Sepanjang tiga hari berlangsungnya Kongres Tahunan PKR Ke-7, perwakilan dan pemimpin-pemimpin tertinggi PKR yang dilantik ‘rakyat’ lebih terarah memasang impian ke Putrajaya khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 sedangkan mandat yang diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Pembangkang masih belum dilaksanakan sepenuhnya. Pakatan Pembangkang asyik dengan politiknya tanpa menjaga kepentingan rakyat khususnya masyarakat Melayu dan Bumiputera yang mudah dipermainkan Pakatan Pembangkang khususnya PKR semasa Kongres Tahunan PKR Ke-7 yang baru sahaja selesai diadakan.
Ketuanan Melayu Dihapuskan – Ucaptama Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail yang mempersoalkan dalam menjaga kepentingan hak orang Melayu membuka perbahasan. Dalam membahas ucaptama Presiden PKR, ramai di kalangan perwakilan tidak setuju dengan kenyataan Wan Azizah bahawa Ketuanan Melayu tidak perlu dipertahankan dalam konteks masyarakat Malaysia. Selain beberapa perwakilan, ramai juga ahli-ahli PKR sendiri yang terkejut dengan ucapan pembukaan Presiden PKR yang ternyata melukakan hati orang Melayu.
Menurut sebilangan ahli-ahli PKR, ucapan itu sebaliknya hanya untuk menarik sokongan rakyat bukan Melayu dan Bumiputera khususnya kaum Cina dan India yang ketika ini telah mula menunjukkan kemunduran dalam menyokong perjuangan PKR dan Pakatan Pembangkang. Bagi masyarakat Melayu, kemusnahan kepentingan orang Melayu yang terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia pastinya akan memusnahkan dan melenyapkan orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Sebelum itu, bagi melestarikan kehancuran hak dan kepentingan orang Melayu, Ketua Umum Keadilan, Anwar Ibrahim dengan bongkaknya akan melantik Lim Kit Siang, Setiausaha DAP sehingga mati untuk diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri. Modalnya mudah sahaja, iaitu untuk mengembalikan keyakinan masyarakat Cina untuk menyokong Pakatan Pembangkang. Peranan utama Timbalan Perdana Menteri ialah membantu dalam kerja-kerja pentadbiran Perdana Menteri. Tetapi, adalah tidak mustahil Anwar Ibrahim juga akan dijadikan boneka hidup oleh DAP demi melestarikan hak dan kepentingan kaum Cina setelah hak dan kepentingan Melayu dimusanahkan oleh bangsanya sendiri.
Apakah rakyat di Sabah dan Sarawak tidak akan menerima tempiasnya hasil daripada tindakan PKR menghapuskan hak dan kepentingan Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak? Agaknya Anwar Ibrahim sudah lupa bahawa Sarawak akan menghadapi Pilihan Raya DUN Sarawak, manakala PKR hanya fokus kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 sahaja dalam menuju ke Putrajaya.
Sekiranya Ketuanan Melayu (Perkara 153 Perlembagaan Malaysia) ini dihapuskan maka secara automatik hak dan kepentingan kaum Bumiputera Sarawak juga terhapus dengan sendirinya. Bagaimanakah nasib orang Iban dan Bidayuh (Dayak), dan Orang Ulu serta Melanau dan Melayu di Sarawak? Apakah mereka ini sanggup untuk hidup bertunjangkan pemerintahan berat sebelah seperti yang dikehendaki Pakatan Pembangkang?
Pemerintahan BN Sarawak kerap kali memperjuangkan hak dan kepentingan kaum Bumiputera di Sarawak khususnya dalam bidang sosial dengan menubuhkan pelbagai persatuan, pertubuhan dan kumpulan bagi memelihara adat dan budaya etnik masing-masing. Demikian juga dalam soal membantu mempertingkatkan ekonomi penduduk ke arah kemodenan dengan pelbagai insentif dan bantuan. Dari segi budaya, kerajaan kerap memberi kebebasan untuk setiap etnik mengamal dan menyebarluaskan dalam usaha memperkenalkan kesenian dan budaya kaum masing-masing.
Apakah masyarakat Iban dan Dayak khususnya mahu melihat kehancuran cucu-cicitnya di masa depan berpaksikan pemerintahan Pakatan Pembangkang? Mungkin, ahli-ahli PKR berketurunan Dayak hanya berfikir situasi ini hanya berlaku di Semenanjung Malaysia sahaja dan tidak akan berlaku di Sarawak mahupun Sabah. Bangunlah, bahawa kecenderungan PKR dan Pakatan Pembangkang untuk menghancurkan Perkara 153 akan menjejaskan nasib Bumiputera di tanahair sendiri.
Lihat bagaimana nasib orang Melayu di Pulau Pinang dan Selangor yang meminta sedekah di negeri sendiri dan merempatnya hidup mereka apabila bersaing dalam bentuk ekonomi yang tidak adil. Seperti biasa, dalam setiap ceramahnya perkara-perkara baik akan dibahaskan oleh wakil rakyat Pakatan Pembangkang dengan harapan rakyat Sarawak akan termakan lakonan dan berita-berita baik mereka. Keadaan inilah yang telah berlaku ke atas penduduk-penduduk Selangor dan Pulau Pinang serta Kedah yang telah membuatkan negeri mereka tergadai kepada Pakatan Pembangkang. Sejak dari kemenangan pada Mac 2008 sehingga kini, kerajaan negeri khususnya Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang asyik dengan politiknya sahaja tanpa ada hasrat untuk memajukan negeri dan menjaga hak dan kepentingan rakyat.
Sarawak, kaum Ibannya merupakan kaum majoriti berbanding kaum Melayu, Bidayuh, Melanau dan Orang Ulu. Kaum-kaum Bumiputera Sarawak ini dipelihara dengan Perkara 153 dan dijaga rapi oleh Kerajaan memerintah. Andai ini tergadai, Bumiputera Sarawak boleh diibaratkan sebagai merempat di negeri sendiri. Adalah tidak mustahil, Perkara 20 yang dipegang erat Sarawak ketika perjanjian menyertai Malaysia akan turut tergadai dek kerakusan Pakatan Pembangkang yang didalangi DAP untuk menghapuskan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera.
Perkara 20 yang menjadi pegangan rakyat Sarawak khusus dalam memelihara keharmonian kaum di Sarawak juga sebelum ini pernah diancam oleh pemimpin-pemimpin PKR kononnya Perkara 20 ini menghadkan pemilikan sumber oleh rakyat Malaysia keseluruhannya. Jika ini tidak ditangani secara lebih berkesan nescaya Sarawak akan terjerumus ke arah negeri yang mundur ke belakang.
Sarawak merupakan sebuah negeri yang aman damai dengan rakyat dapat hidup dalam satu rumpun Sarawak. Penjajahan politik yang bersifat rasis dan berkepentingan politik yang diperkenalkan DAP sebelum ini juga telah meresapi rakyat Sarawak. Dalam hal yang sama, PKR juga telah memasang strategi untuk mengumpan kaum Dayak di pedalaman untuk menyokong mereka dalam menjayakan hasrat Anwar Ibrahim menuju ke Putrajaya. Strategi DAP dan PKR di Sarawak ternyata bukan untuk membantu rakyat sebaliknya untuk mengaut kekayaan di Sarawak. Soal mempertahankan isu tanah NCR seperti yang diketengahkan ketua Perhubungan PKR Sarawak, Baru Bian hanyalah strategi untuk memancing sokongan rakyat. Rakyat Sarawak tahu bahawa Kerajaan di bawah pemerintahan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bersifat memelihara perpaduan berteraskan Konsep Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Atas sebab ini, Kerajaan Persekutuan bersama dengan Kerajaan Sarawak bersama-sama berganding bahu membangunkan Sarawak.
Rakyat Sarawak perlu sedar bahawa hak dan kepentingan mereka hanya terletak di bawah Kerajaan yang sedia ada. Untuk menjamin kehidupan yang lebih bermakna, rakyat perlu segera mencongak masa depan dengan arah tuju yang betul supaya tidak tersalah pilih seperti yang berlaku di Pulau Pinang dan Selangor.

































