Thursday, May 27, 2010

Ketua Menteri Sarawak, Pehin Seri Abdul Taib Mahmud memberi jaminan bahawa peruntukan berjumlah RM300 juta daripada Kerajaan Persekutuan yang dijanjikan Kerajaan semasa kempen Pilihan Raya Kecil P.212 Sibu akan tetap dilaksanakan.

Peruntukan itu termasuklah pembangunan di bandar Sibu termasuk RM5 juta bagi projek tebatan banjir yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Dato’ Seri Najib Tun Razak merupakan individu yang sentiasa menunaikan janjinya kepada rakyat dan begitu juga situasi ketika berkempen di Sibu tempoh hari.

Dalam PRK P.212 Sibu, calon BN telah kalah tipis kepada calon DAP. Atas dasar 1Malaysia ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’ dan janji Perdana Menteri kepada rakyat, Kerajaan Barisan Nasional akan tetap menunaikan janji kepada rakyat Sibu.

Setelah BN akan menunaikan janjinya kepada rakyat Sibu yang membuat keputusan memilih calon DAP sebagai mewakili rakyat, persoalannya di sini adakah calon DAP itu akan menunaikan janji-janji manisnya dalam usaha mengUBAH Sibu seperti yang terkandung dalam minifesto DAP ketika PRK P.212 Sibu???

Seperti sebelum ini, BN tetap akan menunaikan janji-janjinya ketika berkempen dalam mana-mana pilihan raya dan ini terbukti dengan pembangunan yang dikecapi Sarawak ketika ini. Di bawah Kerajaan BN, terbukti pembangunan berterusan tetap akan dilaksanakan. Berbeza dengan Kerajaan di bawah Pakatan Rakyat yang ketika ini banyak mengalami keraguan dan kemerostan.

Friday, May 21, 2010

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Dato' Sri Mohd Asfia Awang Nassar berhak menghalang mana-mana Ahli DUN yang digantung daripada menghadiri persidangan dan memasuki bangunan DUN atau kawasan sekitarnya berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.


Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata berdasarkan peraturan “House of Common” Parlimen yang juga digunapakai di peringkat negeri, tindakan Mohd Asfia menghalang ADUN Padungan Dominique Ng daripada memasuki bangunan DUN di Petra Jaya tidak menyalahi peraturan.

“Kawasan larangan itu tertakluk kepada Speaker dan tidak semestinya hanya dalam kawasan pagar DUN”, katanya lagi.

Oleh itu, Dominique Ng dan Chong Chieng Jen renung-renungkanlah dan selamat mempelajari Undang-Undang DUN dan Parlimen.....
ADUN Padungan, Dominique Ng dari PKR enggan mematuhi arahan anggota polis bantuan yang menghalang beliau memasuki kawasan DUN yang sedang bersidang.

Terdahulu, kira-kira jam 10.30 pagi, polis menghalang kenderaan yang membawa ADUN Padungan itu dan tiga rakannya masuk ke kawasan DUN. Terdahulu, ADUN Kota Sentosa Chong Chieng Jen dari DAP turut tidak dibenarkan memasuki DUN pada jam 8.45 pagi.

Speaker DUN Sarawak, Datuk Seri Mohd Asfia Awang Nassar telah menjatuhkan hukuman gantung selama 12 bulan kerana menghina DUN Sarawak dan membuat tuduhan liar terhadap Menteri Kabinet Negeri pada persidangan DUN tahun lalu.

Kejadian pagi itu juga menyaksikan tercetusnya pergelutan di antara ADUN Padungan dengan pihak polis selama 30 minit. Dalam pergelutan itu, Dominique Ng telah meninggikan suara sambil menegaskan dirinya mempunyai hak memasuki Galeri Awam DUN dan menyaksikan persidangan.

Sebagai YB, perlakuan sebegini seharusnya tidak terjadi khususnya yang bergelar ‘Yang Berhormat’. Manakan tidak, rakyat memilih YB atau wakil rakyat bertujuan untuk membela nasib rakyat dan bukannya mencari pasal.

Tidak mustahil juga kiranya perlakuan ‘Yang Berhormat’ itu bertujuan mencari publisiti politik. Sejak akhir-akhir ini, YB itu kurang mendapat perhatian media sebaliknya lebih terarah kepada Wong Ho Leng yang menang tipis dalam Pilihan Raya Kecil P.212 Sibu. Dan, ekoran penggantungan dan pergelutan itu, sedikit sebanyak media memberi tumpuan kepada YB itu sehingga menjadi berita utama dan terpampang gambar beliau semasa bergelut dengan polis sehingga ‘menangis’.

Ekoran tidak berpuas hati dengan tindakan polis bantuan yang menjalankan tugas, beliau akan membuat lapaoran polis kerana mendakwa dihalang dan dikasari pasukan keselamatan berkenaan.

Keputusan YB itu membuat laporan polis merupakan hak peribadinya. Namun, semasa pergelutan itu, jelas bahawa polis menjalankan tugasnya dan memenuhi tanggungjawabnya sebagai pengawal keselamatan. Adalah tidak mustahil, kiranya YB dan pihak pembangkang lain akan mengekploitasikan kejadian ini demi meraih simpati masyarakat ketika menghadapi Pilihan Raya DUN Sarawak akan datang.

Persoalan yang sering difikirkan sehingga sekarang: Adakah wakil rakyat sebegini yang dimahukan rakyat? Kononnya membela rakyat sebaliknya cuba meraih simpati rakyat demi kepentingan politiknya untuk terus menjadi wakil rakyat!

Saturday, May 8, 2010

Pilihan Raya Kecil Sibu akan menyaksikan pertandingan 3 penjuru di antara calon BN, Robert Lau Hui Yew ditentang calon DAP, Wong Ho Leng dan calon Bebas, Narawi Haron.

Sesi penamaan calon pagi tadi yang berpusat di Dewan Suarah Sibu berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Rombongan BN yang disertai seramai 4,000 orang penyokong-penyokong BN telah mengiringi calon BN yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, dan pemimpin BN di peringkat pusat dan negeri serta kompenan BN yang lain. Manakala, rombongan DAP telah disertai Lim Kit Siang dan beberapa pemimpin Pakatan Haram yang lain bersama lebih kurang 500 orang penyokongnya.

Setelah melalui tempoh masa sejam untuk masa bantahan, pegawai Pengurus PRK Parlimen Sibu, Wong See Meng mengumumkan calon-calon yang telah disahkan bertanding.

Wednesday, May 5, 2010

BN telah mengumumkan calonnya lebih awal, Robert Lau Hui Yiew yang mempunyai pangkal nama depan yang sama dengan mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew yang juga merupakan saudara mendiang. Ketika BN telah bersedia lebih awal dalam memperkenalkan calon, Pakatan Rakyat khususnya DAP pula telah menyenaraikan 8 calon yang dianggap berpotensi untuk diketengahkan sebagai calon DAP termasuk Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng yang juga merupakan pesaing BN dalam PRU 2008.

Sepanjang 2 minggu selepas kematian mendiang dan ketika SPR bersedia mengumumkan tarikh penamaan calon dan mengundi untuk PRK P.212 Sibu, DAP kerap mewar-warkan nama-nama bakal calon DAP terbaik untuk diketengahkan dalam PRK P.212 Sibu ini. Penyenaraian nama-nama bakal calon DAP ini telah menenggelamkan bakal calon PKR yang disebut-sebut untuk bertanding pada PRK P.212 Sibu.

Sepanjang 2 minggu itu juga DAP yang diketuai Pengerusinya DAP Sarawak, Wong Ho Leng sentiasa bercakap tentang kelebihan bakal-bakal calon DAP dalam usaha menarik perhatian pengundi Cina. Ketika PRK P.94 Hulu Selangor sedang dalam masa genting, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sempat terbang ke Sibu dan mengadakan perbincangan untuk menubuhkan Pakatan Rakyat Sarawak.

Perbincangan dan kata sepakat telah diambil dan persetujuan telah dimuktamadkan yang mana Pakatan Rakyat Sarawak ditubuhkan secara ‘lisan’ sahaja kerana masih belum berdaftar. Selain PKR, DAP dan PAS, SNAP juga telah dijemput untuk menyertai Pakatan Rakyat Sarawak bagi mengukuhkan Pakatan. Sebelum ini, SNAP yang merupakan parti politik terkuat di Sarawak dan pernah menganggotai BN dilihat kurang menonjol disebabkan pengaruh PKR yang semakin membesar sehingga telah menenggelamkan SNAP. Untuk tidak menghampakan SNAP dan terjadinya pertandingan 3 atau lebih seperti dalam Pilihan Raya DUN 2006, maka ketiga-tiga parti pembangkang yang berpusat di Semenanjung itu telah menjemput SNAP menyertai mereka.

Ketika ramai penduduk Sibu dan pemerhati politik menunggu siapakah calon Pakatan Rakyat Sarawak yang akan diangkat menjadi wakil pembangkang, Anwar Ibrahim telah ‘mengejutkan’ pengundi dari ‘tidur’ dengan mengumumkan Wong Ho Leng dari DAP sebagai calon Pakatan Rakyat Sarawak. Alasannya mudah, telah mempunyai nama, pengikut dan lantang menyuarakan permasalahan rakyat. Apakah tujuan Wong Ho Leng yang sebelum ini kerap melaung-laungkan DAP akan mengketengahkan calon muda yang berpotensi tinggi? Mungkin sekadar untuk memaklumkan bahawa bakal-bakal calon DAP itu hanya sebagai pelapis yang masih belum bersedia dan kurang pengalaman?

Pengumuman calon DAP, Wong Ho Leng sebagai calon untuk PRK P.212 Sibu dilihat sebagai ‘tamak kuasa’ walaupun alasannya atas kesepakatan parti-parti pembangkang lain. Pemilihan beliau juga secara langsung telah menutup ruang kepada pemimpin-pemimpin muda DAP yang berpotensi untuk diketengahkan.

Walau apapun yang berlaku, DAP sebenarnya lebih cenderung untuk merampas P.212 Sibu ini berbanding mahu mengetengahkan pemimpin muda. Berbeza dengan BN yang mengambil sikap berani dalam mengetengahkan pemimpin muda yang sebelum ini dianggap ‘rumah orang tua’ dan seterusnya memberi pengalaman kepada pemimpin muda dalam SUPP. Sebaliknya, DAP yang masih mengekalkan ‘rumah orang tua’ kerana mencalonkan pemimpin yang telah kalah dan juga ‘orang tua’.
Tinggal beberapa hari sahaja lagi masa penamaan calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) P.212 Sibu akan berlangsung yang dijadualkan pada 8 Mei 2010. Pada 16 Mei 2010, masa pengundian bagi menentukan calon pilihan rakyat Sibu bagi P.212 Sibu akan terjawab dan dalam tempoh tersebut calon-calon bertanding akan berkempen untuk menarik perhatian pengundi-pengundi.

Mengimbau keputusan pilihan raya P.212 Sibu pada 2008, mendiang YB Datuk Robert Lau Hoi Chew telah ditentang hebat oleh calon DAP, Richard Wong Ho Leng dan calon PKR, Lim Chin Chuang yang berkesudahan BN menang dan DAP serta PKR tersungkur.

Sepanjang pemerintahan mendiang YB Datuk Robert Lau Hoi Chew, Sibu yang suatu ketika merupakan sebuah ‘tempat pertemuan peniaga’ telah berkembang pesat dan membangun serta diiktiraf sebagai sebuah bandar semasa pemerintahan BN. Usaha dan keringat mendiang YB Datuk Robert Lau Hoi Chew ini pastinya memberi manfaat kepada penduduk bandar Sibu yang menikmati pembangunan yang berterusan.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, PKR telah meletakkan calonnya hingga menyebabkan pertandingan 3 penjuru dan pada PRK ini, PKR ‘terpaksa’ mengalah bagi memberi ruang kepada calon DAP yang juga merupakan calon yang sama sebelum ini ketika menghadapi YB Datuk Robert Lau Hoi Chew. Walaupun kalah pada PRU 2008, namun calon DAP Richard Wong Ho Leng sekali lagi telah diangkat oleh Pakatan Rakyat untuk menghadapi calon BN.

PKR sebelum ini menegaskan calon Pakatan Rakyat untuk PRK P.212 Sibu seharusnya diberi kepada mereka. Ini disebabkan DAP telah banyak kali melawan BN dan dilihat tidak mampu menyaingi BN dan dalam masa yang sama mempunyai rekod kekalahan yang teruk yang berterusan. Untuk membuang badi ini, DAP sepatutnya melepaskan ‘kerusi’ ini kepada PKR yang sekarang ini mempunyai pengikut yang bertambah.

Seperti DAP, PKR juga mempunyai ramai calon yang boleh diketengahkan pada PRK P.212 Sibu yang akan berlangsung ini. Ramai berpendapat PKR mampu untuk mendapatkan sokongan sekiranya dibenarkan bertanding pada PRK P.212 Sibu ini. Walau bagaimanapun, atas nama kesepakatan PKR sanggup melepaskan potensi mereka untuk mengasah taringnya di Sibu ini kepada DAP yang dianggap sudah hilang taringnya.
Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!