Monday, July 19, 2010

Bekas Presiden Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Ting Ling Kiew memberitahu pemecatannya dari jawatan dan parti adalah disebabkan tidak sehaluan dengan perjuangan parti itu sekarang yang rasminya menganggotai pakatan pembangkang.

SNAP suatu ketika dahulu merupakan kompenan dalam BN dan kemudiannya disingkirkan dari BN pada tahun 2004.

Setelah disingkirkan BN, SNAP yang ketika itu di bawah pimpinannya masih memilih BN dan bukannya pembangkang.

SNAP sekarang telah melabelkan dirinya sebagai pembangkang dan menyertai pakatan pembangkang bersama parti-parti pembangkang dari Semenanjung Malaysia seperti PKR, DAP dan PAS. Walau bagaimanapun, SNAP yang dibimbing Presiden Edwin Dundang dijangka tidak mampu melangkah jauh dalam politik Sarawak.

Keputusan SNAP menyertai pakatan pembangkang dilihat sebagai terdesak disebabkan SNAP tidak mampu berdiri sendiri dan dipercayai akan bergantung sepenuhnya kepada parti-parti pembangkang dari Semenanjung.

Penyertaan SNAP di dalam pakatan pembangkang juga sebagai suatu usaha untuk menarik kembali ahli-ahli SNAP yang kebanyakannya menyertai PRS dan SPDP. Walau bagaimanapun, usaha ini sia-sia sahaja memandangkan ideologi politik mereka yang berbeza.

SNAP menyertai pakatan pembangkang atas sebab mahu meningkatkan reputasinya seperti dahulu. Namun, di dalam pakatan pembangkang, SNAP akan menerima saingan sengit daripada PKR yang mempunyai ahli-ahli yang terdiri daripada Bumiputera berbanding DAP dan PAS.

Dalam pembahagian kerusi pembangkang, SNAP dijangka tidak akan diberikan banyak kerusi berbanding PKR atas sebab reputasinya sebagai parti pembangkang yang popular. Harus diingat, SNAP merupakan parti tempatan yang sangat popular ketika dalam kompenan BN dan apabila bersama pembangkang ia tidak ubah seperti parti yang sekadar menumpang.

Dalam pakatan pembangkang dari aturannya, SNAP berada dalam kelompok terakhir berbanding PAS yang lebih terarah kepada kaum Melayu sahaja. Manakala PKR dan DAP masing-masing mahu menonjolkan diri untuk mengukuhkan peranannya sebagai ketua kepada pakatan pembangkang.

SNAP telah memecat Ting Ling Kiew pada 11 Julai 2010 setelah kata putus berhubung keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat CEC yang dipengerusikan oleh Edwin Dundang.

Pemecatan beliau disebabkan gagal memberi alasan munasabah terhadap tindakannya menyokong BN ketika PRK N.29 Batang Air pada April 2009 dan PRK P.212 Sibu pada Mei 2010.

Persoalannya, adakah dengan pemecatan Ting Ling Kiew akan dapat meneruskan agenda SNAP bagi penduduk Sarawak? Dengan tidak mendapat kepercayaan daripada penduduk Sarawak dan tiada sumber kewangan yang kukuh, adalah tidak mustahil SNAP akan dipergunakan PKR dan DAP dalam mendapatkan sokongan pengundi Bumiputera. Dan, penyertaan SNAP ke dalam pakatan pembangkang hanya sebagai landasan untuk meraih populariti yang sebelum telah jatuh menjunam.
Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!