Wednesday, April 14, 2010

Kuching – Sarawak akan menerima satu lagi pilihan raya kecil selepas kematian Datuk Robert Lau yang meninggal dunia pada Jumaat lepas. Sebelum ini, satu pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor akan diadakan pada 25 April 2010.

Terdahulu, pada Pilihan Raya Umum Ke-12, penyandang Datuk Robert Lau yang mewakili SUPP-BN telah menewaskan 2 calon pembangkang dan dilantik menjadi Timbalan Menteri Pengangkutan.

Pastinya pembangkang yang diwakili parti dominan DAP Sarawak dan PKR Sarawak berusaha untuk mempertaruhkan calon masing-masing bagi menentang calon BN yang sememangnya diwakili calon dari SUPP. Mengikut situasi sebelum ini, kawasan Parlimen Sibu dikhaskan kepada DAP Sarawak.

Dalam pada itu terdapat desas-desus menyatakan PKR Sarawak mahu meletakkan calon mereka. Ini dinyatakan Datuk Seri Dr Wan Azizah, Presiden PKR yang menegaskan partinya (PKR) perlu dibenarkan mewakili pakatan DAP-PKR-PAS dalam pilihan raya kecil itu.

Tindakan ini pastinya tidak disenangi pemimpin-pemimpin atasan DAP Sarawak yang sebelum ini lantang menegaskan hanya calon DAP Sarawak sahaja yang berhak untuk bertanding di kawasan Parlimen Sibu itu. Bagi pihak DAP, Presidennya, YB Wong Ho Leng terpaksa mengadakan pertemuan dengan pemimpin PKR untuk berbincang dan mencapai keputusan berhubung calon yang sesuai untuk diangkat mewakili pembangkang.

Wong dalam kenyataannya berkeyakinan penuh bahawa partinya akan mewakili pakatan pembangkang dalam pilihan raya kecil itu nanti berdasarkan faktor sejarah dan sokongan pengundi. DAP Sarawak bersedia meletakkan calonnya yang juga bekas setiausaha penaja SUPP Cawangan Dudong, Wong Chin Yong yang sekarang ini telah mendekati akar umbi di kawasan DUN Nangka, DUN Bawang Asan dan DUN pelawan yang terletak di dalam Parlimen Sibu.

Demikian juga dengan PCM yang juga menyatakan akan meletakkan calon dalam pilihan raya kecil itu nanti. Pengerusi PCM Sarawak, YB Gabriel Adit Demong menyatakan PCM akan menghantar calon untuk bertanding bagi kerusi itu nanti.

“PCM sudah mempunyai calon yang terdiri daripada kaum Cina untuk diketengahkan dalam pilihan raya itu nanti, tetapi masih memikirkan keperluan untuk bertanding”.

Yang pasti, calon BN akan ditentang calon pembangkang sama ada pertandingan 3 penjuru atau lebih memandangkan calon Bebas juga pastinya mahu meletakkan calon sebagaimana yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!