketurunan Dayak. Sesiapa yang dilantik menjadi Pengerusi PKR Sarawak, secara tidak langsung akan berpeluang dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Setelah 2 tahun menabur pelbagai jasa dan pengorbanan kepada PKR sehingga kawasan DUN Ngemah diabaikan, Gabriel Adit telah memutuskan ikatannya bersama PKR. Perlantikan Baru Bian telah memusnahkan harapan Gabriel untuk menjadi Pengerusi PKR dan seterusnya impian menjadi Ketua Menteri Sarawak berkecai.

Kini, Gabriel Adit datang kembali membawa misi yang berbeza, tetapi hasratnya masih sama iaitu, memenangi seberapa banyak kerusi dalam Pilihan Raya DUN Sarawak. Ketika SNAP mengesahkan akan bertanding di 40 kawasan DUN, PCM tidak ketinggalan untuk meletakkan calonnnya di beberapa kawasan yang dirasakan mampu memberikan persaingan sengit kepada PKR dan BN. Apakah PCM juga akan bertanding bagi melawan SNAP yang menumpukan sebanyak 40 kawasan DUN?

Hanya SNAP sahaja yang sudah mengumumkan seramai 27 calon daripada 40 calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya DUN Sarawak. PKR Sarawak dikatakan akan mengumumkan calonnya dalam minggu ini kerana ketika ini perbincangan mengenai calon-calon yang sesuai masih dalam peringkat akhir. Kebanyakan calon-calon PKR Sarawak ketika ini berpotensi untuk kalah memandangkan cabaran yang diterima daripada BN dan SNAP. Laluan PKR dalam Pilihan Raya DUN Sarawak pastinya perit walaupun sebelum ini mereka sedaya upaya untuk menghindarkan pertandingan lebih daripada 2 penjuru.


DAP dan PAS sekutu PKR dalam Pakatan Pembangkang juga dikatakan hanya akan mengumumkan calon pada minggu hadapan. Sebelum ini, Pakatan Pembangkang dikatakan belum mencapai kata sepakat dalam pembahagian kawasan DUN memandangkan terdapat beberapa kawasan DUN yang bertindih. Dalam pada itu, BN pula akan mengumumkan calon-calonnya sehari sebelum penamaan calon. Difahamkan Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi BN Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud akan berjumpa dengan Perdana Menteri pada awal April ini nanti.

PCM ketika ini masih berahsia mengenai kawasan DUN yang akan ditandingi mereka, tetapi menjelaskan akan meletakkan dua calon di Sri Aman, seorang calon masing-masing di Kuching, Bintulu, Limbang dan selebihnya di kawasan Kuala Rajang. Gabriel Adit tidak menolak untuk bertanding di DUN Ngemah bagi mempertahankan kawasannya itu dan bersedia meletakkan calon mereka di Machan dan Bekenu.

Gabriel Adit berkeyakinan calon-calon PCM yang diketengahkan itu berpeluang untuk menang dan dikatakan sambutan rakyat di lapangan menunjukkan kesan positif kepada PCM.

Keputusan PCM hanya bertanding di 10 kawasan DUN adalah disebabkan perbelanjaan Pilihan Raya DUN Sarawak yang sangat besar. Oleh itu, PCM tidak mahu membuang masa dan wang ringgit sebaliknya hanya memfokuskan kawasan yang berpotensi untuk menang.

Pilihan Raya DUN Sarawak ini adalah yang pertama disertai PCM sebagai sebuah parti politik. Walau bagaimanapun, PCM tidak boleh bertanding menggunakan lambangnya disebabkan PCM belum berdaftar kepada SPR bahawa PCM sebagai parti politik.

Tindakan PCM untuk menghantar calon dan bertanding dalam Pilihan Raya DUN Sarawak ini telah merancakkan persaingan empat penjuru di beberapa kawasan DUN Sarawak. Bagaimanapun, persaingan ini tidak dimahukan PKR, DAP dan PAS yang menurut mereka boleh menyebabkan mereka kalah teruk dalam pilihan raya ini seperti yang berlaku pada Pilihan Raya DUN Sarawak 2006. 
Share this article :
 

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger