Thursday, November 19, 2009

Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masing-masing mahu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai Pakatan Rakyat Malaysia (PRM) selepas didaftarkan sebagai parti gabungan pembangkang.

Pas Kelantan yakin Nik Aziz adalah tokoh paling layak diangkat sebagai Pengerusi PRM berdasarkan pengalaman luasnya dalam politik dan pentadbiran kerajaan Kelantan, Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula melihat kewajaran melantik Anwar berdasarkan kedudukan beliau sebagai ketua pembangkang.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim, berkata Menteri Besar Kelantan bukan saja mempunyai pengalaman selama 19 tahun mengetuai kerajaan negeri, malah menjadi wakil rakyat selama 42 tahun.

Zaid Ibrahim sebelum ini telah mencadangkan Menteri Besar Kelantan bagi jawatan Pengerusi PRM dengan mengetepikan Anwar selain meminta Anwar, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat 'pengorbanan'.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata Anwar paling layak dilantik Pengerusi PRM berdasarkan kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen. Pelantikan Anwar dilihat sebagai tindakan berasaskan konsep musyawarah walaupun ada pihak yang mempersoalkan kewibawaan Anwar berikutan terikat dengan kes mahkamah.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Tan Seng Giaw, berkata partinya tidak mempunyai masalah untuk menerima pemimpin Pas sebagai pengerusi PRM, walaupun dasar perjuangan Pas yang berteraskan Islam.

Pengerusi Penaja Pakatan Rakyat Malaysia (PRM), Datuk Zaid Ibrahim, sebelum ini telah mencadangkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai Pengerusi PRM di atas pengalamannya sebagai pembangkang dan Menteri Besar Kelantan.

Pelbagai reaksi dan tanggapan negatif dan positif di atas cadangan Zaid Ibrahim ini. Walau bagaimanapun cadangan melantik Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai Pengerusi PRM telah mendapat sokongan ramai.

Menurut Zahid lagi, cadangan beliau ini telah mendapat sambutan daripada masyarakat berbilang kaum.

Sokongan itu sekaligus mengenepikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini diwar-warkan untuk diangkat menjadi Ketua dan sekiranya berjaya mengambil alih Kerajaan akan dilantik sebagai Perdana Menteri iaitu jawatan yang memang menjadi impian beliau terdahulu.

Bekas rakan baik Anwar, Datuk S Nallakaruppan, turut bersetuju dengan Zaid dan menganggap Penasihat Parti Keadilan (PKR) itu tidak layak memimpin gabungan itu. Nallakaruppan yang juga pengasas dan Presiden Parti Bersatu India Malaysia berkata, “Anwar tidak seharusnya memimpin parti gabungan pembangkang kerana ada pemimpin lain yang lebih layak bagi jawatan itu. Anwar secara moral tidak layak mendudukinya," katanya.
Wakil Rakyat BN telah membuat laporan polis berhubung kenyataan Wakil Rakyat DAP-Batu Lintang, YB Voon Lee Shan yang disifatkan berbaur hasutan dan berniat melaga-lagakan masyarakat di Sarawak dan Malaysia.

Laporan itu menyatakan kata-kata yang menyentuh sensitiviti kaum terutama berkaitan masyarakat Melayu dan Dayak telah dibuat oleh YB Voon Lee Shan pada 11 November 2009 (Rabu) pada kira-kira jam 6.15 petang, semasa berucap dalam perbahasan. Terdahulu, wakil rakyat BN telah memberi tempoh sehingga 17 November (Isnin) untuk menarik balik kenyataannya tetapi enggan berbuat demikian.

Sebelum ini, beberapa wakil rakyat BN telah meminta Wakil Rakyat DAP-Batu Lintang itu meminta maaf atau menarik balik kenyataannya namun, beliau tidak mengendahkannya.

Berikut antara bahasa dan ucapan Voon Lee Shan pada muka surat 55 dan 56 Penyata Rasmi Persidangan DUN, bertarikh 11 November 2009.

“Apabila kita membentuk Malaysia, kita telah membiarkan diri kita dikalsifikasikan sebagai Bumiputera dan Bukan Bumiputera. Rakan-rakan Dayak kita di negeri ini terperangkap dan tidak sedar akan impian besar seorang pemimpin Melayu, Tunku Abdul Rahman yang memecahbelahkan rakyat Malaysia kepada Bumiputera dan Bukan Bumiputera yang bertujuan untuk memperkasakan penguasaan Melayu dalam politik dan kaum ke atas kaum-kaum lain di Malaysia”.

“Melayu dijadikan kaum yang berkuasa diikuti kaum pribumi yang lain, tetapi tanpa disedari masyarakat Dayak, dengan definisi ‘pribumi’ telah mengenepikan masyarakat Iban dan Bidayuh. Beginilah cara masyarakat Melayu di Malaya yang dirancang oleh Tunku Abdul Rahman menguasai politik dan ekonomi Malaysia sejak 46 tahun lalu”.

“Iban dan Bidayuh sebagai dua kaum pribumi terbesar telah diperbodohkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam tempoh 46 tahun sejak Malaysia terbentuk namun tiada wakil terpilih sehingga ke hari ini berani bersuara mengenai perkara ini kepada UMNO dan masyarakat Melayu dari Malaya yang mahu menguasai masyarakat Dayak di Sarawak”.

Ucapan tersebut dilihat berbau hasutan dan berniat jahat untuk melaga-lagakan masyarakat majmuk di negeri dan negara ini. Ini adalah satu tindakan yang amat berbahaya dan tidak bertanggungjawab. Untuk itu, laporan polis dibuat dan diminta siasat di bawah Akta Hasutan 1948.

Sumber: Utusan Sarawak
ADUN DAP-Kota Sentosa, YB Chong Chien Jen telah menerima hukuman akibat daripada perbuatannya sendiri apabila melemparkan tuduhan liar kepada Kerajaan. Tuduhan liar ADUN Kota Sentosa itu ke atas Kerajaan Sarawak yang mengatakan bahawa dana pembangunan yang diperuntukkan dalam Bajet Negeri hanya dikawal atau dipegang oleh Menteri Kewangan adalah sebagai ‘tidak benar’.

Tuduhan itu tidak berasas sama sekali kerana sebelum sesuatu belanjawan dibentangkan, setiap kementerian diminta mengemukakan keperluan masing-masing untuk digunakan pada tahun depan.

Di sini jelas menunjukkan bahawa YB Chong Chien Jen ini tidak mengetahui atau memahami proses penyediaan Bajet Negeri. Sebaliknya, hanya melontarkan tuduhan yang tidak benar sehingga boleh memesongkan tanggapan orang ramai ke atas Kerajaan. Beginilah sikap pemimpin pembangkang yang sengaja hendak menonjolkan kontroversi bagi mendapatkan perhatian.

Proses penyediaan Bajet adalah seperti berikut, Kerajaan pada bulan September setiap tahun dengan setiap agensi atau jabatan mengemukakan rancangan pada tahun depan kepada kementerian masing-masing. Selepas itu, ia akan diterima oleh Jawatankuasa Bajet Negeri yang membabitkan semua Setiausaha Tetap Kementerian. Seterusnya ia akan dibincangkan di peringkat kabinet dan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan hanya terbabit di peringkat akhir, sebelum dibentangkan dalam persidangan DUN untuk diluluskan.

Tindakan YB Kota Sentosa itu yang memperlekehkan Bajet Negeri boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap kerajaan.

Sehubungan itu, keputusan mengenakan hukuman ke atas ADUN Kota Sentosa itu dilihat sebagai wajar dan ‘terpaksa’ dilakukan kerana YB Chong Chien Jen itu gemar melemparkan tuduhan yang tidak berasas. Persidangan DUN Sarawak merupakan tempat penting untuk mengetengahkan permasalahan rakyat dan berbincang secara serius dalam apa-apa perkara. Sebaliknya, YB Kota Sentosa itu menjadikan DUN Sarawak sebagai kedai kopi yang membincangkan perkara yang remeh temeh.

Sumber: Utusan Borneo
Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!