Tuesday, October 20, 2009

Pelbagai pihak terutama rakyat Sabah dan Sarawak serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) gembira pengisytiharan cuti umum seluruh negara pada 16 September sebagai Hari Malaysia dan menyifatkan ia adalah langkah bijak kerajaan dalam serta merealisasikan konsep 1Malaysia.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Unggah Embas, berkata beliau mengalukan keputusan kabinet itu dan ia menunjukkan kerajaan begitu komited dalam menyatu padukan rakyat di seluruh negara.

“Dengan adanya cuti umum ini, rakyat negara ini akan dapat memahami konsep penubuhan Persekutuan Malaysia dengan lebih mendalam,” katanya.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata, 16 September adalah peristiwa bersejarah kerana ketika itu rakyat Sabah yang terdiri pelbagai kaum dan etnik bersatu untuk mencapai kemerdekaan menerusi pembentukan Malaysia seterusnya membebaskan diri daripada belenggu penjajahan.

Sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September setiap tahun sebagai cuti awam seluruh negara mulai tahun depan, akan mencetuskan semangat dan iltizam rakyat negeri itu untuk mengukuhkan lagi perpaduan sesuai dengan gagasan 1Malaysia.

Pengerusi Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (Forum) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telang Usan, Lihan Jok, berkata langkah itu membolehkan penduduk lebih memahami gagasan 1Malaysia.

Naib Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pasokmomogun Kadazandusun Bersatu (Upko), Senator Datuk Maijol Mahap, berkata pengumuman itu membuktikan Najib tidak mengabaikan kehendak rakyat Sabah dan Sarawak untuk meraikan pembentukan Malaysia bersama rakyat Semenanjung.

Sumber: Berita Harian
Pengumuman Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyerahkan jawatan paling kontroversi, Ketua Perhubungan PKR Sarawak kepada Baru Bian telah mencetuskan pergolakan dalam PKR Sarawak. Jawatan tersebut telah menjadi pertikaian di kalangan PKR Sarawak setelah PKR Pusat sebelum ini mengumumkan perlantikan Mustaffa Kamil Ayub bagi menerajui PKR Sarawak.

Mustaffa Kamil Ayub bukan anak jati Sarawak dan dilantik menerajui PKR Sarawak bagi menggantikan Anwar Ibrahim. Keputusan Anwar Ibrahim melantik Mustaffa dan menidakkan pemimpin anak tempatan untuk menerajui PKR Sarawak disebabkan tiada calon berwibawa.

Perlantikan Mustaffa telah menerima banyak kecaman daripada ahli-ahli PKR Sarawak. Ramai di kalangan ahli-ahli PKR Sarawak melihat perlantikan itu sebagai menidakkan keupayaan kepimpinan anak Sarawak.

Ekoran desakan demi desakan, PKR Pusat telah mengambil langkah drastik dengan menyerahkan jawatan Ketua Perhubungan PKR Sarawak kepada Baru Bian. Namun, keputusan PKR Pusat itu telah merumitkan lagi keadaan yang mana ada beberapa pemimpin lain yang sangat mengidam jawatan itu.

Sekarang ini telah terjawab, apabila ADUN Ngemah, Gabriel Adit Demong dan ADUN Padungan, Dominique Ng yang sangat berminat dengan jawatan itu telah berputih mata.

Pemilihan Baru Bian ke jawatan yang menjadi isu di kalangan pemimpin PKR Sarawak telah memusnahkan harapan ADUN Padungan, Dominique Ng untuk menduduki kerusi berkenaan.

Begitu juga Gabriel Adit yang tidak membayangkan jawatan itu telah semakin jauh menghampirinya dan terpaksa membuat keputusan untuk tidak menyokong lagi PKR Sarawak. Berdasarkan kenyataan itu, tidak mustahil sekiranya Gabriel Adit mengambil keputusan untuk keluar terus dari PKR Sarawak.

Sebarang kemungkinan apa sahaja akan berlaku. Situasi ini semakin rumit dan merumitkan lagi peluang untuk PKR Sarawak memenangi Pilihan Raya DUN Sarawak akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah yang juga Ahli Majlis Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Gabriel Adit Demong membayangkan hasratnya untuk keluar daripada PKR Sarawak. Semalam, beliau telah mengumumkan tidak lagi menyokong PKR Sarawak.

Spekulasi yang timbul daripada tindakan itu mengatakan bahawa Gabriel Adit kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan PKR yang melantik Baru Bian sebagai Ketua Perhubungan PKR Sarawak menggantikan Mustaffa Kamil Ayub.

“Saya tidak lagi menyokong PKR, jadi apa saya peduli. Apa yang saya nak katakan kepada Baru Bian ialah semoga berjaya”, kata Gabriel Adit.

Menurutnya lagi, memberi jawatan itu kepada Baru Bian sebagai satu kesilapan PKR tetapi saya berharap saya salah.

Gabriel Adit menyertai PKR Sarawak pada penghujung tahun 2008 iaitu selepas genap 2 tahun beliau memenangi kerusi DUN Ngemah atas tiket Bebas. Beliau pernah menyertai SPDP tetapi keluar daripadanya sebelum Pilihan Raya DUN Sarawak 2006.

Kini kedengaran beliau akan menyertai semula SPDP.

Sehingga kini, beliau masih belum mengesahkan pendirian politiknya sama ada pro BN atau masih bersifat anti-kerajaan.

Sumber: Utusan Borneo

Tuesday, October 13, 2009


Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak “kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Bagan Pinang meniupkan semangat baru di kalangan ahli parti untuk terus berjuang bagi mencapai kejayaan lebih besar.

Perdana Menteri berkata, kejayaan luar jangkaan itu juga membuktikan sambutan menyeluruh dan meluas terhadap gagasan 1Malaysia, sekali gus meyakinkan kerajaan terhadap penerimaan segenap lapisan masyarakat.

Dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang kelmarin, calon BN, Tan Sri Mohd Isa Samad menewaskan calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar dengan majoriti 5,435 undi.

"Kalau kita menang besar, kita mesti pertahankan kemenangan kita. Kalau kita kalah, kita mesti tebus kekalahan kita," katanya.

Rakyat Sarawak harus mengambil iktibar di atas kemenangan BN ini bagi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat di bawah gagasan 1Malaysia. Apa yang rakyat Sarawak kecapi sekarang adalah di atas usaha BN untuk terus menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri berdaya saing dan maju di dalam Malaysia.
Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!