Tuesday, September 29, 2009

“Saya tidak pernah dirogol dan saya sendiri tidak tahu menahu apa itu rogol seperti yang dilaporkan oleh beberapa buah akhbar baru-baru ini. Saya menafikan kejadian itu,” tegas Benda Di.

Sebelum ini beberapa NGO, PAS dan PKR Sarawak telah memperbesarkan cerita kononnya gadis Penan dirogol dan tiada tindakan diambil. Tindakan ini dikatakan telah menafikan hak masyarakat Penan.

Setelah beberapa desakan untuk meminta gadis Penan yang dikatakan terlibat itu untuk tampil bagi memberi penerangan kepada polis tentang situasi kejadian sebenar berlaku. Akhirnya gadis misteri itu telah berjaya menempuh pelbagai halangan daripada penduduk kampung dan keluarga yang menghalangnya keluar dari kampung dan seterusnya membuat laporan polis. Tindakan penduduk kampung ini dipercayai didalangi oleh seorang lelaki yang bernama Martin.

Benda Di, 22 tahun telah mendedahkan wujud muslihat di sebalik dakwaan kes rogol yang digembar-gemburkan selama ini.

Beliau telah tampil membuat laporan polis pada jam 1.45 petang di Balai Polis di Pekan Kecil Long Lama, Sabtu lalu. Dalam laporannya, beliau menegaskan kejadian rogol terhadapnya tidak pernah berlaku seperti yang dilaporkan oleh kumpulan yang tidak bertanggungjawab.


a. Pada bulan Oktober 2008, di Kampung Long Item Patah Baram, seorang lelaki Penan yang dikenali sebagai Martin telah menawarkan untuk membawa beliau dan anaknya berusia setahun yang menghidap sakit demam ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.

“Kebetulan pada masa itu, anak saya demam dan saya bersetuju untuk mengikut Martin ke Kuala Lumpur dengan tujuan merawat penyakit anaknya,” jelas Benda Di lagi.

b. Benda Di memberitahu kakaknya Beta tentang tujuan lelaki itu dan meminta bantuan kakaknya untuk menyampaikan pesanan kepada suaminya bahawa beliau ke Kuala Lumpur untuk mengikut Martin merawat penyakit anaknya.

Selain Benda Di dan dua orang anaknya, seorang lagi wanita Penan yang dikenali sebagai Jenny juga telah turut serta dalam pergi ke Kuala Lumpur. Sebelum ke Kuala Lumpur, mereka telah menginap di sebuah hotel di Kuching selama enam hari.

“Semasa kami di Kuala Lumpur, saya dan Jenny telah dipaksa oleh Martin supaya mengikut arahannya dan saya disuruh menandatangani laporan di Balai Polis Bukit Aman yang saya tidak tahu apa sebenarnya berlaku. Martin memperingatkan saya supaya tidak membuat laporan apabila pulang ke Sarawak. Sebaliknya, Martin telah menghilangkan diri setelah membuat laporan di Bukit Aman,” tegas Benda Di.

Sebelum menghilangkan diri, Martin telah memberi wang sebanyak RM100 seorang kepada saya dan Jenny.

“Saya dan Jenny menetap di Kuala Lumpur dan menumpang di sebuah rumah milik seorang Melayu di alamat yang saya tidak ketahui,” katanya.

Pada bulan Disember sebelum Perayaan Krismas 2008, beliau telah pulang ke Sarawak dengan bantuan seorang peguam wanita yang saya tidak ketahui namanya dengan membeli tiket untuk pulang ke Miri.

Memandangkan nama baiknya telah tercemar akibat perbuatan lelaki tersebut dan dihebohkan dalam akhbar-akhbar, beliau bertekad untuk membuat laporan polis dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Martin.

Persoalannya, mengapa beliau mengambil masa yang lama untuk membuat laporan polis?

c. Sepanjang berada di kampung, Benda Di tidak dibenarkan keluar dari kampung dan ditahan oleh penduduk-penduduk kampung termasuk keluarganya sendiri.

“Saya tidak tahu kenapa dan ini mungkin mereka telah dihasut oleh lelaki tersebut. Bagaimanapun, atas usaha saya yang tidak pernah menyerah kalah, akhirnya saya berjaya keluar dari kampung itu dan membuat laporan di Balai Polis Long Lama malam semalam,” tambah Benda.

Ketua Polis Daerah Baram, DSP Jonathan Jalin telah mengesahkan menerima laporan mengenai perkara yang telah dilaporkan di Balai Polis di Pekan Kecil Long Lama Baram.

Sumber: Utusan Sarawak

Thursday, September 10, 2009

Proses perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) telah banyak kali ditangguhkan atau sengaja ditangguhkan DSAI atas pelbagai helah dan alasan. Lebih 1001 macam alasan yang telah diberi.


Perbicaraan kes liwat DSAI ini yang bermula 10 September 2008 sekarang ini telah memasuki usia satu tahun namun masih lagi belum kepada isi perbicaraan. Bagi DSAI berusaha untuk terus menangguhkan perbicaraan manakala dipihak mangsa pula sekian lama menanggung sengsara angkara tindakan melewatkan perbicaraan dan mahukan kes ini diselesaikan dengan secepat mungkin.

Dan, di hari dan bulan yang baik ini serta penuh barakah ada baiknya DSAI meneruskan perbicaraan supaya masyarakat mendapat kepastian berhubung keputusan akhir kes liwat ini.


Beberapa fakta yang perlu difikirkan bersama sepanjang kelangsungan perbicaraan kes liwat ini berlangsung.

i. Tindakan DSAI melengah-lengahkan perbicaraan kes tuduhan liwat membabitkannya kerana ia bercanggah dengan prinsip menyegerakan keadilan yang dilaung-laungkan selama ini.

ii. Sekiranya DSAI benar-benar mahu mencari keadilan dan membuktikan dirinya tidak bersalah haruslah segerakan perbicaraan kes liwatnya itu.

iii. Permohonan penangguhan berkali-kali DSAI seolah- olah cuba untuk mengalih perhatian rakyat yang tertunggu-tunggu kes tersebut dibicarakan.

iv. Tindakan DSAI itu untuk menangguhkan perbicaraan kes liwatnya itu seolah-olah mempersendakan mahkamah dan memberi tekanan kepada Saiful Bukhari.

v. Mahkamah sepatutnya mengeluarkan amaran kepada DSAI supaya tidak sengaja melewat-lewatkan kes tersebut dengan mencipta pelbagai alasan kerana ia memberi kesan kepada perjalanan mahkamah itu sendiri.

vi. Penangguhan kes secara keterlaluan itu membazirkan masa mahkamah dan pasukan pendakwa serta Saiful Bukhari sendiri yang kini terpaksa berhadapan dengan pelbagai tohmahan.

vii. DSAI sepatutnya menyegerakan perbicaraan itu sebagai langkah segera itu penting kerana Saiful Bukhari juga mahu membuktikan dirinya adalah mangsa dalam kes itu dan kedua-dua pihak sepatutnya menyerahkan kes itu untuk dibicarakan mahkamah secepat mungkin.

viii. Tiada cara lain kecuali menerusi proses mahkamah, kedua-dua pihak dapat membuktikan siapa yang benar dan siapa yang bersalah.

ix. Tindakan Anwar menangguhkan berkali-kali proses perbicaraan ini telah menyebabkan pembaziran kos, waktu dan tenaga manusia di mahkamah.

x. Penangguhan perbicaraan kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), DSAI memberi gambaran seolah-olah pemimpin pakatan pembangkang itu takut kepada kebenaran.

xi. Kes berkenaan sangat penting kepada masyarakat kerana ia melibatkan isu moral bagi seorang pemimpin yang mempunyai impian untuk menjadi Perdana Menteri.

xii. Sebagai seorang pejuang rakyat dan pejuang keadilan Anwar seharusnya perlu memastikan perbicaraan beliau selesai secepat mungkin.

xiii. Sikap pemimpin pembangkang itu yang sering mencari alasan bagi menangguhkan perbicaraan di mahkamah hanya mengundang tanda tanya masyarakat.

Soalan kepada DSAI yang perlu difikirkan dan diberikan jawapan, kenapa perlu tangguh perbicaraan kalau tidak bersalah. Penanguhan ini seolah-olah DSAI takut pada sesuatu. Takut pada kebenaran yang akan terbongkar dalam perbicaraan.

Friday, September 4, 2009

KUCHING – Pakatan Rakyat di Perak meneruskan langkah ’terdesaknya’ dengan mengadakan ’Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN’ di sebuah hotel. Sebelum ini Pakatan Rakyat telah menggembarkan demokrasi Malaysia apabila mengadakan Sidang DUN di bawah pokok. Suatu tindakan yang dianggap sebagai melampau kerana membelakangi undang-undang serta tidak mendapat perkenan daripada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Kekerasan dan kedegilan ahli-ahli Pakatan Rakyat diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) YB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dan Pengerusi DAP, YB Datuk Ngeh Koo Ham, apabila merempuh pasukan polis yang berkawal sejak awal pagi di perkarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Beginikah sikap ADUN yang dipilih rakyat sehingga sanggup membuat kekerasan terhadap anggota polis. Nizar, di manakah pengetahuan akhlak yang dipelari dalam PAS? Beginikah semua kelakuan ahli-ahli YB PAS?

Itulah ’modus operandi’ parti pembangkang di Perak. Apa yang berlaku hari ini tiada bezanya dengan peristiwa-peristiwa sebelum ini. Tujuannya adalah untuk menarik perhatian. Usaha itu perlu diteruskan kerana mereka merasakan sokongan terhadap pembangkang makin berkurangan. Pembangkang sanggup membelakangkan undang-undang demi mencapai agenda politik mereka. Dan, apabila undang-undang tidak menyebelahi mereka bermacam tuduhan dan tohmahan dilemparkan.

Maka, tidak dapat diadakan di SUK, 'sidang DUN' pun dibuat di sebuah hotel, yang terletak kira-kira lima kilometer dari bangunan SUK. Tindakan pembangkang mengadakan DUN di hotel bukan sahaja membelakangkan Sultan Perak tetapi juga mencemar amalan demokrasi.

ADUN Tronoh, V. Sivakumar bertindak sebagai Speaker memulakan ’persidangan’ DUN Perak yang dihadiri pembangkang. Tiga usul menjadi inti pati 'persidangan'. Ketiga-tiga usul hanya berkisar soal 'peralihan kuasa' dan 'kuasa yang hilang'. Sementara satu usul tergempar mempertikaikan peranan polis melaksanakan tugas mereka. Setelah kehilangan kuasa dan jawatan tetapi masih beranggapan sebagai Speaker sehingga sanggup bertindak di luar batasan telah mencemarkan pentadbiran Perak dan demokrasi negara.

Untuk itu, kepada rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan memelihara demokrasi negara, marilah sama-sama kita menegakkan kebenaran dan menidak kemungkaran. Yang baik menjadi sanjungan dan yang sebalinya dibuang jauh.

Wednesday, September 2, 2009

Tanpa mempedulikan suasana sekitar di sebuah kedai kopi, pelbagai isu semasa hangat diperdengarkan oleh masyarakat tempatan sama ada mengenai politik tempatan, pemimpin politik tempatan dan pemilihan dalam parti politik yang sedang berlangsung sekarang dalam suasana yang mesra dan santai.



Sarawak dianggarkan mempunyai kira-kira 30 suku kaum termasuk etnik minoriti yang tidak pernah didengar seperti Lahanan, Sihan, Ukit, Kanowit, Bukitan, Kejaman dan sebagainya. Walaupun suku kaumnya banyak, namun konflik kaum adalah sesuatu yang asing di negeri ini.



Namun begitu, semenjak kedatangan parti pembangkang dari Semenanjung Malaysia terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Democratic Action Party (DAP) telah mengganggu-gugat kestabilan politik Sarawak dan keamanan masyarakat berbilang kaum. Segala macam budaya demonstrasi dan cacian serta kecaman terhadap pemimpin oleh pembangkang telah cuba diserap ke dalam budaya masyarakat Sarawak.







Ramuan Kejayaan Sarawak



Persoalan apakah ramuan kejayaan Sarawak dalam mewujudkan masyarakat yang bersatu padu tanpa konflik dan persengketaan? Sarawak pernah juga mengalami pertelagahan kaum tetapi berakhir dengan perdamaian sekitar tahun 1924.



Berdasarkan amalan nyanau atau kegiatan memburu kepala adalah masalah rumit sehingga menjejaskan hubungan etnik, tetapi kini semua itu sekadar tinggal dalam lipatan sejarah. Dari segi sejarah, hubungan perdagangan antara pelbagai kumpulan etnik menjalinkan dan menggalakkan hubungan infra etnik di Sarawak.



Keupayaan Sarawak di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) membawa dan mengekalkan kestabilan politik dan perpaduan kaum telah cuba diragut oleh pembangkang atas prinsip politik berkepentingan peribadi. Politik pembangunan yang dibawa BN pastinya telah membawa banyak perubahan di Sarawak khususnya di kawasan luar bandar.





Pendidikan



Dewasa ini, generasi muda yang semakin terdedah kepada dunia luar dengan pendidikan yang lebih baik mempunyai peluang lebih terbuka untuk berinteraksi dengan kaum-kaum lain.





Peluang mendapat pendidikan sepanjang hayat telah banyak membantu rakyat mendapat pendidikan yang sempurna. Pendidikan juga telah membantu masyarakat meningkatkan keupayaan mereka mengekalkan perpaduan bagi menjamin kestabilan politik negara.





Perkahwinan Campur



Penduduk Sarawak kian terbuka kepada perkahwinan campur antara kaum dan agama sehingga berlakunya amalgamasi, iaitu satu proses apabila ras atau budaya bercampur untuk membentuk budaya dan ras baru.



Perkahwinan campur antara Melayu dengan bukan Melayu adalah sesuatu yang biasa. Yang menarik, keluarga asal tidak menentang perkahwinan campur malah amat faham akan tuntutan agama Islam apabila ahli keluarga yang sudah memeluk Islam kembali ke rumah di kampung.





Di Sarawak, sikap bertolak ansur dan persefahaman yang tinggi memungkinkan mereka hidup aman damai dan harmoni dan menjadi pemangkin yang mengukuhkan tali persaudaraan serta perpaduan. Jiran berlainan kaum, agama dan kepercayaan tidak mempunyai masalah dari segi hubungan etnik.



Sesungguhnya, perkahwinan campur antara etnik dengan agama, budaya dan adat resam yang berbeza, bertolak ansur dalam amalan beragama dan kehidupan seharian adalah tunjang utama dalam hubungan etnik yang harmoni di Sarawak. Melalui hubungan ikhlas sesama penduduk bara syak wasangka dapat dipadamkan.





Parti Politik



Keharmonian hubungan etnik terserlah daripada perkongsian kuasa melalui pelbagai parti politik seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dianggotai pelbagai etnik peribumi termasuk masyarakat minoriti.



Sebagai tonggak kepada BN Sarawak, PBB berusaha mempertingkatkan persefahaman dan perpaduan kaum di Sarawak. Selain PBB, Sarawak United People Party (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Sarawak Progresif Democratic Party (SPDP) di bawah satu komponen BN sentiasa memastikan keharmonian dalam perpaduan dikekalkan dan menjadi kunci kepada pentadbiran berkesan.



Kemasukan PKR di Sarawak dalam usahanya menempatkan diri dalam politik di Sarawak telah tidak disenangi rakan karibnya DAP yang menganggap kemunculan PKR bukan sahaja mengganggu perancangan DAP bahkan melenyapkan dominan DAP sebagai sebuah parti pembangkang yang dihormati.





Kesimpulan



Prasangka, stereotaip dan etnosentrisme adalah musuh utama perpaduan dan pencapaian konsep 1Malaysia. Sarawak bernasib baik kerana pada amnya rakyat pelbagai etnik tidak mempunyai prasangka terhadap etnik lain. Itulah sebabnya mereka dapat berinteraksi dalam pelbagai keadaan.









Toleransi yang tinggi dalam masyarakat pelbagai kaum tidak harus digadai untuk kepentingan politik jangka pendek. Sebarang anasir luar yang cuba menyusup dengan tujuan untuk menjejaskan hubungan harmoni harus dicegah daripada awal sebelum terlambat. Bukan mudah untuk membina perpaduan dan toleransi tetapi perpaduan dan keharmonian dapat diruntuhkan dengan sekelip mata.



Bersempena dengan perayaan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-52 yang bertemakan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, marilah kita bersama-sama bersyukur dan berasa keinsafan di atas apa yang telah berlaku. Kepada rakyat Sarawak, marilah kita sama-sama memelihara perpaduan dan keamanan yang sedang dikecapi sekarang dan menolak sebarang cubaan untuk memecahbelahkan perpaduan yang telah kita nikmati 46 tahun. Kekalkan pentadbiran sedia ada.



Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan!!!. Merdeka, Merdeka, Merdeka.


Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!