Monday, July 27, 2009

KUCHIING - Kemenangan BN dalam pilihan raya kecil DUN N29 Batang Ai pada 7 April 2009 yang lalu tidak sewajarnya diperlekehkan dengan menuduh penduduk tidak tahu mengundi serta masih memakai cawat.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu berkata “kejayaan BN pada pilihan raya kecil adalah ekoran penduduk mulai sedar kelemahan pembangkang dan yakin dengan kerajaan sedia ada”.

Presiden PAS itu tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan itu dan harus meminta MAAF kepada masyarakat Iban di Lubok Antu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi malaysiakini.com pada 11 Julai lalu, Hadi berkata kekalahan pembangkang dalam pilihan raya kecil DUN Batang Ai, 7 April lalu disebabkan pengundinya tidak tahu mengundi dan masih memakai cawat.

“Semua pilihan raya kecil sebelum ini keputusannya memihak kepada kita. Cuma di Batang Ai sahaja kita kalah sebab mereka tidak reti undi, pakai cawat lagi. Saya bukan nak hina tetapi yang pakai molek, undi PAS.” - Petikan ucapan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Malaysiakini.com: 11 Julai 2009)

Kenyataan Hadi itu juga secara langsung telah menghina dan merendah-rendahkan pengundi Dayak di Lubok Antu.

Kenapa hendak mempertikaikan pengundi Iban sekiranya memilih BN? Itukan pilihan pengundi atas prinsip demokrasi. Atau adakah bila memilih PAS atau Pakatan Rakyat itu barulah dipanggil demokrasi?

“Memanggil pengundi Dayak di kawasan Lubok Antu sebagai tidak bertamadun (masih memakai cawat) dan tidak tahu mengundi adalah satu kenyataan yang tidak betul dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh individu yang mempunyai gelaran ustaz dan ulama seperti Datuk Seri Hadi Awang”

Beginikah personaliti sebenar pemimpin tertinggi PAS? Jika begitu, beliau tidak layak dipanggil pemimpin.

Pada pilihan raya DUN Batang Ai itu, tiada seorang pun pengundi Dayak memakai cawat.

Bagaimana Hadi boleh terdorong mengeluarkan kenyataan sebegitu walaupun hakikatnya tiada seorang pun pengundi Dayak yang turun mengundi memakai cawat. Dan apakah jika memilih BN sebagai calon pilihan, maka pengundi itu tidak tahu mengundi???

Pada pilhan raya DUN Batang Ai, calon BN, Malcolm Mussen Lamoh menewaskan bekas anggota Parlimen Lubok Antu selama lima penggal, Jawah Gerang dari Parti Keadilan Rakyat.

Untuk pengetahuan Hadi dan para pemimpin Pakatan Rakyat yang tidak tahu menahu mengenai budaya dan adat masyarakat Dayak, dari segi budaya masyarakat Iban atau Dayak, cawat merupakan sebahagian daripada pakaian tradisional dan akan digunakan pada majlis-majlis tertentu bagi menampilkan kebudayaan kaum Dayak dan bukan secara terbuka.

Dalam memperbetulkan tanggapan ini, Presiden PAS, Hadi Awang diminta berkunjung ke rumah-rumah panjang dan melihat sendiri situasi penduduk di sini sebelum lantang memperkatakan sesuatu yang TIDAK BENAR.

Monday, July 20, 2009


31 JULAI - 2 OGOS 2009
SUNGAI SARAWAK, TEBINGAN KUCHING.
Regata Sarawak datang lagi. Kali ini, Regata Sarawak pastinya lebih meriah dengan Perasmian Dewan Undangan Negeri Sarawak yang baru dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke 218. Perasmian Regata Sarawak dijadualkan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 27 Julai 2009, jam 2.00 petang bertempat di Tebingan Kuching. Pada malamnya, diadakan Kapal Berhias yang diadakan di Sungai Sarawak. Regata Sarawak secara rasminya hanya akan bermula pada 31 Julai hingga 2 Ogos 2009. Orang ramai dijemput hadir bagi sama-sama memeriahkan Regata Sarawak 2009.

Regata Sarawak merupakan sukan air popular yang diadakan setiap tahun. Kemunculannya pada setiap Ogos sememangnya sentiasa dinanti-nantikan oleh orang ramai khususnya mereka yang meminati perlumbaan kayak dan perahu panjang. Mengimbau sejarah, regata yang popular di Sarawak dikenali sebagai regata Baram yang telah diadakan buat pertama kali di Marudi pada 1899. Namun begitu, sejarah sukan air itu bermula di Kuching pada 1871 dan ia dikenali sebagai Regata Sarawak. Bermula dari saat itu, Regata Sarawak diadakan setiap tahun dan dijadikan acara tahunan.

Cabaran Regata Sarawak diperkenalkan sebagai sebahagian daripada atur cara dalam Pesta Kuching bagi meraikan sambutan hari ulang tahun bandar raya Kuching dan Hari Kebangsaan. Regata Sarawak mula diperkenalkan sejak 138 tahun lampau dan kini merupakan di antara produk pelancongan yang utama di Sarawak. Ia telah dimasukkan dalam kelompok acara tradisi lain dalam kalendar pelancongan negeri oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dalam usaha 'menjual' negeri ini di mata dunia.

Berbanding dengan acara lain, Regata Sarawak mempunyai keistimewaan tersendiri dalam menarik kedatangan pelancong baik dari Semenanjung atau negara-negara luar. Selain dapat menghayati keindahan dan keaslian Sungai Sarawak, pelancong akan dapat menyaksikan kehangatan dan kemeriahan sukan air tradisi itu dipertandingkan.

Mereka boleh melihat bagaimana para peserta yang terdiri daripada pelbagai suku kaum dalam satu kumpulan bekerjasama dan berpadu tenaga dalam mengendali perahu panjang masing-masing untuk memburu kejayaan.

Regata Sarawak mampu menjadi saluran terbaik bagi menonjolkan kepada pelancong luar mengenai warisan sukan tradisi yang dipelopori oleh suku-suku kaum yang terdapat di negeri ini. Tidak dinafikan, Regata Sarawak merupakan aset yang amat bernilai kepada Bumi Kenyalang dalam menggemilang dan melonjakkan sektor pelancongan serta pertumbuhan ekonomi negeri ini pada masa depan.

Wednesday, July 15, 2009

Persaingan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N41 Manek Urai telah sampai ke penamatnya apabila calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah memenangi pilihan raya tersebut dengan kelebihan 65 undi mengatasi calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat. Melihat kepada keputusan tersebut, sebenarnya BN tidak kalah dalam pilihan raya DUN N41 Manek Urai ini walaupun gagal memperoleh kemenangan muktamad. Sebaliknya, BN berjaya kemenangan moral apabila berjaya mengurangkan jumlah majoriti pengundi sebelum ini. Terdahulu, dalam pilihan raya umum lepas, PAS memperolehi majoriti 1,352.



Kekalahan tipis calon BN kepada calon PAS dalam pilihan raya DUN N41 Manek Urai hari ini menunjukkan angin perubahan akan berlaku atau lebih tepat lagi rakyat mahukan angin perubahan. Kejayaan mengurangkan jumlah majoriti daripada 1,352 undi sebelum ini kepada 65 undi merupakan isyarat jelas bahawa rakyat mahukan perubahan. Keputusan itu juga menunjukkan petanda rakyat sudah mula memahami dan boleh menilai kepimpinan berwibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bin Tun Razak untuk membawa perubahan kepada negara.



Kawasan DUN N41 Manek Urai mempunyai 31,000 orang penduduk. Daripada jumlah tersebut, hanya12,929 penduduk sahaja yang layak mengundi dalam pilihan raya DUN N41 Manek Urai. Peratus keluar mengundi yang dicatatkan dalam pilihan raya DUN N41 Manek Urai ini telah meningkat kepada 87.3 peratus. Peratusan keluar mengundi ini melebihi jangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Peningkatan peratusan pengundi keluar ini didorong oleh keadaan cuaca yang mengizinkan, ditambah pula cuti umum bagi negeri Kelantan sehingga mendorong pengundi yang berada di luar kawasan dapat turun mengundi dan kesedaran pengundi terhadap proses demokrasi.



Kejayaan tipis PAS itu bagaimanapun memberi kemenangan moral kepada BN kerana bukan saja berjaya menembusi kubu kuat PAS di N41 Manek Urai, bahkan ia turut memberi isyarat lantang bahawa penduduk Kelantan kini tidak lagi mahu terus dibelenggu dengan hanya nasihat, doa dan bersyukur dengan apa yang dimiliki hari ini.



Ternyata pepatah yang pernah digunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menang tidak semestinya menang dan yang kalah tidak semestinya kalah, adalah ayat pertama menjalar di fikiran.



Kemenangan tipis PAS berbanding majoriti 1,352 undi yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Mac 2008, boleh dikaitkan kepada beberapa faktor:



a. Perubahan kepemimpinan BN yang diterajui Najib.

b. Sikap BN yang begitu bersungguh-sungguh untuk menjaga kebajikan penduduk.

c. Keinginan penduduk Manek Urai untuk menyertai arus perubahan yang semakin pantas di sekeliling mereka.

d. Sikap dan kewibawaan calon BN yang dilihat amat ikhlas ingin membawakan perubahan yang sudah lama dinanti-nantikan oleh penduduk.

e. Kerja keras Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed serta anak buahnya.



Kekalahan tipis BN mungkin akan dikesali majoriti penduduk Manek Urai, terutama yang selama ini penyokong kuat PAS kerana mereka terlepas peluang untuk menikmati pembangunan infrastruktur, ekonomi dan sosial lebih baik.



Mereka tahu, semua janji BN seperti yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan ditunaikan. Gelaran Manek Urai akan menjadi ‘anak emas’ Kerajaan Pusat sekiranya BN menang bukan diberi sewenang-wenangnya, kerana daerah ini memang akan menjadi anak emas BN sekiranya Tuan Mat menang. Namun, dengan kekalahan ini penduduk Manek Urai yang menginginkan perubahan terpaksa menggigit jari.



Walau apapun analisis yang dibuat, tindakan YB Manek Urai yang baru keluar dewan tanpa senyuman manis juga adalah cerminan kepada wajah semua pemimpin tertinggi PAS yang sudah pasti turut terpaku dengan keputusan mengejutkan itu.



Walaupun tewas dan ada yang mengalirkan air mata kerana tewas amat tipis, BN kini boleh berikrar untuk bekerja lebih keras bagi memastikan sokongan yang diterima semalam, akan berterusan sehingga 2012 nanti.



Tuan Mat mungkin pulang ke rumah dengan rasa kecewa, tetapi dia boleh berdiri bangga kerana berjaya menembusi kubu kuat PAS. Yang pasti dia akan meneruskan perjuangan untuk terus membantu menaikkan martabat dan taraf hidup saudara mara serta sahabat handainya di Manek Urai.



Tuesday, July 14, 2009

Pada 11 Julai 2009, genaplah 100 hari Datuk Seri Najib bin Tun Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-6. Bersempena dengan sambutan ke-100 hari itu yang berlangsung di Dewan Pameran Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Perdana Menteri telah mengumumkan 11 hadiah kepada rakyat.



1- Diskaun Tol

Pengguna Smart Tag dan Touch n' Go yang membayar tol 80 kali atau lebih sebulan, dapat diskaun 20 peratus berkuat kuasa 1 September ini.

Perdana Menteri berkata, potongan itu bagi meringankan beban pengguna lebuh raya dan bersifat penyelesaian sementara bagi menunggu kajian keseluruhan mengenai kadar tol yang akan mengambil masa.

"Saya pernah diberitahu oleh seorang pengguna jalan bertol yang dia terpaksa membayar tol lebih kurang RM300 sebulan, manakala gaji bulanannya RM3,000. Orang ini hanya mendapat gaji 11 bulan setahun kerana gaji satu bulan lagi habis dibelanjakan untuk pembayaran tol setahun.

"Ini (potongan) saya percaya akan memberi kelegaan pada rakyat terutama yang menggunakan jalan tol setiap hari," katanya.



2- Rumah Rakyat

44,000 rumah rakyat untuk dijual kepada penyewa di Wilayah Persekutuan.

Kerajaan komited menyediakan perumahan mampu milik mengikut Program Perumahan Rakyat (PPR) dan memutuskan penyewa program itu di Wilayah Persekutuan diberi peluang dan pilihan untuk membeli rumah sewa itu.

Sehubungan itu, katanya, sejumlah 44,000 unit rumah ditawarkan kepada golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.



3- Lesen Penjaja

Peniaga kecil di Wilayah Persekutuan diberi potongan 50 peratus untuk perbaharui lesen.



Selain itu, hadiah untuk rakyat membabitkan masyarakat penjaja dan peniaga kecil juga diumumkan Najib apabila 69,000 golongan itu di Wilayah Persekutuan akan menikmati potongan 50 peratus atau RM10 hingga RM700 setahun bagi pembaharuan lesen dan lesen baru.

"Ini akan memberi banyak kelegaan... saya harap negeri lain akan ikut langkah di Wilayah Persekutuan ini. Mudah-mudahan (bayaran) lesen lain juga akan dikurangkan, " katanya.



4- Permit Teksi

3,000 lagi permit teksi untuk individu ditambah dalam masa tiga bulan akan datang.



Katanya, kerajaan juga mempunyai dasar bagi membantu pemandu teksi dan ketika ini ada ramai pemandu teksi yang terpaksa menyewa harian dengan pembayaran RM50 sehari, selain kos lain seperti minyak.

Berikutan itu, kerajaan akan menambah 3,000 lagi permit teksi untuk individu dalam masa tiga bulan ini, iaitu pertambahan daripada 7,000 permit teksi individu yang sudah diberikan setakat ini.



5- Cegah Jenayah

Langkah drastik bagi kurangkan jenayah dan rasuah diumumkan penghujung bulan ini.



Selain itu, Najib juga mengumumkan kerajaan akan mengambil langkah drastik ke arah mengurangkan jenayah dan rasuah di negara ini dan maklumat mengenainya akan diumumkan hujung bulan ini.



6- Daftar Kelahiran

Permohonan di Sabah dan Sarawak dipermudahkan. Baki permohonan akan diselesaikan sedikit masa lagi.

Mengenai kewarganegaraan, Najib mengumumkan jumlah permohonan tertangguh pada 1 November 2008 sebanyak 34,000, dan sehingga bulan lalu, sebanyak 46 peratus sudah selesai dibuat keputusan dan usaha akan dipergiatkan lagi untuk menyelesaikan baki permohonan.

Katanya, terdapat ramai ibu bapa yang lambat mendaftarkan kelahiran anak mereka dan kerajaan akan terus mempergiatkan usaha memperbaiki keadaan itu.

"Di Sabah, sejak 2005, sebanyak 36,000 permohonan pendaftaran diterima dan daripada jumlah itu 92 peratus diluluskan. Di Sarawak pula, sejak 2005, 19,000 permohonan diterima dan daripada jumlah itu, 80 peratus permohonan diluluskan, " katanya.



7- Jalan Luar Bandar

Pembinaan jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak ditambah dalam tempoh RMK-10.



Berhubung infrastruktur luar bandar di Sabah dan Sarawak, katanya, kerajaan akan menggandakan pembinaan jalan luar bandar di kedua-dua negeri itu, daripada 750 kilometer yang dibina di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) kepada 1,500 kilometer dalam tempoh RMK-10.



8- Bekalan Air Dan Elektrik

Bekalan air dan elektrik ditingkatkan di Sabah Dan Sarawak. Perincian diumumkan akhir bulan ini.

Najib juga berkata, liputan bekalan air minum yang kini berada pada tahap 52 peratus di Sabah dan 61 peratus di Sarawak, akan dipertingkatkan, begitu juga bekalan elektrik dan pengumuman mengenainya akan dibuat hujung bulan ini.



9- Latihan Motosikal

Kadar bayaran latihan tunggang motosikal 250cc ke bawah dikurangkan kepada RM211 mulai 1 September.

Perdana Menteri turut mengumumkan caj bayaran latihan untuk penunggang motosikal kelas B2 iaitu 250cc ke bawah dikurang menjadi RM211 seorang.

"Saya mendapati ramai penunggang terutama anak muda yang menunggang motosikal 'kapcai' tidak memiliki lesen memandu kerana kos mendapatkan lesen termasuk latihan agak tinggi, RM500 hingga RM700 seorang. Berdasar riak tadi, saya membayangkan memang tepat keputusan ini,” katanya sebagai mengulas reaksi tepukan gemuruh daripada ramai hadirin terutama pelajar sekolah.



10- Tambah Peruntukan

Peruntukan Tekun Nasional ditambah RM150 juta dan RM15 juta untuk usahawan muda India.

Selain itu, katanya, peruntukan skim Tekun Nasional ditambah RM150 juta lagi dan peruntukan RM15 juta khusus untuk program pembangunan usahawan muda kaum India di negara ini.



11- Unit Amanah

Amanah Saham 1Malaysia dengan saiz 10 bilion unit akan diperkenalkan.

Penubuhan tabung AS 1Malaysia di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu selaras dengan jangkaan pemulihan ekonomi dalam tempoh separuh tahun kedua tahun ini.

"Tabung ini dijangka memberi peluang pelaburan kepada pelabur untuk menikmati pulangan pendapatan yang berpatutan dalam tempoh jangka panjang. Penubuhan itu langkah tambahan kepada dana amanah saham sedia ada," katanya.

Dalam ucapan bertajuk Warkah Harapan, Najib berkata, kerajaan bersetuju memperuntukkan RM100 juta Skim Amanah Saham Wawasan bagi golongan miskin tegar bandar bagi meringankan beban mereka terutama pada hujung tahun bagi menampung keperluan persekolahan anak-anak.

"Menjelang 2010, kira-kira 10,000 isi rumah miskin tegar bandar akan diberi sebanyak 10,000 unit untuk isi rumah di bawah senarai E-Kasih,"



REAKSI AWAM TERHADAP PENGUMUMAN 11 HADIAH DARIPADA DATUK SERI NAJIB KEPADA RAKYAT

Pelbagai pihak menyifatkan pengumuman 11 hadiah mesra rakyat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin membuktikan Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah kerajaan rakyat.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali, berkata pengumuman itu membuktikan Perdana Menteri sudah pun melangkah ke hadapan dalam usaha menangani masalah rakyat.

"Ini adalah satu tindakan atau langkah yang betul seperti slogan beliau (Perdana Menteri) sebelum ini rakyat didahulukan. Pengumuman ini sememangnya diharapkan rakyat bagi mengurangkan beban mereka.

Profesor Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain, berkata pengumuman itu membuktikan Najib memenuhi tuntutan rakyat sebelum ini.

"Jika diteliti daripada pengumuman Perdana Menteri, 11 hadiah yang diumumkan itu adalah kehendak rakyat sebelum pilihan raya umum lalu dan beliau menunaikan tuntutan itu dengan harapan dapat mensejahterakan rakyat," katanya.

Wednesday, July 8, 2009

Mantan Ahli Parlimen Bandar Kuching yang bernaung di bawah DAP diminta jangan perlekeh konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak. Sebaliknya cermin dahulu muka sendiri, nilai diri sendiri dan bermuhasabah diri sebelum memperlekehkan konsep 1Malaysia. Ini berikutan komennya berhubung konsep 1Malaysia yang disiarkan pada laman web portal Malaysiakini.com.



Sim Kwang Yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bandar Kuching dari tahun 1982 hingga 1985. Dalam komennya, beliau menyatakan bahawa konsep 1Malaysia sebenarnya sudah lama wujud di Sarawak dan bukan seperti yang diperkenalkan Perdana Menteri sekarang.



Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa 1Malaysia sudah lama wujud di Sarawak. Walau bagaimanapun, persoalannya, Adakah beliau pernah mengamalkan konsep tersebut ketika bernaung di bawah Parti DAP bersama dengan para pemimpin pembangkang terdahulu? Jawapannya tentu sekali TIDAK. Ini disebabkan ketika itu, pihak pembangkang sering mengambil peluang untuk menjatuhkan rakan perjuangan masing-masing.



Demikian juga dalam senario politik semasa sekarang yang berlaku ke atas rakan seperjuangan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR), iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR). Kemelut yang melanda PKR sekarang telah tidak memberikan keyakinan di atas memperjuangkan masyarakat Sarawak. Manakan tidak, lihat sahaja perlantikan Mustaffa Kamil Ayob dari Perak sebagai Pengerusi PKR Sarawak dan Ketua Biro Pilihan Raya PKR Sarawak oleh pemimpin de facto pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apakah tiada di kalangan anak tempaatan Sarawak dalam PKR yang mampu memimpin dan menguruskan organisasi politik? Perlukah seorang pemimpin ‘luar’ untuk ditugaskan memimpin PKR Sarawak walhal beliau sendiri tidak tahu budaya dan cara hidup masyarakat Sarawak? Dan kiranya pelantikan ini berpanjangan tidak mustahil budaya politik PKR dan PR di Perak akan diterapkan kepada PKR Sarawak. Nampaknya usahlah bermimpin anak tempatan Sarawak untuk memimpin parti politik seperti PKR disebabkan tiadanya kepercayaan daripada pemimpin atasan.



Satu lagi kemelut dalam DAP telah berlaku sebelum ini sehingga menyebabkan hubungan renggang di antara Sim Kwang Yang dengan Chong Siew Chiang (ayah kepada Ahli Parlimen Bandar Kuching sekarang, Chong Chien Jien) sehingga sekarang.



Setelah ditentang keluar dari DAP, Sim Kwang Yang bersama Dominique Ng, Wong Huan Yu dan See Chee How kemudiannya menyertai PKR. Melihat kepada kemelut dan perpecahan dalam PR, telah menunjukkan bahawa Sim Kwang Yang dan rakan-rakannya tidak mengamalkan 1Malaysia.



Oleh yang demikian, Kwang Sim Yang disarankan mengambil iktibar di atas saranan Perdana Menteri dengan mengamalkan konsep 1Malaysia. Adalah lebih baik mengamalkannya berbanding hanya pandai menyindir dan memberikan pelbagai ulasan negatif terhadap 1Malaysia.

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!